~ APAKAH UNWAN TAREKAT AHMADIAH SERTA SIAPAKAH SEBENARNYA KELOMPOK MENGUBAH & MENUKAR TAREKAT INI? ~
Mufti Al-Anam dan Syeikh Al-Islam Sayyid Abdul Rahman bin Sulaiman Al-Ahdal RA menyatakan bahawa unwan (nisbah kerohanian) kepada Tarekat Sayyidi Ahmad bin Idris RA adalah sepertimana unwan Tarekat Al-Syadziliyyah, kerana suluk mereka adalah dengan melazimi tahlil, selawat keatas Rasul SAW, beristighfar, dan doa-doa serta ahzab yang mengandungi segala macam permohonan dan pergantungan (kepada Allah), merasakan kefakiran (iftiqar), berasa lemah (tadharru’) dan bergantung penuh dengan ketentuan Allah (idhtirar). Selain itu, tarekat ini sangat menekankan ittiba’ (mengikuti) Nabi SAW dan mencintai (mahabbah) Rasul SAW secara zahir dan batin pada setiap perkataan dan perbuatan.
Oleh yang demikian, di dalam tarbiyah tarekat ini berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah Rasul SAW sangat-sangat ditekankan kepada para pengikutnya. Sesuai dengan ungkapan Sayyidi Ahmad bin Idris RA di dalam Kitab Kunuz Al-Jawahir Al-Nuraniyyah dan diungkapkan juga pernyataan tersebut oleh Tuan Syeikh Hj. Ahmad bin Syeikh Muhammad Said Al-Linggi RA di dalam Kitab Pengantar Kepada Tarekat Ahmadiah: “Tarekatku berpegang kepada Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Rasulullah SAW”. Sayyidi Syeikh Soleh bin Muhammad Al-Jaafari RA menyatakan di dalam kitabnya Dzakhirah Al-Muajjalah lil Arwah Al-Muattalah; daripada sumber Al-Quran & Sunnahlah terlahirnya hakikat-hakikat Muhammadiah, cahaya-cahaya Ahmadiah dan ilmu-ilmu ladunniah.
Sayyidi Syeikh Soleh Al-Jaafari RA di dalam kitabnya juga telah menjelaskan ciri-ciri orang yang menukar dan mengubah Tarekat Sayyidi Ahmad bin Idris RA. Orang-orang tersebut merupakan kelompok yang menyimpang daripada Al-Quran & Sunnah serta tidak berpegang dengannya.
Merekalah sebenarnya perosak kepada manhaj Tarekat Sayyidi Ahmad bin Idris RA kerana meremehkan syariat dan hakikat, terpedaya dengan kasyaf-kasyaf serta perkara yang mencarik adat. Mereka inilah sebenarnya para penipu jalan tarekat tasawuf serta memperolok-olokkan manhaj serta unwan yang telah ditetapkan oleh pengasas tarekat.
Maka fahamilah serta jauhkanlah diri kita daripada menimbulkan fitnah bahawa kumpulan-kumpulan tertentu sahaja memegang manhaj tulen. Sedangkan kayu ukurnya adalah sejauh mana para pengikut dari pelbagai cabang Tarekat Ahmadiah Muhammadiah itu berpegang dengan Kalam Ilahi dan Syariat Muhammadiah yang suci.
Wallahu a’lam.
--
FB: https://www.facebook.com/assaidiyyah | Telegram: t.me/MadrasahAsSaidiyyah
No comments:
Post a Comment