Friday, July 19, 2024

Sifat 20

 saya berpendapat, dasar pemikiran Asyairah dan maturidiyyah bukan pengaruh dari falsafah Yunani, tetapi ia memberi pencerahan terhadap kekeliruan dari pihak yang menggunakan pendekatan Yunani.


Hujah saya begini.


(a)

pembinaan bagi metode dan manhaj bagi aliran Asyairah dan Maturidiyyah adalah dari kaedah pendalilan yang boleh melahirkan keputusan Qatie.


Kaedah pembinaan metode dan manhaj sebegini, sudah diguna pakai oleh al-Imam Abu hanifah, al-Imam Malik dan al-Imam al-Syafie, iaitu dikala umat islam belum pernah kenal lagi tradisi falsafah Yunani.


Contohnya, kaedah usul al-Fiqh ada menyebut: setiap suruhan adalah wajib.


kaedah ini diasaskan kepada beberapa premis:

Solat adalah wajib, kerana dalam al-Quran ada suruhan solat.

Puasa adalah wajib, kerana dalam al-Quran ada suruhan berpuasa.

Zakat adalah wajib, kerana dalam al-Quran ada suruhan berzakat.

Haji adalah wajib, kerana dalam al-Quran ada suruhan buat haji.


apabila semua amalan-amalan wajib ini, dalam al-Quran menggunakan suruhan, maka disimpulkan bahawa sebarang suruhan dalam al-Quran adalah wajib.


kesimpulan sebegini dibuat sebelum umat islam kenal lagi tradisi Yunani. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan premis-premis yang konsisten.


Pendekatan sebegini, turut sama pernah diguna pakai oleh IBN TAIMIYYAH dalam perbahasan hukum yang melibatkan manat, iaitu ketika beliau memfatwakan hukum menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati.


walaupun tidak ada dalam nas menyebut berkenaan menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati, tetapi Ibn Taimiyyah memfatwakan keizinan itu. 


kesimpulan sebegitu dibuat dengan logika begini;

dalam hadis, ada menyebut keizinan sedekah pahala kepada si mati, jika dilakukan ibadat badaniyyah yang bernama sedekah.

dalam hadis, ada menyebut keizinan sedekah pahala kepada si mati, jika dilakukan ibadat badaniyyah yang bernama haji badal.

dalam hadis ada menyebut keizinan sedekah pahala kepada si mati, jika dilakukan ibadat badaniyyah yang bernama memberi minum kepada jemaah haji.

makanya, diizinkan sedekah pahala kepada si mati, jika melakukan ibadat badaniyyah.

justeru, membaca al-Quran adalah ibadat badaniyyah, makanya sedekahkan pahalanya adalah diizinkan.


cara pembinaan kaedah ini sudah diperkenalkan oleh para ulama mazhab sebelum era falsafah Yunani masuk dalam kalangan umat islam lagi.


(b)

saya kira, kesimpulan begitu boleh difahami oleh manusia secara fitrah. Contohnya:

seorang bayi kena cerek air yang panas, maka dia rasa sakit.

bayi itu kena periuk nasi yang panas, maka dia rasa sakit.

Bayi itu kena kayu api yang panas, maka dia rasa sakit.

bayi itu kena api yang menyala, dia rasa panas, maka dia rasa sakit.

makanya, otaknya secara automatik boleh simpulkan bahawa rasa panas boleh melahirkan rasa sakit.

makanya, apabila dia melihat sesuatu yang berasap dan keluar api, sejak dari awal lagi dia cuba jauhkan diri seperti menangis dan sebagainya.


saya kira, hal sebegini juga berlaku pada kucing. 

Ada seseorang itu,dia tidak suka kucing.

Setiap kali kucing A datang kepadanya, dia akan sepak. bukan sekali, tetapi berkali-kali. Dengan itu, kelihatan kucing itu akan menjauhkan diri dari kepada orang tersebut.


kesimpulan sebegini tidak perlu kepada mantik aristotle atau pengaruh yunani. Kalau kucing dapat simpulkan begitu, masakan manusia yang mempunyai akal tidak dapat memahaminya.


(c)

metode dan manhaj aqidah Asyairah dan maturidiyyah diperkenalkan dengan usul sifat 20. Yang semua ini kita tahu, ia bukan terbina dari akal, tetapi terbina atas premis-premis yang banyak dari ayat-ayat al-Quran dan hadis. lalu, dikuatkan dengan logika akal.


Contohnya, sifat Wujud Allah merentasi imaginasi akal. 

asas ini datang dari banyak ayat al-Quran, seperti surah al-Ikhlas. Apabila Allah kata bahawa dia adalah Esa, sudah pasti DIA maha wujud. kerana, apabila ada esa, sudah pasti ada wujud. tidak masuk akal dikatakan bahawa tidak wujud, tetapi ada keesaan.


walaupun tidak disebut "wujud", tetapi dengan menyebut bahawa Dia "ahad" - esa, maka sudah pasti wujud.


ia sama seperti al-Quran ada sebut: jangan kamu kata kepada ibu bapa kamu "oh" sekalipun. 


secara aklinya difahami, sepak dan pukul ibu bapa lebih-lebih lagi tidak dibolehkan.


kefahaman ini bukan perlu kepada falsafah Yunani. ini sudah difahami sejak umat Islam era awal lagi. malah, sejak turun wahyu pun, para sahabat sudah faham.


demikian juga, wujud bagi Allah itu merentasi akal, kerana dalam hadis bahawa Nabi saw ada menyatakan: syurga itu, tidak dapat dicerap dengan mata, tidak dapat dicerap dengan telinga, malah hati pun tidak terlintas.


kalau syurga yang bersifat makhluk pun, mata, telinga serta hati tidak dapat diimaginasikan, sudah pasti tidak dapat diimaginasikan adalah Zat Allah yang maha wujud.


untuk memahami ini, tidak perlu kepada pengaruh falsafah Yunani. Secara akli manusia sihat pun dapat fahaminya. Apatah lagi, dari kalangan orang-orang yang bijak.


kalau ini dasarnya, maka difahami kaedah wujud Allah merentasi akal bukan pengaruh falsafah Yunani, tetapi secara fitrah manusia dapat memahaminya.


(d)

Apabila kaedah-kaedah ini sudah dibina, tiba-tiba datang kalangan musuh yang menggunakan falsafah Yunani bertanya bahawa Allah itu apakah dia berjirim atau berjisim, maka perlu dijawab keraguan yang dibangkitkan oleh pihak yang terpengaruh falsafah tersebut.


Sebab, orang yang berfikir secara falsafah akan bertanya, apakah Allah itu wujud seperti manusia yang boleh dijuzuk-juzukkan; apakah wujud Allah seperti nyawa yang tidak dapat dijuzuk-juzukkan?


Apabila ada soalan-soalan falsafah sebegini, maka perlu diperjelaskan terlebih dahulu jenis-jenis isykal yang dibangkitkan oleh gaya berfikir falsafah tersebut, lalu dibantah dengan metode dan manhaj yang sudah dibina berasaskan penjelasan perkara (a) di atas.


(e)

jadi di sini, saya simpulkan bahawa metode dan manhaj Asyairah dan maturidiyyah bukan dibina dari falsafah Yunani, tetapi berasaskan metode dan manhaj yang telah diguna pakai oleh ulama salaf. 


tetapi, falsafah Yunani masuk sebagai mencipta keraguan, lalu dibantah dengan metode dan manhaj mereka dengan difahami terlebih dahulu maksud yang digunakan oleh falsafah Yunani tersebut.


Wallahu 'Alam.

No comments:

Post a Comment