25 Mac 2022 | Lee Chean Chung
Maklumbalas Ahli Parlimen Pekan Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada kenyataan saya sebenarnya membuktikan niat beliau sebenarnya untuk menjadi #herokorporat besar. Ulasan nampak kemas, entah mengapa beliau tidak ingat siapa yang membayar loket berlian 22 karat kepada isteri sendiri.
Soalannya mudah saja, apakah sebenarnya kaitan sebuah syarikat swasta yang bernama Sapura Energy Berhad (Sapura) dengan jutaan rakyat jelata dan ratusan ribu PKS? Tiada. Tapi mengapa Najib menyibuk dengan #IdeaSongsang itu? Kemudian apabila sangkut dengan dakwaan kami, beliau cuba mengheret vendor dan pekerja-pekerja Sapura untuk menghalalkan pelobian beliau membantu korporat besar.
Memang menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu pekerja dan PKS. Tapi Najib kata membantu Sapura BERSAMAAN DENGAN bantu PKS. Ini satu lagi idea songsang. Mengikut statistik SMECorp, Malaysia ada sejumlah 1,226,494 PKS. Berapa PKS yang boleh dibantu dengan menyelamatkan Sapura? Yang bangun waktu senja menjual nasi lemak, char koay teow dan thosai itu turut dibantu? Kalau logik ini terpakai, membantu Velesto Energy, Duopharma Biotech, MNRB Holdings dan ribuan korporat besar lain juga BERSAMAAN DENGAN bantu PKS. Maka semua kena bantu. Hebat.
Let’s be clear. Banyak korporat diuruskan dengan cemerlang, tapi Sapura berdarah atas cara pengurusannya. Kalau harga minyak mencecah USD100 setong pun tidak untung, maka jelas masalahya lebih mendalam daripada apa yang Najib cuba gambarkan. Adakah kerajaan perlu menjadi hero setiap kali dengan menggunakan duit rakyat apabila sesebuah syarikat rugi walaupun ianya berpunca daripada kesilapan keputusan korporat yang bekas tokohnya menggunakan jet swasta dan dibayar baji RM192,000 sehari atau RM72 juta setahun?
Lagipun, harga minyak sebagai komoditi akan sentiasa berubah-ubah dan tidak menentu. Syarikat yang diuruskan dengan baik akan menyediakan payung sebelum hujan. Nelayan di Kampung Beserah pun tahu menabung duit simpanan sebelum monson. Tapi Najib buat tak faham dan cuba jadi hero korporat.
Oklah. Memandangkan Najib rakan baik tokoh korporat besar, kita cabar dia bantu rakyat mengesahkan adakah Sapura pernah dan masih membayar royalti berpuluh juta ringgit setahun kepada “pihak tertentu” sekadar atas kegunaan nama “Sapura” (Lampiran The Edge 27/12/21)? Soalan ini penting kerana ianya membantu kita faham adakah syarikat ini wajar dibantu, dan apakah itu Najibnomics.
Boleh? Saya tunggu admin beliau jawab.
#HeroKorporat #IdeaSongsang
No comments:
Post a Comment