Sunday, March 6, 2022

 ~ PERSOALAN MENGIKUTI DUA TAREKAT SEKALI GUS SERTA LARANGAN MERENDAHKAN TAREKAT LAIN ~


Terdapat persoalan berkenaan isu seorang murid yang berkeinginan untuk mengamalkan dua tarekat sekali gus walaupun telahpun mempunyai tarekat & mursyid yang membimbing.  Terdapat juga sebahagian ahli tarekat yang memperkecilkan tarekat muktabar selain daripada tarekat yang mereka amalkan, bahkan sampai membanding-bandingkan mursyid mereka dengan mursyid yang lain.  


Menurut Rais 'Am Jam’iyah AhlU Tariqah al Mu’tabarah Al-Nahdiyah (JATMAN); Al-Habib Muhammad Lutfi bin Ali bin Yahya - Sekiranya seorang murid itu sudah berbaiah dengan seorang mursyid pada satu-satu tarekat maka tekunilah tarekat tersebut dengan istiqamah serta sebaiknya tidak usahlah diduakan. 


Adapun berkenaan soal pergaulan dan silaturrahim jangan sampai terhalang oleh masalah bertarekat. Ketahuilah bahawa tarekat itu bukanlah sebuah alat untuk mencari kebanggaan diri serta menunjukkan keunggulan. Tuntutan bagi tiap-tiap tarekat adalah beramal melalui disiplin dan prinsip yang telah digariskan oleh para A'immah Solehin (Pemimpin orang-orang soleh) seperti:


a) Al-Imam Al-Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani RA - Pengasas Tarekat Al-Qadiriyah;

b) Al-Imam Al-Syeikh Abul Hasan Al-Syadzili RA - Pengasas Tarekat Al-Syadziliyah;

c) Al-Imam Sayyidi Al-Syeikh Abdullah Al-Syathari RA - Pengasas Tarekat Al-Syathariyah; dan

d) Al-Imam Al-Syeikh Al-Sayyid Ahmad bin Idris Al-Hasani RA - Pengasas Tarekat Al-Ahmadiah Al-Idrisiah.


Para Ulama Sufi tersebut memerintahkan para pengikut mereka untuk berbuat amal yang baik dan mengikuti segala jejak yang telah digariskan oleh Baginda Rasulullah SAW serta para Sahabat Baginda RA. Adapun fadhail (keutamaan) dalam sesebuah tarekat itu bukanlah menjadi tolok ukur. 


Yang menjadi tolok ukur itu justeru adalah mu'amalah ahli tarekat dalam mengikuti jejak Baginda Nabi SAW dengan berakhlak dengan akhlak mahmudah. Maka setiap ahli tarekat mestilah membuktikan kepada setiap manusia bahawa mereka adalah orang yang mempunyi budi pekerti yang luhur. Sebagaimana Baginda Rasulullah SAW yang telah dipuji oleh Allah SWT di dalam firman-Nya: 


وَاِنَّكَ لَعَلٰى خُلُقٍ عَظِيْمٍ   ( القلم: ٤ )


[Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) berada di atas budi pekerti yang agung]


Lihat sahaja, bahawa Baginda Rasulullah SAW tidak pernah merendahkan salah seorang daripada Nabi-Nabi yang diutus walaupun Baginda merupakan Sayyidul Anbiya' wal Mursalin (pemimpin para Nabi dan Rasul). Bahkan Baginda SAW memerintahkan umat Islam untuk beriman kepada para Nabi dan Rasul, khususnya 25 orang Rasul yang wajib kita ketahui dan imani.


Walaupun zaman para Nabi AS itu telah berlalu dan Nabi kita adalah Nabi akhir zaman, kita tidak boleh mengingkari salah seorang daripada Nabi dan Rasul sebelumnya. Oleh kerana itu, kita wajib mengikuti jejak sunnah Baginda SAW. Apa-apa kelebihan yang ada dalam suatu tarekat bukanlah untuk merendahkan martabat tarekat yang lain. 


Sebagai perbandingan, kita telah membaca hadis Baginda Rasulullah SAW yang mafhumnya: "Barangsia membaca Surah Al-Ikhlas sekali, mendapat pahala seolah-oleh membaca 1/3 Al-Quran". Maka apabila seseorang membacanya 3 kali, maka akan diberi pahala 1 kali khatam Al-Quran. 


Dengan demikian, maka apakah dengan membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali itu bererti kita boleh meremehkan membaca Al-Quran yang dimulai dari Surah Al-Fatihah, Al-Baqarah hingga An-Nas? Sudah tentu tidak. 


Yang terbaik adalah kita tetap beramal membaca 3 kali Surah Al-Ikhlas untuk mendapatkan pahala satu khataman Al-Quran, namun kita tetap juga mengkhatamkan Al-Quran secara sempurna mulai dari Surah Al-Fatihah, Al-Baqarah hingga An-Nas. 


Dalam bertarekat, terjalin hubungan kerohanian antara seorang Mukmin dengan Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka, ulama mengungkapkan bahawa satu-satu tarekat dengan yang lain itu sama sahaja tujuan dan fadhilatnya. Pengikut tarekat Syaziliyyah yang membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali akan mendapat pahala khatam Al-Quran yang sama sahaja dengan pengikut tarekat Qadiriyyah yang membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali. Ini semua adalah sesuai mafhum sabda Baginda Nabi SAW. 


Wallahu' A'lam. 


[Sumber: Buku "Habib Luthfi bin Yahya : Berbicara Seputar Tarekat"]


FB: https://www.facebook.com/assaidiyyah | Telegram: t.me/MadrasahAsSaidiyyah

No comments:

Post a Comment