Monday, October 25, 2021

 TIADA ULAMA HARAMKAN TAWASSUL KEPADA NABI SEBELUM ERA IBN TAIMIYYAH, KATA AL-BUTI


Oleh : Wan Ji bin Wan Hussin


SUNGAI BULOH – Setelah meneliti dari riwayat-riwayat dari sahabat, tabiin dan semua mereka di era salaf, Dr. Said Ramadan al-Buti menyatakan bahawa beliau tidak dapati satu pun kupasan dalam kalangan mereka yang menyatakan larangan atau keizinan untuk bertawassul kepada Rasulullah saw.


“pergolakan terhadap hukum halal dan haram berkenaan bertawassul terhadap Nabi Muhammad saw berlaku selepas era Ibn Taimiyyah”, kata Kata ulama dari Syria itu dalam satu wawancara beliau bersama Syaikh Dr. Khalid al-Jundi yang merupakan salah seorang ulama al-Azhar.


Menurut beliau lagi bahawa beliau tidak jumpai satu pun perkataan sahabat yang menyatakan: hendaklah kamu jauhi bertawassul kepada Rasulullah saw. Bahkan, beliau tidak jumpai satu pun ungkapan dari tabiin yang menyatakan perkataan yang sama


Dengan itu, beliau simpulkan bahawa amalan tawassul terhadap Nabi saw dibenarkan dengan hujah-hujah dari hadis-hadis Nabi saw.


Antaranya hadis riwayat Ibn Majah bahawa Abu Sa’id al-Khudri ada berkata berkenaan doa yang diajar oleh Nabi saw ketika keluar dari Masjid yang mengandungi tasawwul, iaitu doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِحَقِّ السَّائِلِينَ عَلَيْكَ، وَأَسْأَلُكَ بِحَقِّ مَمْشَايَ هَذَا، فَإِنِّي لَمْ أَخْرُجْ أَشَرًا، وَلَا بَطَرًا، وَلَا رِيَاءً، وَلَا سُمْعَةً، وَخَرَجْتُ اتِّقَاءَ، سُخْطِكَ، وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِكَ، فَأَسْأَلُكَ أَنْ تُعِيذَنِي مِنَ النَّارِ، وَأَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي، إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، أَقْبَلَ اللَّهُ عَلَيْهِ بِوَجْهِهِ، وَاسْتَغْفَرَ لَهُ سَبْعُونَ أَلْفِ مَلَكٍ

“Ya Allah, aku meminta kepada-Mu dengan hak peminta kepada-Mu, dan aku juga meminta dengan hak jalanku ini. Sesungguhnya aku keluar bukan untuk keburukan, bukan untuk kesombongan, bukan untuk riya dan bukan untuk dipuji. Aku keluar agar terhindar dari murka-Mu dan mengharap ridha-Mu. Maka, aku meminta agar Engkau melindungiku dari siksa neraka dan mengampuni dosaku, sebab tidak ada yang mengampuni dosa selain-Mu), maka Allah akan menerimanya dengan wajah-Nya, dan tujuh puluh ribu malaikat juga akan memintakan ampunan baginya."


Beliau turut berhujah dengan hadis Anas yang telah dikeluarkan oleh al-Bukhari berkenaan Saidina Umar bertasawwul dengan bapa Saudara Nabi, iaitu al-Abbas bin Abdul Muttalib untuk  meminta hujan.


Di akhir hujah, beliau mengemukakan ayat al-Quran yang menyebut : “jangan kamu sangka bahawa orang yang terbunuh dalam jalan Allah itu sebagai mati, bahkan mereka hidup”.


“Siapa yang paling tinggi darjat di sisi Allah? Orang yang syahid atau Nabi Muhammad saw?”, kata al-Buti sebagai penutup hujah beliau.


Dr. Sa’id Ramadan al-Buti adalah salah seorang ulama lepasan al-Azhar yang menetap di Syria yang terkenal di seluruh dunia Islam. Beliau terbunuh dalam satu serangan bom di masjid Iman di Damsyiq pada tahun 2013 yang lalu.


Kupasan beliau boleh didengari di sini : https://www.youtube.com/watch?v=uLOhlHuTZBA

No comments:

Post a Comment