~ DASAR TAREKAT AL-AHMADIAH AL-MUHAMMADIAH ~
Telah berkata Syeikh Abdul Ghani Al-Jaafari RA:
“Telah sedia diketahui dalam kalangan murid Sayyidi Ahmad bin Idris RA adalah mereka yang menerima Tarekat Syadziliyyah pada awalnya, seperti Al-Sayyid Muhammad Sirr Al-Khatm Al-Mirghani RA dan Al-Sayyid Muhammad Ali Al-Sanusi RA, dan Al-Sayyid Al-Majdzub RA. Dan ada pula dalam kalangan mereka yang menerima daripada Sayyidi Ahmad bin Idris RA Tarekat Al-Muhammadiah Al-Idrisiah, contohnya Al-Sayyid Ibrahim Al-Rasyidi RA. Masing-masing mendapat awrad daripada Sayyidi Ahmad pada awalnya kemudian mereka menerima awrad daripada Rasulullah ﷺ.
Para Abna' Sayyidi Ahmad bin Idris RA kesemuanya, adalah para Syeikh yang mempunyai jalan tarekat yang dinamakan sempena dengan nama mereka dan jalan tarekat lain yang bercabang daripada tarekat asal mereka seperti Al-Dandarawiah, Al-Ismailiah dan Al-Salihiah yang terbit daripada (silsilah) Tarekat Al-Rasyidiah. Adapun imam kami, sang mujaddid, sang imam, (Syeikh Soleh bin Muhammad) Al-Jaafari RA, telah meletakkan asas-asas Tarekat Al-Jaafariyyah Al-Ahmadiah Al-Muhammadiah, yang merangkumi prinsip-prinsip agama dan ketetapan hukumnya berdasarkan ilmu. Kaedah-kaedah tarekatnya ialah Al-Quran dan Sunnah serta didikan rohani yang melahirkan semangat taṣawwuf dan merupakan manifestasi daripada hakikat kerohanian taṣawwuf yang tinggi, serta diterjemah dalam bentuk pengamalan, sesuai dengan sabda Junjungan yang mulia:
أَدَّبَنِى رَبِّى فَأَحْسَنَ تَأْدِيْبِى
[Yang bermaksud: "Tuhanku mendidiku dengan adab yang baik, maka Dia menjadikan pendidikanku menjadi sempurna" - Hadis Riwayat Ibnu Hibban]
Syeikh kami mendidik para pelajar dan murid-muridnya dengan kaedah bimbingan yang jelas dan membebaskan mereka daripada setiap bidaah tercela yang telah menyusup ke dalam bidang taṣawwuf. Halaqah zikir di Al-Azhar Al-Syarif telah dihadiri dan dikunjungi oleh para ulama dari seluruh negara Arab. Hari ini para pelajar Imam al-Jaafari RA tersebar ke serata pelosok Republik (Arab Mesir), di daerah, bandar, dan kampung di Sudan, bahkan di seluruh dunia Islam, dan halaqah zikir mereka berjalan di atas metodologi dan bimbingannya, kerana mereka mencontohi kaedah yang dicorakkan oleh Syeikh mereka, seperti semasa hayatnya.”
Di tempat lain Syeikh Abdul Ghani pernah berkata:
“Kaedah tarekat Syeikh Soleh bersatu dan bercampur dengan kaedah tarekat Sayyid Ahmad bin Idris RA, sehingga ajaran-ajarannya mengenai Tarekat Jaafariyyah tidak dapat dipisahkan dari ajaran-ajarannya tentang Tarekat Ahmadiah, kerana kedua-duanya berasal dari pelita (perlambangan kepada sumber ilmu) yang sama.”
Pesanan penting kepada para ikhwan:
Adalah penting bagi kita apabila membaca syair-syair ataupun kitab-kitab karangan Syeikh Soleh, kerana segala ajaran-ajaran yang bermutu tinggi dan kenyataan yang beliau sebutkan tentang Tarekat Al-Ahmadiah bolehlah dibaca\difahami seperti sama dengan Tarekat Al-Jaafariyyah (Tambahan: Bahkan perkara yang sama turut terpakai kepada cabang-cabang Tarekat Al-Ahmadiah yang lainnya).
Wallahu a'lam.
[Dipetik dan dipinda daripada FB: https://www.facebook.com/lightoftheazhar]
_
FB: https://www.facebook.com/assaidiyyah | Telegram: t.me/MadrasahAsSaidiyyah
No comments:
Post a Comment