Monday, April 11, 2022

 Kalau kita hidup di zaman nabi, tidak susah kita nak kenal Nabi saw. Sebab, nabi berada di depan mata kita.


Apabila kita jauh dari nabi, kita perlu cara untuk nak faham nabi saw. 


Nabi sudah pesan, dua perkara sahaja yang ditinggalkan oleh Nabi; iaitu al-Quran dan hadis. 


Cuma, cara nak faham al-Quran dan hadis, kita ada kelemahan. faktor bahasa arab yang menggunakan kalam sastera arab yang tinggi, hadis-hadis pula bercampur antara benar dan tidak. 


makanya, perlu ada kaedah-kaedah untuk memastikan cara faham al-Quran dan hadis itu sama sepertimana yang dikehendaki oleh Nabi; hadis-hadis yang diterima itu benar-benar dari Nabi, bukan yang telah direkacipta oleh manusia yang tidak bertanggungjawab.


Di situ, wujud apa yang dinamakan sebagai mazhab. Setiap ulama yang diperkaui kepakaran dalam memahami al-Quran dan hadis, mereka membuat kaedah-kaedah untuk kita nak faham Nabi saw. Dengan itu, wujud ilmu yang dinamakan sebagai Usul al-Fiqh.


Usul al-Fiqh datang untuk hendak memastikan cara faham yang betul terhadap sesuatu fakta al-Quran dan hadis.


Kadangkala dalam memahami itu, boleh terjebak kepada salah disebabkan sesuatu fakta itu rupanya bukan dari Nabi. untuk atasi hal ini, dibuat satu ilmu yang dinamakan Usul al-Hadis.


Dari kedua-dua ilmu ini amat penting untuk:


a. memastikan sesuatu maklumat dari Nabi saw atau sahabat itu adalah benar-benar dari Nabi.


b. memastikan fakta yang benar-benar dari Nabi itu dapat difahami dengan cara yang betul. 


Untuk memahami fakta dengan cara yang betul, tidak cukup sekadar dengan kefahaman akal, tetapi perlu juga kepada kefahaman jiwa.


Disebabkan itu, diwujudkan ilmu tasawwuf. Kalau ilmu usul al-Fiqh ajar cara nak kenal teks menggunakan akal dengan pendekatan logika dan bahasa arab, maka pendekatan tasawwuf untuk memahamkan manusia konsep jiwa dan "roh" yang ada disebalik lafaz kata dalam sesuatu wahyu.


Contohnya, apabila ada ayat al-Quran kata: "Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari fahsya' dan Mungkar". 


dari sudut faktanya, ia adalah ayat al-Quran. jadi, ia mutawatir dan tidak dipertikaikan lagi.


Cara faham ayat ini, jika tidak menggunakan kaedah usul al-Fiqh, ia boleh memberi faham yang salah. Contoh salah, apabila dianggap ayat ini antara wasail (solat) dan manat (cegah fahsya dan mungkar).


Jika dianggap ayat ini sebagai "manat", maka kesan faham ayat ini akan melahirkan celaru; iaitu, kalau solat boleh mencegah fahsya dan mungkar, maka tidak perlu solat, jika sedia awal lagi sudah tidak terjebak dengan fahsya' dan mungkar.


ini cara faham yang salah ekoran tidak ada kaedah usul al-Fiqh. Makanya, usul al-fiqh menjelaskan, ayat ini adalah antara wasail yang ada kaitan dengan maalat (implikasi). iaitu, implikasi dari solat adalah tercegah fahsya' dan mungkar, sedangkan manat ayat adalah ta'abbud; iaitu pengabdian diri kepada Allah secara mutlak.


Dalam erti kata lain, solat tetap wajib dilakukan, walaupun orang yang sedia awal tidak lakukan fahsya' dan mungkar. hal ini kerana, manat bagi solat adalah ta'abbud. 


Namun, bagi orang yang benar-benar solat, pasti dia akan tercegah dari fahsya' dan munkar. 


Dari sini, sudah selesai perbahasan ayat ini dari sudut Usul al-Fiqh. Namun, bangkit persoalan lain; bagaimana mahu menunaikan solat dengan sebenar-benarnya sehingga dapat tercegah dari fahsya dan mungkar?


di sini, datang ilmu tasawwuf menjelaskan berkenaan solat bagi orang yang jiwanya ada cinta kepada Allah yang berbeza dengan orang yang beribadat dalam keadaan jiwanya takut kepada Allah. 


maka lahir perbincangan untuk proses pembersihan jiwa yang dikenali sebagai Takhalli dan tahalli.


membersihkan jiwa dari sebarang sifat-sifat tercela, dan mengisi jiwa dengan sifat-sifat terpuji. Semua ini membina jiwa yang bersih, membina jiwa berbudi.


bagi orang yang berjiwa budi, dia beribadat bukan takut, tetapi cinta. Nabi saw itu sememangnya tidak masuk neraka dan sudah pasti masuk syurga, tetapi kuat beribadat. kenapa? sebab jiwa Nabi adalah cinta pada Allah. Sebab itu, baginda jawab: "Apakah tidak aku menjadi hamba yang berterima kasih kepada Allah"


macam seorang isteri cintakan suaminya, sekali dia tidak akur dengan arahan suaminya, dia akan rasa bersalah, dia rasa gelisah. Demikian juga, seorang suami yang cintakan isterinya.


Jiwa seorang budiman, dia akan gelisah jika dia tidak beribadat. Jiwa seorang budiman, dia akan rasa gementar ketakutan jika dia melakukan dosa dan maksiat.


Sebab itu, al-Quran ada kata: "Orang beriman itu, apabila disebut nama Allah, gementar hatinya. apabila dibacakan ayatNya, bertambah imannya".


Allah kata, orang beriman itu gementar hatinya apabila disebut nama Allah. kita pula dakwa beriman, tetapi semasa disebut nama Allah, tidak gementar pun? apakah kita tidak beriman?


Kita masih beriman, tetapi iman kita tidak tahap jiwa yang budiman. Jiwa tahap budiman sahaja rasa gementar apabila disebut nama Allah.


persoalannya, macam mana nak capai tahap budiman itu?


itulah yang disebut ilmu tasawwuf. 


Kalau dalam fiqh, nak faham fiqh itu ada metode logika, maka keluar istilah Mazhab, macam mana pula nak faham tasawwuf yang menggunakan "metode jiwa". Dari situ, keluar pendekatan tarikat.


Kalau Mazhab adalah proses untuk nak faham amalan perbuatan nabi, maka tarikat adalah proses untuk memahami jiwa Nabi dalam beragama. 


Nabi sudah tidak ada lagi, maka perlu cari orang-orang saleh; mereka yang sudah capai tahap jiwa budiman; kita bermulazamah dengan mereka untuk mencapai tahap tersebut.


Kalau fiqh, boleh belajar dengan konsep logika, tetapi macam mana nak faham hal-hal yang melibatkan rasa dan jiwa? 


makanya, ada konsep mulazamah guru; iaitu guru yang sudah capai tahap jiwa sepertimana nabi itu. Sentiasa hidup bersama dengan guru soleh tersebut sehingga kefahaman jiwa tersebut difahami oleh murid.


Dalam tasawwuf, memang ada konsep adab dengan guru, tetapi tidaklah sampai mentaqdiskan guru. Memang ada konsep adab dengan guru, tetapi tidak ada sampai anggap guru adalah benar yang tidak ada yang tidak benar kecuali benar-benar belaka.


Sebab itu, konsep mulazamah yang paling baik adalah sepertimana Ahl al-Sufah yang bermulazamah dengan nabi. 


itulah asal usul bagi tarikat. Sebab itu, sering kedengaran orang berkata, tarikat macam mana pun mesti dalam lingkungan syariah. Datang sufi besar macam mana pun, mereka tidak boleh keluar dari lingkungan syariah.


Sebab itu, saya amat pelik dengan guru tarikat yang tidak lazimi al-Quran dan hadis. Saya lebih rasa pelik, jika guru tarikat boleh terjebak dengan hadis palsu.


Guru tarikat yang benar, al-Quran adalah bacaan hariannya. Hidup dengan dia, pasti kita akan rasa apa yang dimaksudkan sebagai al-quran bergerak.


tetapi kini, semakin pelik. kadangkala terang-terang bercanggah dengan syariah pun, dianggap tarikat itu sebagai benar.


Sebab itu, perlu berhati-hati jika terlalu tarikat sehingga kesampingkan syariat. Dibimbangi apa yang diistilahkan sebagai TALBIS AL-IBLIS.

No comments:

Post a Comment