Saturday, April 30, 2022

 ANTARA FAKTA DAN AUTA

(Ziarah Kubur Pada Hari Raya)


1) Di antara hadis yang menjadi sandaran kepada keharusan menziarahi kubur pada hari raya adalah hadis berikut: 


Jabir bin Abdillah r.a meriwayatkan:


 كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ

“Nabi shalallahu alaihi wasallam apabila pergi beraya (untuk solat) maka Baginda akan pergi dan balik melalui jalan berbeza” (HR Al-Bukhari, no.957)


Para ulama telah mensyarahkan hadis ini:

i. Imam Badruddin Al-Aini ketika mensyarahkan hadis ini dalam kitab beliau Umdatul  Qari, beliau menyenarai 20 hikmah Nabi melalui jalan yang berbeza, di antaranya:


لِيَزُورَ أَقَارِبَهُ الأَحْيَاءَ وَالْأَمْوَاتَ

“Untuk menziarahi kerabatnya yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia”

Hal yang sama disampaikan oleh Imam Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul Bari. 


ii. Lebih jelas lagi, Imam Abi Al-Abbas Ahmad bin Muhammad Al-Qasthalani menyenaraikan 12 hikmah di antaranya:


لِيَزُورَ قُبُورَ أَقَارِبِهِ فِيْهِمَا

“Untuk menziarahi kubur kerabat Baginda pada kedua-dua jalan”

Hal yang sama dipersetujui oleh Imam Ibnu Allan Asy-Syafie dalam Dalilul Falihin dan Imam Al-Munawi dalam Faidhul Qodir.


Berdasarkan, huraian di atas dapat kita ketahui amalan kita ziarah kubur adalah termasuk dalam sunnah Nabi dan juga hikmah daripada amalan Nabi melalui jalan berbeza. Maka daripada itu juga, kita amalkan dengan tenang dan aman di Malaysia sejak turun temurun tanpa sebarang usaha mengelirukan umat Islam.


2) Selain itu, hadis lain yang menjadi sandaran kepada amalan ini ialah: 


مِنَ السُّنَّةِ زِيَارَةُ جَبَانَةُ الْمُسْلِمِيْنَ يَومِ الْعَيْدِ وَلَيْلَتِهِ

“Di antara sunnah Nabi shalallahu alaihi wasallam adalah berziarah ke kubur kaum muslimin pada siang hari dan malamnya” (HR Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra)


Saidina Ali bin Abi Talib jelas menyatakan menziarah kubur pada hari raya adalah termasuk dalam sunnah Nabi. Maka hendaklah kita beramal tanpa sebarang was-was.


3)   Oleh yang demikian, para ulama salafussoleh juga mengamalkan ziarah kubur pada hari raya seperti kenyataan berikut:


عَنْ عَطَاءِ بْنِ السَّائِبِ قَالَ صَلَّيْتُ الْفَجْرَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ فِي يَوْمِ الْفِطْرِ فَإِذَا أَبُوْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ وَعَبْدُ اللهِ بْنُ مَعْقِلٍ فَلَمَّا قَضَيْنَا الصَّلَاةَ خَرَجَا وَخَرَجْتُ مَعَهُمَا إِلَى الْجَبَانَةِ. 

“Dari Atha’ bin Saib ia berkata: “Saya solat Subuh di masjid ini di hari raya ‘idilfitri, lalu bertemu Abu Abdirrahman dan Abdullah bin Ma’qil. Selepas kami solat hari raya, mereka keluar masjid dan saya juga keluar bersama mereka, menuju ke kuburan”  (Mushannaf Ibni Abi Syaibah, juz.2, ms.70)


4)   Demikianlah kefahaman para ulama sehingga mereka berpandangan amalan ziarah kubur pada hari raya adalah dibolehkan dan tidak timbul dakwaan bidaah dhalalah. Fatwa Al-Azhar Asy-Syarif telah menyatakan pendirian:


وَمِنْ هُنَا نَعْلَمُ أَنَّ زِيَارَةَ النَّاسِ لِلْمَقَابِرِ عَقِبَ صَلَاةِ الْعِيْدِ إِنْ كَانَتْ لِلْمَوْعِظَةِ وَتَذَكُّرِ مَنْ مَاتُوْا وَكَانُوْا مَعَهُمْ فِى الْأَعْيَادِ يُنَعَّمُوْنَ بِحَيَاتِهِمْ ، وَطَلَبِ الرَّحْمَةِ لَهُمْ بِالدُّعَاءِ فَلَا بَأْسَ بِذَلِكَ أَبَدًا 

“Dari sini kita mengetahui bahawa melakukan ziarah kubur oleh ramai orang setelah hari raya, jika tujuannya menjadi pelajaran dan mengingat orang yang telah mati, yang dahulu mereka bersamanya saat hari raya dan merasa senang dengan kehidupannya, serta memohon rahmat dan doa untuk mereka, maka hukumnya boleh, selamanya” (Fatawa Al-Azhar, juz.8, ms.391 dan Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam, juz.1, ms.348)


5)   Secara umumnya, sekalipun tidak mempunyai hadis-hadis di atas maka keharusan menziarahi kubur adalah memadai dengan anjuran umum. Manakala, masyarakat Malaysia menziarahi kubur pada hari raya pula adalah kerana hari tersebut kebetulan dapat balik kampung dan berpeluang menziarahi kubur ibu bapa dan keluarga mereka. 


6)   Namun, ada mulut jahat kaum Wahhabi mempersoal kenapa tidak ziarah hari lain dan mendakwa kita telah mengkhususkan hanya pada hari raya. Maka kami jawab, mereka telah mencipta suatu prasangka, lalu menghukum umat Islam atas prasangka ciptaan mereka sendiri. Jelaslah, mereka adalah golongan yang gemar memperdaya umat Islam.


7)   Akhir kalam, saya harap dengan hujjah-hujjah di atas, kita dapat memperoleh ilmu baharu dan kefahaman yang benar.


Disediakan oleh:

Hafiz Al-Za'farani (HAZA)

No comments:

Post a Comment