Tuesday, April 19, 2022

 ~ ZIKRULLAH¹~


Zikrullah menjadi salah satu rukun yang kuat di dalam usaha untuk sampai kepada Tuhan yang Al-Haq. Malah ianya merupakan tonggak utama di dalam perjalanan ahli-ahli sufi. Al-Imam Ibnu Kathir berkata:


"Duduklah bersama-sama dengan golongan yang berzikir, bertahlil, bertahmid, bertasbih, bertakbir dan hanya bermohon kepada Allah pada waktu pagi dan petang sama ada mereka itu fakir, kaya, kuat atau lemah".


Tidak ada seorang pun yang akan sampai kepada Allah kecuali dengan berterusan melakukan zikir. Selaras dengan firman Allah: 


الَّذِيْنَ يَذْكُرُوْنَ اللّٰهَ قِيَامًا وَّقُعُوْدًا وَّعَلٰى جُنُوْبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُوْنَ فِيْ خَلْقِ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۚ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هٰذَا بَاطِلًاۚ سُبْحٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ {١٩١}


Yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Surah Ãli-'Imran, 3:191)


Dalam amalan tasawuf, zikrullah sebenarnya mempengaruhi perjalanan rohaniah seseorang salik kepada Allah. Peningkatan pengalaman rohaniah sesuai dengan peningkatan zikrullah itu sendiri. Di dalam Tarekat Ahmadiah,  terdapat pelbagai amalan zikir. Amalan zikir yang paling utama ialah Aurad Tarekat Ahmadiah yang disusun oleh Al-Ustaz Sayyidi Ahmad bin Idris RA. Aurad ini merupakan zikir asasi yang perlu diamalkan secara konsisten. Malah mereka berpendapat, pencapaian rohani dalam perjalanan kesufian akan dapat dicapai apabila ada kesungguhan dan penglibatan seseorang dalam mengamalkan aurad ini. Aurad ini terdiri daripada empat jenis iaitu:


1. Fatihatul Aurad


Zikir asas yang pertama iaitu Fatihatul Aurad ini bermaksud "permulaan semua wirid". Zikir ini sangat digalakkan oleh Sayyidi Ahmad bin Idris RA untuk membacanya sebelum memulakan ibadat sembahyang. Ahli tarekat ini biasanya membacanya di permulaan majlis zikir, majlis hol dan majlis tolak bala. Lafaznya ialah: 


اَللَّهُمَّ اِنِّى اُقَدِّمُ إِلَيْكَ بَيْنَ  يَدَىْ كُلِّ نَفَسٍ وَلَمْحَةٍ وَطَرْفَةٍ يَطْرِفُ بِهَا اَهْلُ السَّمَوَاتِ وَأَهْلُ الأََرْضِ ❁ وَكُلِّ شَيْءٍ هُوَ فِىْ عِلْمِكَ كَائِنٌ أَوْ قَدْ كَانَ، اُقَدِّمُ إِلَيْكَ بَيْنَ يَدَىْ ذَلِكَ كُلِّهِ❁


[Ya Allah, sesungguhnya aku mempersembahkan kepada-Mu di hadapan setiap nafas dan setiap kerlipan pandangan dan setiap kerlipan yang mengerlip dengannya oleh penghuni segala langit dan penghuni bumi dan setiap sesuatu yang ada di dalam pengetahuan-Mu yang tetap ada atau sesungguhnya telah ada. Aku mempersembahkan kepada-Mu di hadapan semua itu]


2. Al-Tahlil 


Zikir ini adalah amalan paling utama yang sangat digalakkan kerana kelebihannya yang besar. Al-Tahlil ini adalah zikir utama dalam mana-mana majlis zikir, majlis hol, majlis tolak bala (doa selamat), dan selepas sembahyang fardhu dibaca tiga kali bersama [لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ]² yang dibaca sebanyak empat kali. Lafaznya ialah:


لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهَ مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللَّهِ❁ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَ نَفَسٍ عَدَدَ مَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللَّهِ❁


[Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad Pesuruh Allah, pada setiap kerlipan mata dan nafas sebanyak bilangan luasnya ilmu Allah]


3. Al-Solawat Al-Azimiah 


Selawat ini adalah amalan utama bagi setiap ahli tarekat dan sangat digalakkan membacanya oleh Syeikh-Syeikh tarekat ini. Selawat ini dibaca sebagai zikir penutup bagi setiap sembahyang fardhu, majlis zikir, majlis hol, majlis Maulidur Rasul dan selepas sembahyang jenazah. Lafaznya ialah:


اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِنُورِ وَجْهِ اللهِ الْعَظِيمِ ❁ الَّذِي مَلَأَ أَرْكَانَ عَرْشِ اللهِ الْعَظِيمِ ❁ وَقَامَتْ بِهِ عَوَالِمُ اللهِ الْعَظِيمِ ❁ أَنْ تُصَلِّيَ عَلىٰ مَوْلَانَا مُحَمَّدٍ ذِي الْقَدْرِ الْعَظِيمِ ❁ وَعَلىٰ آلِ نَبِيِّ اللهِ الْعَظِيمِ ❁ بِقَدْرِ عَظَمَةِ ذَاتِ اللهِ الْعَظِيمِ ❁ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَ مَا فِي عِلْمِ اللهِ الْعَظِيمِ ❁ صَلَاةً دَائِمَةً بِدَوَامِ اللهِ الْعَظِيمِ ❁ تَعْظِيمًا لِحَقِّكَ يَا مَوْلَانَا يَا مُحَمَّدُ يَا ذَا الْخُلُقِ الْعَظِيمِ ❁ وَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَعَلىٰ آلِهِ مِثْلَ ذَلِكَ ❁ وَاجْمَعْ بَيْنِي وَبَيْنَهُ كَمَا جَمَعْتَ بَيْنَ الرُّوحِ وَالنَّفْسِ ❁ ظَاهِرًا وَبَاطِنًا ❁ يَقْظَةً وَمَنَامًا ❁ وَاجْعَلْهُ يَا رَبِّ رُوحًا لِذَاتِي مِنْ جَمِيعِ الْوُجُوهِ فِي الدُّنْيَا قَبْلَ الْآخِرَةِ يَا عَظِيمُ ❁


[Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan cahaya Wajah Allah yang Maha Agung. Yang memenuhi segenap penjuru 'Arasy Allah yang Maha Besar. Dan tegak dengan-Nya segala 'alam, Allah yang Maha Agung. Semoga Engkau merahmati ke atas penghulu kami Muhammad yang mempunyai darjat yang maha besar. Dan (selawat yang sama dicurahkan) atas keluarga Nabi Allah yang Maha Besar. Dengan kadar kebesaran Zat Allah yang Maha Agung. Sebagai selawat yang berkekalan dengan kekalnya Zat Allah yang Maha Agung. Kerana membesarkan bagi hak wahai Tuan Penghulu kami, wahai Muhammad, wahai yang mempunyai akhlak yang maha agung. Dan Allah sejahterakan ke atasnya dan demikian juga ke atas keluarganya. (Ya Allah), himpunkanlah aku dan dia (Nabi Muhammad) sepertimana Engkau menghimpunkan di antara roh dan nafsu, zahir dan batin, dalam keadaan jaga dan tidur. Dan jadikanlah dia (Nabi Muhammad), Wahai Tuhan, roh bagi zatku dari segenap jalan di dunia sebelum akhirat, wahai Tuhan yang Maha Agung]


4. Al-Istighfar Al-Kabir 


Istighfar ini mempunyai kelebihan yang besar. Istighfar ini digalakkan membacanya sebelum memulakan mana-mana zikir dan dipermulaan zikir selepas sembahyang fardhu. Lafaznya ialah: 


أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ ❁ غَفَّارَ الذُّنُوبِ ذا الْجَلاَلِ وَالْأِكْرَامِ ❁ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ جَمِيعِ الْمَعَاصِي كُلِّهَا وَالذُّنُوبِ وَالْآثَامِ ❁ وَمِنْ كُلِّ ذَنْبٍ أَذْنَبْتُهُ عَمْدًا وَخَطَئًا ظَاهِرًا وَبَاطِنًا ❁ قَوْلًا وَفِعْلًا ❁ فِي جَمِيعِ حَرَكَاتِي وَسَكَنَاتِي وَخَطَرَاتِي وَأَنْفَاسِي كُلِّهَا دَائِمًا أَبَدًا سَرْمَدًا ❁ مِنَ الذَّنْبِ الَّذِي أَعْلَمُ ❁ وَمِنَ الذَّنْبِ الَّذِي لَا أَعْلَمُ ❁ عَدَدَ مَا أَحَاطَ بِهِ الْعِلْمُ وَأَحْصَاهُ الْكِتَابُ ❁ وَخَطَّهُ الْقَلَمُ ❁ وَعَدَدَ مَا أَوْجَدَتْهُ الْقُدْرَةُ وَخَصَّصَتْهُ الْإِرَادَةُ ❁ وَمِدَادَ كَلِمَاتِ اللهِ كَمَا يَنْبَغِي لْجِلَالِ وَجْهِ رَبِّنَا وَجَمَالِهِ وَكَمَالِهِ ❁ وَكَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى ❁


[Aku memohon keampunan kepada Allah yang Maha Agung, yang tiada tuhan melainkan Dia, yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Dengan Sendirinya. Maha Mengampuni segala dosa, yang mempunyai sifat kebesaran dan kemuliaan. Aku bertaubat kepada-Nya dari segala maksiat, dosa dan kesalahan. Dan dari semua dosa yang telah aku lakukan secara sengaja atau tersalah, sama ada zahir  mahupun batin, (yang berbentuk) kata dan perbuatan, seluruh gerak geriku, diamku, lintasan hatiku dan nafsuku semuanya sentiasa berkekalan selama-lamanya. Dari dosa yang aku ketahui dan dari dosa yang tidak aku ketahui. Sebilangan apa yang diliputi dengannya oleh ilmu Allah dan dicatat di dalam kitab. Dan yang digariskan-Nya dan ditentukan-Nya oleh kehendak-Nya. Dan sebanyak dakwat kalimah Allah. Sepertimana layaknya sifat Jalal bagi Tuhan kami dan Jamal-Nya dan Kamal-Nya. Dan sebagaimana yang dikasihi oleh Tuhan kami dan Dia redhai]. 

_

¹ Kertas Kerja "Tarekat Al-Ahmadiah Al-Idrisiah Al-Rasyidiah Al-Dandarawiah Dan Sejarahnya Di Negeri Sembilan"; oleh Almarhum Dato' Syeikh Hj. Mohd Murtadza bin Syeikh Hj. Ahmad (2012)


² Dikenali juga dengan Doa Al-Itqi

No comments:

Post a Comment