Thursday, October 27, 2022

 PENYOKONG PH PERLU BERLAPANG DADA


1. Saya tidak ada kepentingan parti. Tidak juga menyokong mana-mana pemimpin dan parti. Cuma dalam pilihan raya ini, saya mahukan DS Anwar Ibrahim menjadi PM. Bukan kerana saya mengenali beliau, rapat dengan beliau atau ada kepentingan dengan beliau, tetapi kerana saya yakin dalam beberapa bakal calon PM yang ada, DSAI adalah yang terbaik untuk memimpin negara hebat ini ke depan.


2. Saya tiada isu atau hal peribadi dengan bakal PM yang lain. Mereka hebat dan baik. Mereka banyak jasa pada negara. Tetapi dalam suasana ekonomi politik sekarang, saya tiada pilihan. Saya perlu memilih satu sahaja antara calon yang ada, dan saya memilih DS Anwar Ibrahim. 


3. Sebabnya saya yakin DS Anwar adalah pemimpin yang dapat melonjakkan negara di pentas dunia. Pada Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu tahun 2023, saya mahu lihat DS Anwar berucap di New York. Pemimpin dunia memenuhi dewan mendengar ucapan dan wawasan beliau. Menonton di kaca tv, sebagai rakyat Malaysia saya pasti bangga jika saat itu datang.


4. Malaysia perlu dipulihkan—ekonomi, politik, hubungan luar, pendidikan, perdagangan, keselamatan dan lainnya. Jika ini mahu dilakukan, DS Anwar Ibrahimlah orangnya.


5. Semangat inilah yang mendorong saya menulis artikel di bawah hari ini. Saya mahu kedua-dua pemimpin Tun dan DS Anwar duduk berbincang. Duduk berbincang itu bukan bererti PEJUANG menyertai gabungan PH. 


6. Duduk berbincang itu adalah untuk mencari formula bagaimana PH boleh menang, DS Anwar Ibrahim boleh menjadi PM, cari solusi menang-menang, dan Tun dikenang sebagai negarawan.


7. Betul Tun ada kesilapan politik. Begitu juga DS Anwar, tetap ada kesilapan politik. Tetapi mereka pemimpin yang menentukan kerajaan mana terbentuk selepas ini. Jika tidak mahu BN atau PN memerintah, cuma kerjasama mereka yang boleh menyelamatkan negara ini.


8. Usah cakap lebih baik ‘kalah bermaruah’. Tidak ada gunanya berjuang untuk kalah bermaruah jika akhirnya negara akan statik kemajuannya dan rakyat kekal dengan hanya diberikan ikan. Kita perlukan kail sekarang untuk berdiri sendiri. Kita perlukan kesejahteraan.


9. Oleh sebab itulah, saya mohon supaya kita memberikan sokongan moral kepada dua pemimpin ini untuk bertemu dan berbincang. Kita masih ada masa untuk itu.


Semoganya.

Prof Agus.

No comments:

Post a Comment