Friday, June 13, 2025

Nurul Izzah bila lagi?

 

Bila lagi bakat kepimpinan dan kebolehan Nurul Izzah mahu ditonjolkan sebagai bakal Perdana Menteri wanita pertama Malaysia?



LUPAKAN YANG KECUNDANG, INI MASA ANWAR HARGAI MEREKA YANG MENANG

 

13 June 2025

Semalam, Perdana Menteri secara terbuka telah meluahkan hasrat untuk melihat dua bekas menteri, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad kembali semula menyertai kabinet.

Walaupun kedua-dua mereka telah mengemukakan surat peletakan jawatan dan memohon cuti, Anwar menjelaskan, beliau hanya meluluskan cuti saja bagi memberi ruang kepada mereka mempertimbangkan semula keputusan masing-masing.

” … biar mereka berfikir …. Saya kalau boleh (mahu) mereka sertai semula (Kabinet). 

“Surat (peletakan jawatan) sudah diterima, tetapi saya belum terima (luluskan) peletakan jawatan mereka,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama. 

Bagaimanapun dalam hantaran terbaru di media sosialnya pagi ini, Rafizi Ramli memaklumkan tentang kedatangannya ke pejabat di Kementerian Ekonomi buat kali terakhir pada semalam dan hari ini ( Khamis dan Jumaat).

Menurut beliau, kedatangannya adalah untuk beberapa urusan terakhir susulan  keputusannya menghantar surat perletakan jawatan baru-baru ini, termasuk mengemas pejabatnya.

Dalam hantaran itu, Rafizi turut memberi penghargaan kepada lima pegawai dasar yang telah meninggalkan kerjaya profesional mereka demi menyokong dan merealisasikan visi ekonomi bersamanya di Kementerian Ekonomi.


“Kini mereka akan kembali ke bidang masing-masing,” tulisnya lagi.




Hantaran terbaru Rafizi itu sekaligus adalah jawapan kepada luahan hati dan pengharapan Anwar semalam.

Ertinya, Rafizi tetap dengan keputusan ingin pergi meninggalkan jawatan dalam kabinet sepertimana telah diputuskannya.

Rafizi sebelum ini menyebut, keputusannya meletakkan jawatan adalah kerana selepas kekalahannya kepada Nurul Izzah, beliau kini tiada lagi mandat parti untuk terus berada dalam kerajaan.


Tambahan lagi, ketika kempen HIRUK yang lepas, Rafizi berkali-kali mengikrarkan janji akan meletakkan jawatan sebagai menteri jika gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang dipegangnya kepada Nurul Izzah Anwar.

Sekarang, Rafizi telah menunaikan segala janji dan berpegang kepada kata-katanya.

Dan rasa-rasanya para penyokong Rafizi pun gembira dengan keputusan yang dibuatnya itu.

Kepada Anwar, eloklah lupakan saja cubaan untuk terus memujuk dan masih menaruh harapan agar Rafizi dan Nik Nazmi kembali semula dalam kabinet.

‘Move on’ dan hormatilah keputusan mereka.

Lebih baik Anwar perkemas semula kekuatan parti melalui mereka yang menang bertanding dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Selepas pemilihan selesai, ia adalah masa untuk meraikan serta menghargai pihak yang menang, bukan meratapi kehilangan mereka yang kecundang.

Jika takut dengan kehilangan, kenapa sebelum ini dibenarkan ada pertandingan?

Dengan itu, tak usahlah merintih lagi dan segeralah isi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Rafizi dan Nik Nazmi itu dengan mereka yang diberi mandat baru oleh perwakilan parti.

Biarkan mereka yang pergi berehat seketika, lagi pula Rafizi juga telah memaklumkan sebelum ini bahawa beliau turut menolak untuk dilantik sebarang jawatan dalam parti.

Mudah kata, dengan sudah menulis surat meletak jawatan, mengumumkan menolak sebarang tawaran kedudukan dalam parti dan telah berkemas pejabat, sia-sia sajalah jika masih lagi menaruh harapan kepadanya.

Jangan jadi hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

Lagi pun, jika masih berharap kepada Rafizi, bila lagi bakat kepimpinan dan kebolehan Nurul Izzah mahu ditonjolkan sebagai bakal Perdana Menteri wanita pertama Malaysia? – ShahbudinHusin 13Jun2025.

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

No comments:

Post a Comment