Wednesday, August 12, 2026

 Presiden UMNO diarah untuk bela diri untuk 47 kesnya yang melibatkan YAYASAN AKAL BUDI.


Antara Kronologi Kes & Perbicaraan:


3 JULAI 2018:

Ahmad Zahid ke Ibu Pejabat SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.


18 OKTOBER 2018:

Ahmad Zahid ditahan SPRM berhubung salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.


Ahmad Zahid menolak cadangan peguamnya untuk membuat permohonan kebenaran untuk diikat jamin supaya tidak ditahan di lokap SPRM.


19 OKTOBER 2019:

Ahmad Zahid dibawa ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur untuk didakwa.


20 NOVEMBER 2019:

Saksi: Ahmad Zahid mengarahkan seorang pegawai operasi bank membuat pengeluaran wang berjumlah RM17,953,185.21 dan dibayar kepada Messrs Lewis & Co, yang juga pemegang amanah yayasan itu.


3 DISEMBER 2019:

Saksi memberitahu mahkamah terdapat 19 kenderaan, antaranya jenama mewah Mercedes Benz, BMW dan Audi serta motosikal berkuasa tinggi didaftarkan di bawah nama Bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


9 DISEMBER 2019:

Saksi memberitahu mahkamah Yayasan Akalbudi mengeluarkan tiga cek berjumlah RM107,509.55 bagi membayar 20 polisi dan cukai kenderaan yang didaftarkan atas nama bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan keluarganya pada 2015.


13 FEBRUARI 2020:

Seorang ahli kimia hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa 16 cek milik Yayasan Akalbudi yang digunakan untuk membuat beberapa pembayaran termasuk kegunaan peribadi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai tandatangan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


2 MAC 2020 :

Pihak pendakwaan memohon untuk memulakan prosiding menghina mahkamah susulan penangguhan perbicaraan pada hari tersebut selepas peguam yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan anak guamnya perlu menghadiri satu mesyuarat berkaitan pembentukan Kabinet bersama Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan pada hari tersebut.


16 JUN 2020:

Saksi memberitahu mahkamah bahawa adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, membeli dua banglo di Country Heights, Kajang, bernilai RM5.9 juta menerusi cek Tetuan Lewis & Co, iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


27 JULAI 2020:

Seorang pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau membuat sumbangan sebanyak RM6.6 juta juta kepada Yayasan Akalbudi bagi mendapatkan projek daripada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


12 OKTOBER 2020:

Bekas Setiausaha Eksekutif kepada Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan, mengulangi kenyataannya di Mahkamah Tinggi bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk pembayaran kad kredit peribadi beliau.


4 MAC 2021:

Saksi memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid menerima dua keping cek berjumlah RM6 juta daripada Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad (DGB), Chew Ben Ben dan menyerahkannya kepada Tetuan Lewis & Co.


5 MAC 2021:

Saksi memberitahu mahkamah terdapat pengeluaran dan kemasukan wang agak besar dalam sebuah syarikat didakwa terbabit dalam kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu walaupun tiada aktiviti perniagaan dijalankan syarikat itu.


8 MAC 2021:

Saksi memberitahu mahkamah bahawa pengeluaran wang Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu berjumlah RM17.9 juta telah dibuat tanpa persetujuan Lembaga Pemegang Amanah yang lain.


9 MAC 2021:

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pindaan yang dibuat pihak pendakwaan terhadapnya.

Mengikut pindaan pertuduhan ke-27 itu, Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram membabitkan 35 keping cek berjumlah RM7,511,250.


24 JANUARI 2022:

Mahkamah Tinggi memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Saturday, August 8, 2026

 MELAYU DAN ISLAM WAJIB DIPERTAHANKAN, TETAPI JANGAN JADIKAN KETAKUTAN SEBAGAI MODAL POLITIK

(1) Saya membaca tulisan Presiden PAS bertajuk 'DAP Memimpin PH Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam'. Panjang tulisannya. Banyak sejarah disentuh, banyak ayat al-Quran dikemukakan dan banyak dakwaan politik dibuat.
Sebagai seorang Melayu dan Muslim, saya tidak mempunyai masalah dengan seruan supaya Islam, Raja-raja Melayu, bahasa Melayu serta kedudukan Melayu dan Bumiputera dipertahankan. Semua perkara tersebut mempunyai tempat yang jelas dalam kerangka Perlembagaan negara kita.
Persoalannya, apabila tuduhan sudah sampai kepada tahap mengatakan ada pihak sedang menyambung kerja penjajah untuk menghapuskan Melayu Islam, maka tuduhan sebesar itu mestilah datang bersama bukti yang sama besarnya.
(2) Kita perlu membezakan antara fakta sejarah dengan tafsiran politik terhadap sejarah. Memang benar penjajahan British meninggalkan kesan yang sangat besar terhadap struktur masyarakat Tanah Melayu.
Dasar ekonomi kolonial membentuk pembahagian pekerjaan dan penempatan yang sebahagiannya berasaskan kaum. Masyarakat Melayu banyak berada di kawasan luar bandar, masyarakat Cina tertumpu dalam kegiatan perlombongan dan perdagangan, manakala masyarakat India banyak dibawa masuk untuk sektor perladangan dan pekerjaan tertentu.
Kesan struktur ini berpanjangan sehingga selepas merdeka. Itu sejarah yang boleh dibincangkan dan dikaji.
(3) Namun daripada sejarah penjajahan tersebut, kita tidak boleh terus melompat kepada kesimpulan bahawa sebuah parti politik Malaysia pada hari ini sedang menyambung rancangan penjajah British untuk menghapuskan Melayu dan Islam.
Di sinilah fakta sejarah bertukar menjadi dakwaan politik. Dakwaan politik pula memerlukan pembuktian. Siapa merancangnya? Apakah dokumennya? Apakah dasar kerajaan yang melaksanakannya? Apakah undang-undang yang telah digubal untuk tujuan tersebut? Apakah institusi Melayu atau Islam yang sudah dimansuhkan?
Soalan-soalan ini mesti dijawab dengan fakta, bukan sekadar andaian.
(4) Begitu juga apabila sejarah PAP di Singapura dikaitkan dengan DAP di Malaysia. Hubungan sejarah dan ideologi antara kedua-duanya boleh dibincangkan. Konsep Malaysian Malaysia juga boleh dikritik. Saya sendiri berpandangan apa sahaja gagasan politik yang menyentuh kedudukan Melayu, Islam, Raja-raja Melayu atau struktur asas Perlembagaan wajib diperhalusi dan dikritik sekiranya bercanggah dengan kerangka negara.
Namun kita tidak boleh mengambil apa yang berlaku di Singapura puluhan tahun dahulu lalu menjadikannya bukti automatik bahawa setiap tindakan DAP hari ini merupakan kesinambungan rancangan penjajah British. Sejarah tidak boleh dibaca dengan cara begitu.
(5) Begitu juga dakwaan bahawa 'DAP mendominasi Pakatan Harapan' atau 'DAP menguasai kerajaan'. Dominasi dari sudut apa?
Bilangan kerusi? Jawatan Perdana Menteri? Jemaah Menteri? Dasar kerajaan? Penggubalan undang-undang? Kuasa eksekutif? Kalau benar sebuah parti menguasai kerajaan, tunjukkan mekanisme penguasaan tersebut.
Jangan sekadar menggunakan perkataan 'dikuasai' kerana perkataan itu mudah menimbulkan ketakutan dalam kalangan Melayu.
(6) Hakikat yang ada di hadapan kita ialah kerajaan Persekutuan masih diketuai seorang Perdana Menteri Melayu-Islam. Sistem Raja Berperlembagaan masih berdiri. Yang di-Pertuan Agong masih menjadi Ketua Utama Negara. Majlis Raja-Raja masih mempunyai kedudukannya.
Pentadbiran agama Islam di negeri-negeri masih berada dalam kerangka kuasa Raja-raja Melayu dan pihak berkuasa agama masing-masing. Jemaah Menteri pula terdiri daripada pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Maka kalau hendak mengatakan bahawa DAP telah menguasai keseluruhan kerajaan, perkara itu perlu dibuktikan melalui struktur kuasa sebenar negara, bukan persepsi semata-mata.

(7) Lebih mudah lagi, lihat sahaja Perlembagaan Persekutuan. Adakah Perkara 3 yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sudah dimansuhkan? Tidak. Adakah institusi Raja-raja Melayu telah dihapuskan? Tidak. Adakah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 telah dibuang? Tidak. Adakah kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera di bawah Perkara 153 telah dimansuhkan? Tidak.
Kalau benar sedang berlangsung suatu projek besar untuk 'menghapuskan Melayu dan Islam', tentulah perkara-perkara asas inilah antara yang perlu ditunjukkan sebagai bukti.
(😎 Perkara yang perlu rakyat faham ialah Malaysia bukan sebuah negara yang struktur asasnya boleh diubah sesuka hati oleh satu parti politik. Ada Perlembagaan. Ada Parlimen. Ada Yang di-Pertuan Agong. Ada Majlis Raja-Raja. Ada kerajaan negeri. Ada badan kehakiman. Ada pembahagian kuasa.
Malah pindaan terhadap beberapa perkara tertentu dalam Perlembagaan mempunyai syarat dan prosedur yang lebih ketat. Sebab itu rakyat perlu dididik tentang bagaimana negara sebenarnya berfungsi, bukannya sekadar diajar siapa yang perlu mereka takuti.
(9) Saya juga sangat berhati-hati apabila ayat al-Quran digunakan dalam pertarungan politik. Al-Quran memang pedoman tertinggi umat Islam. Tiada siapa mempertikaikannya. Namun ayat al-Quran mempunyai konteks, tafsir dan disiplin ilmu untuk memahaminya.
Ayat berkaitan permusuhan terhadap umat Islam tidak sewajarnya dijadikan jalan pintas untuk membuktikan bahawa sebuah parti politik yang majoriti ahlinya bukan Islam sedang melaksanakan agenda penjajah untuk menghapuskan Islam.
Kalau tuduhan itu berkaitan politik dan pentadbiran, buktikan dahulu secara politik dan pentadbiran. Dalil agama tidak sepatutnya menjadi pengganti kepada bukti.
(10) Lebih menarik, sejarah politik Malaysia sendiri menunjukkan PAS pernah bekerjasama dengan DAP. Kedua-duanya pernah berada dalam Barisan Alternatif dan kemudian bekerjasama pula dalam Pakatan Rakyat.
Maka pertanyaan yang wajar dikemukakan ialah, adakah ketika PAS bekerjasama dengan DAP dahulu, DAP belum menjadi ancaman kepada Melayu dan Islam? Kalau ideologinya sudah diketahui sejak awal, mengapa tahaluf politik boleh dilakukan ketika itu?
Kalau PAS dahulu boleh bekerjasama dengan DAP atas beberapa titik persamaan tanpa dianggap menjual Islam, mengapa apabila parti Melayu lain bekerjasama dengan DAP hari ini, kerjasama itu terus digambarkan sebagai usaha menghapuskan Melayu-Islam? Ini bukan soal mempertahankan DAP. Ini soal konsistensi dalam berhujah.
(11) Isu pilihan raya PBT juga perlu diperbetulkan dari sudut sejarah. Pilihan raya kerajaan tempatan bukan dimansuhkan akibat Peristiwa 13 Mei 1969. Pilihan raya tempatan telah digantung lebih awal pada pertengahan tahun 1960-an sebelum sistem kerajaan tempatan kemudiannya disusun semula.
Kalau kita mahu menentang pilihan raya PBT, tidak mengapa. Bentangkan hujah tentang demografi bandar, representasi penduduk, ketidakseimbangan kawasan, implikasi sosial, kewangan PBT dan kesannya terhadap masyarakat majmuk. Itu namanya perbahasan dasar.
Jangan setiap perbahasan akhirnya ditutup dengan satu ketakutan bahawa Melayu akan hilang.
(12) Begitu juga isu bahasa Inggeris. Memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris tidak secara automatik bermaksud mahu menghapuskan bahasa Melayu. Saya sendiri akan menentang sesiapa sahaja yang mahu merendahkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Perkara 152 wajib dihormati. Namun seorang anak Melayu yang menguasai bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Mandarin atau bahasa-bahasa lain tidak menjadikannya kurang Melayu. Bahasa Melayu kita martabatkan. Bahasa lain kita kuasai. Kedua-duanya boleh bergerak serentak.
(13) Saya juga tidak bersetuju apabila sesuatu bangsa digambarkan seolah-olah mempunyai satu sifat politik yang sama. Ada Melayu yang rasis. Ada Cina yang rasis. Ada India yang rasis. Ada ahli PAS yang melampau. Ada ahli DAP yang melampau. Ada ahli UMNO, PKR, Amanah dan parti lain yang kadangkala bercakap melampaui batas.
Kesalahan seseorang atau sekumpulan individu jangan dipindahkan kepada seluruh bangsa. Kalau kita benar-benar mahu menentang politik perkauman, jangan pula kita mencipta perkauman baharu untuk melawan perkauman.

(14) Kedudukan Melayu dalam sejarah dan struktur negara ini memang tidak perlu dinafikan. Perlembagaan sendiri mengiktiraf Islam, bahasa Melayu, institusi Raja-raja serta kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera.
Dalam masa yang sama, Perlembagaan turut memberikan kewarganegaraan dan hak kepada rakyat Malaysia daripada kaum lain. Inilah kerangka kenegaraan yang kita warisi dan mesti kita fahami. Mempertahankan Melayu tidak bermaksud kita perlu menjadikan Cina sebagai musuh. Mempertahankan Islam pula tidak bermaksud semua bukan Islam merupakan ancaman.
(15) Sebenarnya saya lebih bimbang kalau politik Melayu terus-menerus dibina atas ketakutan. Setiap beberapa tahun kita diberitahu Melayu sedang terancam. Melayu akan hilang kuasa. Islam akan terhapus. Negara akan dikuasai orang lain.
Sedangkan persoalan yang jauh lebih penting ialah mengapa selepas puluhan tahun merdeka masih ada Melayu miskin? Mengapa sebahagian anak Melayu tercicir dalam pendidikan? Mengapa pemilikan ekonomi Bumiputera masih menjadi cabaran? Bagaimana keadaan tanah rizab Melayu? Bagaimana kita mahu melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, doktor, profesional, usahawan dan pemikir Melayu?
(16) Itulah perjuangan Melayu yang saya mahu dengar. Melayu yang kuat ekonominya. Melayu yang tinggi pendidikannya. Melayu yang berintegriti. Melayu yang menguasai teknologi. Melayu yang memahami Perlembagaan. Melayu yang boleh membaca data.
Melayu yang mampu bersaing di peringkat dunia. Melayu yang tidak mudah dipermainkan dengan propaganda daripada mana-mana parti politik. Melayu tidak menjadi kuat hanya kerana takut kepada DAP. Melayu menjadi kuat apabila bangsanya mempunyai ilmu, ekonomi, akhlak, integriti dan keupayaan.
(17) Kalau benar DAP melakukan sesuatu yang mencabar Islam, tunjukkan. Kalau pemimpinnya menghina Raja-raja Melayu, kemukakan kenyataannya dan kita kritik bersama. Kalau ada usaha melemahkan bahasa Melayu, bentangkan dasarnya.
Kalau ada Rang Undang-Undang yang mahu menghapuskan kedudukan Melayu, tunjukkan kepada rakyat. Saya sendiri tidak akan mempertahankan mana-mana parti sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku.
DAP bukan maksum. PAS bukan maksum. UMNO bukan maksum. PKR bukan maksum. Amanah juga bukan maksum.
Semuanya parti politik yang dianggotai manusia. Maka semuanya boleh melakukan kesalahan dan semuanya wajib boleh dikritik.
(18) Di sinilah bezanya politik kepartian dengan politik kenegaraan. Politik kepartian terlalu sibuk bertanya,
“Bagaimana aku mahu memastikan rakyat takut kepada lawan supaya mereka memilih aku?”
Politik kenegaraan pula bertanya,
“Apakah fakta sebenar dan apakah yang terbaik untuk negara?”
Kalau DAP salah, kritik DAP. Kalau PAS salah, kritik PAS. Kalau UMNO salah, kritik UMNO. Kalau PKR salah, kritik PKR. Kalau kerajaan salah, tegur kerajaan.
(19) Saya mahu Melayu kuat. Saya mahu Islam terus dihormati. Saya mahu Raja-raja Melayu terus menjadi tonggak negara. Saya mahu bahasa Melayu terus dimartabatkan. Saya mahu hak Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan terus dipertahankan. Namun saya juga mahu orang Melayu menjadi bangsa yang cerdik membaca fakta, matang menilai politik dan berani bertanya sebelum mempercayai sesuatu dakwaan.

(20) Malaysia sudah lebih enam dekad merdeka. Rakyat semakin berpendidikan. Perlembagaan boleh dibaca. Hansard Parlimen boleh disemak. Dasar kerajaan boleh dinilai. Data boleh dibandingkan. Sejarah boleh dikaji. Kenyataan pemimpin boleh dimainkan semula.
Maka kalau benar ada pihak mahu menghapuskan Melayu dan Islam, bawakan bukti satu persatu. Kalau benar, kita lawan bersama-sama.
Tetapi kalau yang ada hanyalah andaian, generalisasi, ketakutan dan tafsiran politik yang dibalut dengan sejarah serta ayat al-Quran, kita juga mesti berani mengatakan:
Itu belum menjadi bukti.
Jangan sampai kerana terlalu mahu memenangkan parti, sejarah dijadikan senjata, agama dijadikan perisai dan ketakutan orang Melayu dijadikan modal politik.
Kita boleh berbeza parti. Kita boleh berbeza ideologi.
Tetapi dalam politik kenegaraan, sesuatu tuduhan mesti berdiri atas ilmu, fakta, amanah dan kejujuran.
Mohd Fadhli Othman

Tuesday, August 4, 2026

 Analisis Implikasi Politik Sekiranya DAP Memutuskan Keluar Daripada Kerajaan Perpaduan


​Kedudukan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim kini berada di bawah sorotan tajam pemerhati politik tanah air. Landskap politik negara dijangka berdepan ketidaktentuan baharu susulan tindakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang dijadualkan mengadakan Persidangan Kebangsaan Khas pada 16 Ogos 2026.


Perhimpunan khas ini bermatlamat memberikan ruang kepada para perwakilan parti untuk mengundi usul penting, sama ada mahu kekal menjadi sebahagian daripada pentadbiran persekutuan atau memilih untuk mengundurkan diri.


​Hakikatnya, masa depan dan keabsahan pentadbiran Anwar bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana bentuk tindakan yang bakal diambil oleh DAP. Terdapat dua gambaran utama yang boleh berlaku, bergantung kepada sama ada parti tersebut sekadar melepaskan jawatan dalam kabinet atau bertindak radikal dengan menarik balik sokongan parlimen secara menyeluruh.


​Dalam senario pertama, DAP mungkin membuat keputusan untuk keluar daripada pentadbiran kabinet namun kekal menyokong kepimpinan Anwar di peringkat parlimen. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebelum ini pernah memberi bayangan bahawa sekiranya perwakilan memilih untuk mengundurkan diri, para pemimpin parti berkemungkinan besar hanya akan melepaskan portfolio sebagai menteri dan timbalan menteri.


Melalui pendekatan ini, 40 Ahli Parlimen DAP akan terus memberikan sokongan kepada Anwar di Dewan Rakyat sehingga pilihan raya umum yang akan datang. Langkah ini membolehkan Kerajaan Perpaduan kekal berdiri teguh dari segi bilangan kerusi, meskipun struktur pentadbiran persekutuan akan mengalami perombakan besar tanpa penglibatan pemimpin DAP dalam Jemaah Menteri.


​Berbeza pula keadaannya sekiranya DAP mengambil tindakan lebih drastik melalui senario kedua, iaitu menarik balik sokongan parlimen secara total. Pentadbiran Kerajaan Perpaduan pada masa ini menikmati sokongan kukuh melebihi majoriti dua pertiga dengan menguasai lebih daripada 148 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen.


Sekiranya blok 40 kerusi DAP dikeluarkan daripada persamaan tersebut, jumlah sokongan terhadap pentadbiran Anwar akan merosot dengan ketara ke paras di bawah 112 kerusi, iaitu angka minimum yang diperlukan untuk membentuk majoriti mudah. Impaknya, kerajaan persekutuan akan serta-merta berdepan situasi kerajaan tergantung, sekali gus menggugat keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri kerana kehilangan sokongan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.


​Sekiranya situasi kehilangan majoriti ini benar-benar terjadi, Perlembagaan Persekutuan menyediakan dua saluran penyelesaian utama yang boleh diambil oleh Perdana Menteri. Pilihan pertama adalah dengan membentuk pakatan politik baharu dalam kadar segera. Anwar perlu mengadakan rundingan bersama blok pembangkang atau parti-parti kecil lain untuk mengumpul semula sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen bagi mengekalkan kuasa.


​Sekiranya usaha membina pakatan baharu gagal dicapai, Anwar tertakluk kepada pilihan kedua iaitu menghadap Yang di-Pertuan Agong. Dalam pertemuan tersebut, beliau perlu mempersembahkan peletakan jawatan seluruh Jemaah Menteri atau memohon perkenan Seri Paduka Baginda untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum mengejut.


Oleh yang demikian, keputusan yang bakal dimaktubkan dalam Persidangan Kebangsaan Khas DAP kelak bukan sahaja menentukan hala tuju parti tersebut, malah menjadi penentu utama kestabilan serta kelangsungan pemerintahan negara.


Sumber:Facebook//Cardock

 APA AKAN JADI KALAU GABUNGAN PH-PAS PRU 16


Jika formula simulasi ditukar kepada gabungan PH + PAS ia akan membentuk sebuah "Super-Coalition" yang mampu menyapu bersih sekitar 135 hingga 145 kerusi Parlimen di Semenanjung.


Secara matematik pilihan raya, cantuman undi penyokong bandar (PH) dengan undi teras Melayu-Islam luar bandar (PAS) akan menghasilkan sebuah blok politik yang mustahil dikalahkan oleh mana2 parti lain. 


Gabungan ini akan membunuh terus pengaruh BN (UMNO) dan baki Bersatu di Semenanjung.


Kawasan utara dan timur akan lumpuh sepenuhnya buat pencabar lain. Di Kelantan, Terengganu, dan Kedah, PAS sedia dominan. Di Perak dan Pulau Pinang, apabila kerusi Melayu tradisi PAS dicampurkan dengan kerusi bandar milik PH, gabungan ini akan menang hampir 100% kerusi. BN dan Bersatu tidak akan mempunyai ruang langsung untuk bernafas.


Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya - 35 Kerusi.

PH+PAS menguasai 33 - 35 kerusi.


Analisis: 

Wilayah Lembah Klang akan menyaksikan kemenangan mutlak. Bandar padat disapu oleh PH, manakala kawasan pinggir dan luar bandar Selangor seperti Kapar, Sungai Besar, Kuala Selangor, Hulu Selangor disapu bersih hasil cantuman undi PAS dan PH....BN akan kehilangan baki semua kerusi margin mereka di Selangor.


Negeri Sembilan, Melaka, Johor - 45 Kerusi. PH+PAS menawan 30 - 33 kerusi.


Analisis: 

Kawasan selatan adalah kubu tradisi BN. Namun, dengan formula PH+PAS, kubu BN akan runtuh. Sebagai contoh, di kerusi campuran Johor yang mempunyai 45% hingga 55% pengundi Melayu, undi bukan Melayu (PH) yang dicampurkan dengan sekitar 20%-30% undi Melayu tegar PAS sudah lebih daripada cukup untuk menumbangkan calon BN dengan majoriti mudah.


Kenapa Formula PH+PAS Menghasilkan Angka Paling "Monster"?


Gabungan Dua "Kolam Undi" Terbesar: 

PH memegang kolam undi terbesar bukan Melayu dan kelas menengah bandar. PAS pula memegang kolam undi terbesar Melayu luar bandar. Apabila kedua-dua kolam ini dicantumkan, ia merangkumi hampir 75% hingga 80% daripada keseluruhan pengundi di Semenanjung.


Kematian Politik BN & Bersatu: 

Tanpa kerjasama PAS, Bersatu akan kehilangan jentera akar umbi dan identiti mereka. BN pula akan kehilangan kelebihan di kawasan campuran kerana mereka tidak lagi boleh mengharapkan undi bukan Melayu untuk menyelamatkan mereka (kerana undi bukan Melayu sudah disapu bersih oleh PH).


Pengulangan Sejarah (Model Pakatan Rakyat 2008-2013): Secara sejarahnya, semasa era Pakatan Rakyat (DAP + PKR + PAS), gabungan ini berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN buat kali pertama dalam sejarah. 


Jika ia berlaku semula pada PRU16 dengan kekuatan PAS yang jauh lebih besar sekarang, mereka dengan mudah boleh mendapat majoriti dua pertiga di peringkat Parlimen Semenanjung sahaja.


Gabungan PH+PAS bukan sahaja mendapat 2/3 kerusi Melayu, tetapi mampu menyapu bersih hampir 100% daripada keseluruhan kerusi majoriti Melayu di Semenanjung Malaysia.


Jika gabungan PH+PAS ini menguasai sekitar 115 kerusi Melayu, ditambah pula dengan 25 hingga 30 kerusi bandar/bukan Melayu yang dimenangi mudah oleh PH, jumlah keseluruhan kerusi mereka di Semenanjung sahaja adalah sekitar 140 hingga 145 kerusi.


Angka ini sudah melebihi majoriti 2/3 daripada keseluruhan 165 kerusi Parlimen Semenanjung (110 kerusi diperlukan untuk 2/3 Semenanjung).


Ini bermakna, secara formula matematik etnik, pakatan PH+PAS adalah satu-satunya formula yang boleh memberikan dominasi mutlak merentasi semua kaum dan wilayah di Semenanjung tanpa perlukan persaingan sengit.


Gabungan PH+PAS dianggap oleh penganalisis sebagai formula yang paling stabil untuk hubungan kaum. Model ini menggabungkan dua parti dengan keahlian terbesar di Malaysia, yang bermaksud ia mewakili hampir keseluruhan spektrum rakyat. PH mewakili majoriti masyarakat bandar dan bukan Melayu, manakala PAS memegang sokongan padu masyarakat luar bandar dan Melayu-Islam.


Kesimpulan simulasi:

Walaupun PAS bersama PH, MP Melayu adalah blok etnik yang paling besar dan dominan dengan 84 MP.

Saturday, August 1, 2026

 Entah siapa Penulis ini. Tapi kandungannya jelas. Saya bersetuju hampir semua perkara.




PMX. Buat Total Reform. Tak payah kesian2 lagi. 


PH sudah kalah 2 kali berturut² dan PH sudah banyak kali ditikam oleh musuh dan kawan sendiri.


Namun bagi saya, PMX jangan bubarkan Parlimen terlebih awal. 


Teruskan mandat sehingga tamat penggal.

Dan PMX dah boleh buat reform habis-habisan.


Ini bukan lagi masanya untuk bermain selamat atau cuba memuaskan semua pihak.


Gunakan baki tempoh pentadbiran untuk laksanakan reform secara total. 


Reform institusi. 

Reform ekonomi. 

Reform GLC. 

Reform tatakelola. 

Reform perkhidmatan awam. 

Reform politik.


PMX jangan simpan apa² lagi dah. 

Jangan lagi terlalu menjaga kelompok atau kem tertentu.


Time to ditch your clans sir. 


Kalau ini benar² penggal terakhir PMX, biarlah ia dikenang sebagai penggal yg mengubah negara, bukan sekadar untuk menstabilkan negara semata². 


History rarely remembers leaders who played safe. It remembers those who had the courage to change the course of a nation.


It might be your last term, Sir.

Now , time to drop the bombs.


Either you die a hero, or you live long enough to become the villain.

 Suatu ketika dahulu, rakyat menilai kerajaan berdasarkan prestasi ekonomi, peluang pekerjaan, pembangunan dan kebajikan yang dibawa. Hari ini, keadaan itu dilihat semakin berubah apabila sentimen kaum dan agama menjadi faktor utama dalam menentukan pilihan.


Isu seperti pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan, kestabilan kewangan dan peningkatan pendapatan rakyat semakin kurang menjadi topik utama dalam kempen politik. Sebaliknya, perdebatan lebih tertumpu kepada soal identiti dan emosi.


Akibatnya, pencapaian sesebuah kerajaan sering tenggelam walaupun terdapat pelbagai dasar atau inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat. Apa yang lebih mudah menarik perhatian ialah naratif yang membangkitkan rasa takut atau curiga terhadap pihak lain.


Dalam suasana seperti ini, ahli politik tidak lagi perlu bekerja terlalu keras untuk membuktikan kemampuan mentadbir. Mereka hanya perlu memastikan sentimen tertentu terus dimainkan sehingga hari pengundian.


Keadaan itu juga menyebabkan isu rasuah, salah guna kuasa dan kelemahan pentadbiran tidak lagi menjadi penilaian utama. Selagi seseorang pemimpin dilihat mempertahankan kaum atau agama, kelemahannya lebih mudah dimaafkan.


Sedangkan kesan daripada pentadbiran yang lemah tetap dirasai oleh semua. Harga barang, peluang pekerjaan, pelaburan dan nilai mata wang tidak memilih bangsa atau agama apabila ia memberi kesan kepada kehidupan rakyat.


Lebih membimbangkan, generasi muda juga mula membesar dalam suasana politik yang lebih menekankan perbezaan berbanding penyelesaian. Sedangkan masa depan negara memerlukan persaingan idea, bukannya persaingan siapa paling lantang memainkan sentimen.


Demokrasi yang sihat sepatutnya mendorong rakyat menilai rekod pencapaian, kejujuran dan kemampuan seseorang pemimpin. Itulah ukuran yang lebih adil berbanding hanya melihat latar belakang kaum atau agama.


Ini bukan bermaksud identiti kaum dan agama tidak penting. Nilai tersebut tetap perlu dihormati, namun ia tidak sepatutnya menjadi perisai untuk melindungi kegagalan mentadbir atau menutup isu integriti.


Jika trend ini berterusan, politik negara akan terus dipenuhi retorik yang memecah-belahkan masyarakat. Yang rugi ialah rakyat, manakala yang paling untung ialah ahli politik yang gagal menunjukkan pencapaian tetapi berjaya memenangi hati pengundi melalui sentimen semata-mata

 HISHAMMUDDIN RUNDING PERJANJIAN AKHIR PADA 17 JULAI 2014, KERAJAAN BN PAS SEKARANG.

Penyelewengan dana rakyat untuk membina sistem pertahanan negara yang dianugerahkan terus kepada syarikat yang dikawal tabung amanah yang sepatutnya menjaga kebajikan perajurit


Apabila projek dan dana diselewengkan, bukan sahaja tabung amanah mengalami kerugian, sistem pertahanan negara terdedah kepada pelbagai risiko apabila kelengkapan dan persenjataan menjadi lapuk dan ketinggalan zaman


Mangsa seterusnya ialah perajurit yang terus dipinggirkan dan tidak terbela, sedangkan jika berbilion ringgit yang diselewengkan melalui perolehan projek-projek pertahanan ini tidak berlaku, wang itu boleh digunakan untuk memberi elaun dan pencen yang lebih baik kepada perajurit


Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC), YB Wong Kah Woh mengeluarkan kenyataan mengenai dapatan-dapatan PAC yang meneliti pengendalian projek Littoral Combat Ship (LCS) yang telah berlarutan sejak 2011.


Untuk makluman orang ramai, projek yang dianugerahkan secara terus dalam tahun 2011 telah menelan belanja RM6 bilion setakat 2022 tetapi satu kapal perang pun belum disiapkan. Mengikut jadual kontrak, sepatutnya lima kapal perang telah disiapkan dan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk beroperasi.


Sebenarnya saya telah mengumpul maklumat dan mengkaji skandal ini sejak beberapa bulan lalu atas kapasiti saya sebagai orang awam.


Berikut adalah maklumat penting yang perlu diketahui oleh orang awam:


Pada 16 Disember 2011, Kementerian Pertahanan mengeluarkan Surat Lantikan (“Letter of Award”atau LOA) kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk membina dan membekalkan enam “second generation patrol vessels”(SGPV) “littoral combat ship” (LCS) dengan jumlah kontrak RM9 bilion. Menteri Pertahanan pada ketika itu yang bertanggungjawab menguruskan projek ini ialah Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, presiden UMNO sekarang.


Kerajaan Persekutuan menandatangani kontrak akhir dengan BNS bagi kontrak berjumlah RM9 bilion ini pada 17 Julai 2014. Menteri Pertahanan pada ketika itu, yang merundingkan perjanjian akhir ialah Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Kanan kerajaan gabungan PAS-UMNO-Bersatu sekarang.


Saya bermula pada hari ini dengan soalan yang mudah:


Siasatan yang dilakukan secara dalaman setakat ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya RM890 juta telah diselewengkan dari projek ini, baik dari segi penipuan, wang yang dipindahkan kepada pihak yang bertujuan menipu kontrak, duplikasi kontrak dengan tuntutan berganda dan pelbagai penyelewengan ini.


Saya percaya siasatan dalaman ini telah sampai kepada Hishamuddin Hussein. Sebagai menteri yang menandatangani kontrak dalam tahun 2014, beliau juga menteri yang menandatangani perjanjian tambahan (“supplementary contract”) pada 31 Mei 2022 untuk menghidupkan kembali projek ini.


Sebagai menteri pertahanan yang paling lama menguruskan projek ini, beliau sudah tentu tahu tentang segala laporan dalaman mengenai penyelewengan projek ini.


Kenapa sehingga sekarang beliau tidak mengambil tindakan untuk menangani penemuan penyelewengan berjumlah RM890 juta itu kerana tidak ada satu kes pun yang dibawa terhadap pihak-pihak yang dinamakan terlibat di dalam penyelewengan tersebut?


Skandal ini bakal memerangkap UMNO menjelang PRU15 kerana ia akan membuktikan bagaimana UMNO menuduh Pakatan Harapan menjual aset negara, sedangkan di bawah pentadbiran UMNO:


Persenjataan dan pertahanan negara terbengkalai sehingga ketinggalan berbanding jiran kita seperti Indonesia


Nasib perajurit yang kebanyakannya Melayu diabaikan apabila dana yang sepatutnya memanfaatkan mereka hangus akibat penyelewengan