Sejak semalam, ramai yang bukannya sibuk meneliti salah urus dalam Tabung Haji. Perkara pertama yang dicari ialah perkataan “sakau” dalam laporan RCI.
Tentulah perkataan “sakau” tidak digunakan. Ini laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja, bukannya teks ceramah politik.
Tetapi laporan itu merekodkan beberapa perkara serius yang menimbulkan persoalan besar tentang tadbir urus dan penggunaan wang dalam Tabung Haji.
Antara yang paling jelas ialah bonus istimewa berjumlah RM2.193 juta yang dibayar kepada beberapa pengarah, bekas pengarah dan pegawai dalam kumpulan TH Properties pada 2017 dan 2018.
RCI bersetuju bahawa pembayaran tersebut melanggar beberapa peruntukan Akta Syarikat 2016 kerana proses kelulusan yang ditetapkan tidak dipatuhi. Suruhanjaya kemudian mencadangkan supaya usaha dibuat untuk mendapatkan semula bonus berkenaan. (Perenggan 3.12.19 dan 3.12.28–3.12.29, ms. 102–106)
Laporan RCI turut merekodkan empat laporan polis yang dibuat selepas siasatan dalaman dimulakan oleh pengurusan baharu TH pada pertengahan 2018. (Perenggan 3.15.1, ms. 155)
Antaranya ialah dakwaan penggunaan wang Yayasan Tabung Haji yang menyalahi perlembagaan yayasan serta dakwaan salah nyataan dan penyembunyian maklumat dalam penjualan 95 peratus saham TH Indo Plantations yang dianggarkan bernilai AS$910 juta. (Perenggan 3.15.2–3.15.4, ms. 155–156)
Satu lagi laporan melibatkan dakwaan manipulasi laporan kesesuaian tanah sehingga sebuah syarikat berkaitan TH membeli ladang di Indonesia bernilai sekitar AS$58 juta. (Perenggan 3.15.5–3.15.7, ms. 156–157)
Laporan polis keempat pula dibuat berhubung dakwaan salah nyataan kepada Lembaga Pengarah bagi membolehkan TH mengisytiharkan hibah tinggi untuk tahun kewangan 2017. Ketika laporan RCI disediakan, siasatan polis telah dilengkapkan dan kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. (Perenggan 3.15.8–3.15.10, ms. 157–158)
Beberapa laporan turut dibuat kepada SPRM.
Ia melibatkan dakwaan rasuah dalam pembelian Ladang Weida, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penyewaan restoran, rasuah dalam kerja pengubahsuaian, pemalsuan dokumen pembekalan anak pokok getah serta penyelewengan dalam anak syarikat TH Properties. Menurut RCI, siasatan SPRM terhadap dakwaan tersebut masih berjalan ketika laporan itu disediakan. (Perenggan 3.15.21–3.15.22, ms. 163–164)
RCI berpandangan pihak berkuasa wajib mengambil tindakan tegas dan segera terhadap setiap laporan polis atau aduan tersebut. (Perenggan 3.15.11, ms. 159)
RCI juga menyenaraikan pelbagai pelaburan yang menyebabkan kerugian kepada TH dan anak-anak syarikatnya. Suruhanjaya berpandangan anggota Lembaga, pengarah anak syarikat, pihak pengurusan dan kakitangan yang terlibat patut dipertanggungjawabkan. (Perenggan 3.14.7, ms. 155)
Jadi, adakah RCI membuat keputusan bahawa seseorang telah “sakau” wang Tabung Haji?
Tidak. RCI bukan mahkamah jenayah dan tidak membuat keputusan bersalah terhadap mana-mana individu atas kesalahan mencuri atau rasuah.
Tetapi RCI memang mengesahkan bahawa pembayaran bonus tertentu melanggar Akta Syarikat dan mencadangkan wang itu diperoleh semula. RCI turut merekodkan pelbagai dakwaan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, pemalsuan dokumen dan salah nyataan yang telah dibawa kepada polis serta SPRM.
Apa yang pasti, masalah Tabung Haji ketika itu bukan sekadar tersalah kira.
Ada kelemahan tadbir urus, pembayaran tanpa proses yang sah, keputusan pelaburan yang menyebabkan kerugian serta dakwaan penyelewengan yang cukup serius sehingga memerlukan campur tangan pihak berkuasa.
Kalau mahu berbahas, bahaskan perkara yang direkodkan oleh RCI. Jangan berpura-pura semua masalah itu tidak wujud hanya kerana Suruhanjaya tidak menggunakan bahasa ceramah politik.
No comments:
Post a Comment