Thursday, June 25, 2026

PUAD ZARKASHI SEKOLAHKAN PEMUDA UMNO 'JANGAN SEBUT SOAL KESETIAAN'

 Pertembungan terbuka antara Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros membuka satu lagi episod menarik dalam perjalanan politik UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 


Apabila seorang pemimpin veteran yang pernah melalui jatuh bangun parti tampil mempertahankan rekod kesetiaannya, ia bukan lagi sekadar pertikaman lidah biasa, tetapi mencerminkan pertembungan pandangan mengenai makna sebenar kesetiaan dalam perjuangan politik. 


Bagi Puad, kesetiaan bukan bermaksud mengangguk kepada semua keputusan, sebaliknya keberanian menegur apabila melihat parti berada di landasan yang salah.


Dalam kenyataan yang sarat dengan sindiran, Puad mengingatkan bahawa beliau pernah mempertahankan UMNO ketika ramai memilih untuk menjauhkan diri. 


Beliau membangkitkan bagaimana dirinya terus berdiri mempertahankan parti selepas kekalahan PRU13 dan ketika BN tumbang pada PRU14, malah berdepan tindakan saman RM10 juta daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika bekas Perdana Menteri itu berada di puncak kuasa. 


Bagi Puad, sejarah perjuangan tidak boleh dipadam begitu sahaja oleh nasihat politik yang datang daripada generasi yang tidak melalui pengalaman getir tersebut.


Lebih tajam, Puad menegaskan bahawa beliau setia kepada perjuangan parti dan bukannya kepada individu tertentu. 


Kenyataan itu dilihat sebagai mesej yang cukup jelas kepada mereka yang menganggap disiplin parti bermaksud menutup mata terhadap segala kelemahan. 


Menurut beliau, apabila pemimpin menjadi "boneka", ahli parti mempunyai hak dan tanggungjawab untuk bersuara demi menyelamatkan perjuangan. 


Malah beliau menyifatkan sikap berdiam diri tanpa berfikir sebagai jalan yang boleh membawa kehancuran kepada parti itu sendiri.


Ketika UMNO Johor sedang memasuki fasa paling kritikal menjelang PRN, kenyataan Puad dijangka terus menghangatkan perbincangan dalam kalangan ahli dan pemerhati politik. 


Dengan beliau turut memberi bayangan bakal melakukan "keberanian politik" pada hari penamaan calon nanti, tumpuan kini terarah kepada langkah seterusnya yang bakal diambil. 


Apa yang pasti, perdebatan mengenai kesetiaan, keberanian dan masa depan UMNO kini bukan lagi berlaku di belakang tabir, sebaliknya sudah menjadi perbualan terbuka yang semakin sukar untuk diabaikan.

Semua orang kata, termasuklah orang dalam Keluar Sekejap, dalam Ilham Center, semua kata bahawa dalam semua parti-parti gabungan, BN yang paling stabil. PKR yang jadi core PH sekarang ada dua kem, PN sekarang persaingan antara PAS dan Bersatu.


Hakikatnya BN, terutamanya UMNO, ada masalah. Dan masalah ini kita kena tarik dari era Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri, dan kemudiannya Ismail Sabri. Era pasca Langkah Sheraton.


Kalau kita masih ingat, pada tahun 2022 dulu—UMNO ada dua kem, iaitu kem PWTC (Zahid, Ahmad Maslan) dan kem Putrajaya (Ismail Sabri, H20, KJ). Dan pada masa itu, perebutan kuasa dalam parti telah menyebabkan UMNO cuma memenangi 26 kerusi sahaja, paling teruk dalam sejarah parti sejak ditubuhkan tahun 1946.


Fast forward ke sekarang, keadaan dah jadi terbalik. Zahid yang dulunya terbuang kini jadi Timbalan Perdana Menteri, dan geng Putrajaya yang dulu menteri kini terbuang.


Tapi dalam kes Johor, kem Hishamuddin memang sentiasa kuat, dengan orang-orang seperti Ahmad Maslan dan Puad Zakarshi yang sokong Zahid ada dalam parti ini.


Kalau kita masih ingat November 2022 selepas PRU15, siapakah orang pertama yang mendesak Zahid meletakkan jawatan? Dia adalah MB Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.


Onn Hafiz sedar yang di Johor, kem H20 lebih kuat dan kalau dia berterusan melayan orang-orang kem Zahid, akar umbi akan memberontak, sebab itu dia bergerak solo.


Namun selepas Puad Zakarshi keluar dari UMNO dan menyerang Onn dan UMNO Johor yang didakwa oleh Puad dikawal oleh 'bumbung hijau', soalan aku dan ramai pemerhati politik, apakah UMNO ni benar-benar bersatu macam apa yang dikata?


Puad boleh kata macam-macam, tapi ada juga desas-desus yang menyatakan dia berbuat begitu kerana anaknya tidak dicalonkan, dan dicantas oleh Onn.


Dan kalau kita tengok semalam pun, semasa pengumuman calon, terdapat unsur-unsur boikot dari UMNO pusat di mana Presiden tak datang, Setiausaha Agung pun tak datang dan menteri-menteri kabinet pun tak datang.


Maka apa yang dikata 'Rumah Bangsa' dan penyatuan itu nampak kosmetik sahaja, sedangkan perpecahan dalaman UMNO sejak era pasca Langkah Sheraton itu masih lagi ada.


Persoalan di sini, apakah Onn Hafiz terlalu yakin dengan 'Rumah Bangsa' ni sampai dia bubar DUN dan kini dilihat terasing kerana tak ada sokongan dari PWTC? Atau apakah ini satu 'gamble' yang akhirnya mengambil risiko memecahkan kembali UMNO pasca pilihan raya negeri Johor ini nanti?


17 hari sebelum PRN Johor

Credit Nami Cob Nobbler


No comments:

Post a Comment