KENAPA SEMUA PELURU SAYA HALAKAN KEPADA PAS?
Ramai bertanya, kenapa saya bongkar PAS? Kenapa seolah-olah semua peluru saya halakan ke arah PAS?
Jawapan saya mudah.
Kerana saya bukan mengenali PAS melalui buku sejarah, keratan akhbar atau cerita orang. Saya membesar di dalam lingkungan keluarga PAS. Sejak kecil, pemikiran saya dibentuk dengan doktrin yang mencampuradukkan parti dengan agama, seolah-olah menentang PAS bererti menentang Islam!
Saya melihat sendiri bagaimana politik kepartian merosakkan hubungan kekeluargaan.
Adik-beradik dibuang.
Suami isteri bercerai.
Hubungan silaturahim diputuskan.
Keluarga berpecah dan bermusuhan hanya kerana tidak berada dalam parti atau kelompok politik yang sama.
Kami didoktrinkan bahawa PAS berada di atas jalan Islam, manakala sesiapa yang menentangnya dianggap melanggar sempadan antara kufur dengan iman. Parti manusia diangkat seolah-olah memiliki kuasa menentukan siapa beriman dan siapa tersingkir daripada perjuangan Islam.
Inilah luka yang saya bawa sejak kecil!
Sebab itu kritikan saya terhadap PAS bukan lahir daripada kebencian membuta tuli. Ia lahir daripada pengalaman hidup. Saya melihat dengan mata sendiri bagaimana agama yang sepatutnya menyatukan keluarga telah diperalat oleh politik sehingga menjadi tembok yang memisahkan ibu bapa, anak-anak, adik-beradik dan suami isteri.
Agama yang membawa rahmat akhirnya dipersembahkan dalam bentuk ketakutan.
Berbeza parti dianggap berdosa.
Menegur pemimpin dianggap menentang jemaah.
Menolak PAS dikaitkan dengan penolakan terhadap Islam.
Akhirnya, kesetiaan kepada sebuah parti politik diletakkan hampir setaraf dengan kesetiaan kepada agama!
Siapa yang memberikan parti politik hak untuk menentukan iman manusia?
Siapa yang memberi pemimpin parti kuasa memutuskan bahawa lawan politik mereka telah melanggar batas kufur dan iman?
Sejak bila keahlian parti menjadi ukuran akidah?
PAS selama ini mempotretkan dirinya sebagai parti yang membawa perjuangan agama. Kononnya mahu menegakkan Islam yang suci, pemerintahan yang adil dan kepimpinan yang beramanah.
Kalau begitu, PAS wajib dinilai dengan ukuran yang jauh lebih tinggi!
Jangan hanya menjual kesucian melalui slogan. Tunjukkan kesucian itu melalui percakapan, perbuatan, akhlak, budi pekerti, pentadbiran, pengurusan amanah dan janji yang ditunaikan.
Namun, lihatlah bahasa yang digunakan oleh sebahagian pemimpin dan pengikutnya. Maki hamun, gelaran buruk, tuduhan, fitnah dan doa kecelakaan seolah-olah telah dinormalisasikan. Lawan politik boleh dihina, tetapi apabila PAS ditegur, pengkritiknya pula dituduh menghina Islam.
Islam mengajar amanah, bukan pengkhianatan.
Islam mengajar berkata benar, bukan memutarbelitkan fakta.
Islam mengajar menunaikan janji, bukan mencipta alasan selepas mendapat kuasa.
Islam mengajar berlaku adil, termasuk terhadap lawan, bukan menghukum orang lain dengan satu ukuran dan membela kelompok sendiri dengan seribu dalih.
Sebab itu saya bongkar PAS!
Bukan kerana saya membenci Islam. Justeru kerana saya mencintai dan menghormati Islamlah saya tidak sanggup melihat agama yang suci dijadikan perisai bagi melindungi kelemahan sebuah parti politik.
PAS bukan Islam.
Islam bukan PAS!
Mengkritik PAS bukan menghina Islam. Membongkar percanggahan PAS bukan memusuhi agama. PAS tetap sebuah parti ciptaan manusia. Ia boleh tersilap, gagal, mungkir, diselewengkan dan wajib dipersoalkan.
Saya telah melihat akibatnya sejak kecil. Saya pernah hidup di dalam luka itu. Saya tahu bagaimana doktrin politik yang dibungkus dengan agama mampu memecahkan keluarga dan membunuh kasih sayang sesama saudara.
Sebab itu saya bersuara.
Sebab itu saya menulis.
Sebab itu semua peluru kritikan saya halakan kepada PAS.
Saya tidak mahu generasi seterusnya mewarisi luka yang sama. Saya tidak mahu agama terus digunakan untuk menakutkan rakyat, menentukan iman manusia atau memutuskan silaturahim hanya demi mempertahankan kuasa politik.
Islam itu suci.
Tetapi parti politik belum tentu!
HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia