15 September 2026
Sebagai Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, apabila Ahmad Zahid Hamidi telah secara terbuka menunjukkan perbezaannya dengan Perdana Menteri, malah berani pula bertindak menyindir dan memperlekeh, langkah yang wajar diambilnya ialah membawa keluar UMNO daripada kerajaan.
Tiada sebab untuk seorang Timbalan Perdana Menteri kekal lagi bersama Perdana Menteri, sedangkan macam-macam perkataan sudah dihamburkan kepada bossnya itu.
Tetapi, Zahid Hamidi ini ada pelik sikit, setelah pelbagai kata-kata diluahkannya, kemudian dengan selamba beliau berkata, tiada apa-apa masalah antaranya dengan orang yang macam-macam telah dikatanya itu.
Kalau tiada masalah, kenapa mengata macam-macam?
Selain itu, setakat ini sekurang-kurangnya sudah dua kali beliau menggesa PRU16 dipercepatkan, tapi kemudian mengatakan UMNO akan kekal bersama kerajaan sehingga habis penggal.
Kalau nak bertahan sampai habis penggal, buat apa mendesak PRU dipercepatkan?
Dalam penutup PAU baru-baru, Zahid Hamidi mencabar agar UMNO disingkirkan daripada kerajaan perpaduan.
Tetapi, semasa sidang media selepas itu, beliau sekali lagi mengatakan UMNO akan kekal dalam kerajaan hingga habis penggal.
Kenapa setelah berani mencabar, tetapi masih ingin kekal dalam kerajaan?
Sepatutnya, jika berani mencabar, mesti berani juga untuk keluar.
Itu baru ‘gentle’, bak kata anak-anak muda zaman sekarang.
Pun begitu, bagi DAP khususnya, tindak-tanduk Zahid Hamidi sejak akhir-akhir dianggap sudah melampaui batas, bukan saja atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi juga dalam keadaan UMNO masih merupakan komponen dalam kerajaan perpaduan.
Sebab itu, DAP menggesa agar Majlis Presiden PH mengadakan mesyuaratnya dengan segera untuk membincangkan perkara tersebut.
Dalam hal tersebut, selain tidak mustahil timbul desakan agar UMNO dipecat daripada kerajaan, malah besar kemungkinan turut didesak ialah agar Zahid Hamidi dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Di kalangan beberapa pihak dalam PH, isu mengganti Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri ini sudah menjadi perbualan yang makin hangat sejak akhir-akhir ini.
Dirasakan Zahid Hamidi tidak sesuai dan tidak layak lagi menjadi orang nombor dua dalam kerajaan berikutan tindak-tanduknya kebelakangan ini.
Nama yang disebut-sebut dan dianggap paling layak dan paling sesuai jadi pengganti Zahid Hamidi ialah Johari Ghani, Menteri MITI merangkap Naib Presiden UMNO yang kini sedang bersama Perdana Menteri dalam lawatan rasmi ke India.
Sebagai Perdana Menteri, walau dalam kerajaan yang ada pelbagai parti, Anwar sepanjang masa tetap mempunyai hak untuk melucut dan menukar ganti penyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Dengan Zahid Hamidi sendiri yang mengatakan UMNO akan terus bersama dengan kerajaan perpaduan sehingga habis penggal, bermakna menukar penyandang jawatan Timbalan Menteri daripada kalangan pemimpin UMNO yang lain adalah sesuatu yang dibenarkan.
Kekalnya UMNO bersama dengan kerajaan perpaduan tidak bermakna Presiden UMNO mesti kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Kuasa melantik Timbalan Perdana Menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri.
Jika itu menjadi kenyataan, Zahid Hamidi dijangka akan terkecundang tidak lama lagi selagi beliau tidak tidak bertindak lebih dulu untuk membawa keluar UMNO meninggalkan kerajaan.
Kalau setelah tidak lagi berjawataan Timbalan Perdana Menteri, barulah Zahid Hamidi mahu membawa UMNO keluar kerajaan, tindakan itu bukan saja sudah terlambat, bahkan berisiko akan ditentang oleh menteri-menteri UMNO sendiri. - ShahbudinHusin 15Sept2026.