13 September 2026
1 Rabiulakhir 1448H
Kami dididik di bawah jalur perdamaian, kasih sayang, islah dan merapatkan persaudaraan.
وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱقْتَتَلُوا۟ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَهُمَا ۖ
“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya….” (Al-Hujurat: 9)
Limpahannya bukan sesama Islam sahaja, bahkan ke seluruh anak Adam. Apatah lagi saudara sesama Malaysia.
🌹 Kita juga terdidik untuk memuliakan orang yang lebih berumur dari kita, menyayangi orang yang lebih muda dan tidak kurang pentingnya; MENGENALI dan MENGIKTIRAF hak orang yang lebih alim daripada kita.
Daripada Ubadah bin as-Samit r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
لَيْسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيرَنَا، وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا، وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا حَقَّهُ
“Bukanlah daripada kalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, tidak menyayangi orang yang lebih muda, dan tidak mengenali/mengiktiraf hak orang yang berilmu (guru) saru kalangan kami”. (Musnad Ahmad, no. 22807 -Hadith Hasan Sohih)
🌹Pesanan Imam Abu Hanifah rh.a agar jangan biadap atau menyakiti guru.
مَنْ جَفَا أُسْتَاذَهُ حُرِمَ بَرَكَةَ الْعِلْمِ، وَلَا يَنْتَفِعُ بِه
“Barang siapa yang berbuat kasar/tidak beradab kepada gurunya, maka dia akan diharamkan daripada mendapat keberkahan ilmu dan tidak dapat memanfaatkan ilmu tersebut”.
🌹 Imam al-Ghazali rh.a pula dalam Ihya' Ulumuddinnya menuntut kita agar “rendah diri sedikit” dan sentiasa mendengar bicara sang guru dengan teliti.
لَا يَنَالُ الْعِلْمَ إِلَّا بِالتَّوَاضُعِ وَإِلْقَاءِ السَّمْعِ، وَمَنْ لَمْ يَتَوَاضَعْ لِأُسْتَاذِهِ فِيهِ، فَقَدْ
خَسِرَ خُسْرَانًا مُبِينًا
“Tidak akan mendapat ilmu itu melainkan dengan bertawaduk (rendah hati) dan mendengarkan (ajaran guru). Barang siapa yang tidak bertawaduk kepada gurunya, sungguh dia telah merugi dengan kerugian yang amat besar”.
🌹 Sangat indah syair Imam Syafie rh.a menasihatkan para murid agar sentiasa bersabar dalam mencari ilmu:
اصْبِرْ عَلَى مُرِّ الْجَفَا مِنْ مُعَلِّمٍ
فَإِنَّ رُسُوبَ الْعِلْمِ فِي نَفَرَاتِهِ
وَمَنْ لَمْ يَذُقْ مُرَّ التَّعَلُّمِ
سَاعَة
تَجَرَّعَ نُعْسَ الْجَهْلِ طُولَ حَيَاتِهِ
"Bersabarlah atas sikap keras/tegas seorang guru - Kerana sesungguhnya kegagalan meraih ilmu itu berpunca daripada menjauhi dan membenci guru”
“Barang siapa yang belum pernah merasakan pahitnya menuntut ilmu walau sesaat - Dia akan meneguk hinanya kebodohan sepanjang hayatnya”
🌹 Sangat mengharapkan semua pihak bersabar dengan guru masing-masing.
Jangan cabar guru, apatah lagi guru yang berjuang untuk agama, bangsa, tanah air dan negara.
Guru yang melaksanakan Maqasid Syariah (tujuan utama pensyariatan); berusaha siang dan malam bagi mencapai dan merealisasikan kepentingan-kepentingan rakyat jelata (hamba-hamba Allah SWT)
لِتَحْقِيقِ مَصَالِحِ الْعِبَادِ
ISLAM SUBUR DAN MEKAR DI MALAYSIA
DATUK HASANUDDIN MOHD YUNUS
No comments:
Post a Comment