Saturday, September 26, 2026

 Padah Feudalisme Melayu 


1. Nampaknya kisah (saga) 1MDB, Mohd Najib bin Abdul Razak dan Umno ini bukan semakin reda sebaliknya bertambah kacau-bilau. 


2. Yang terbaru, Mohd Najib minta tangguh penjara kes 1MDB dan Majlis Peguam akan memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri itu.


3. Yang rugi dalam saga ini adalah rakyat jelata dan pembayar cukai. Untuk bayar balik hutang 1MDB sahaja, sebanyak RM42.5 bilion duit awam telah dibelanjakan sehingga 30 Jun lalu.


4. Pada ketika rakyat jelata yang tidak bersalah dibebankan dengan berbilion-bilion duit 1MDB yang dicuri dan pelbagai kemelut ekonomi, pihak-pihak yang membuat angkara semakin dimanjakan. 


5. Dalam masa empat tahun menjalani hukuman penjara dan denda kes SRC International, mulai 23 Ogos 2023, Mohd Najib telah dianugerahkan dua kali pengampunan oleh dua orang Yang di-Pertuan Agong. Tidak hairan kalau timbul pelbagai persoalan, reaksi negatif dan pertikaian terhadap undang-undang.


6. Ada pemimpin, ahli dan penyokong Umno yang gembira teramat sangat dengan pengampunan diraja itu. Ada yang gembira hingga lupa diri tetapi ada juga yang sedar bahawa pengampunan bekas presiden mereka itu menyukarkan pemulihan parti tersebut. 


7.  Pemimpin, ahli dan penyokong ada pelbagai alasan untuk bergembira dan menaruh harapan dengan pengampunan kali ini.


8. Di kalangan mereka, ada yang tidak peduli sangat dengan hal-hal bersangkutan undang-undang, moral dan harga diri. Bagi mereka skandal penyonglapan duit 1MDB bukanlah isu besar. 


9. Mereka ini adalah orang yang terhutang budi kepada beliau kerana diberikan habuan, pangkat dan gelaran. Tidak kurang pula yang semata-mata tertipu kerana kurang ilmu pengetahuan.


10. Ramai yang terlalu daif dan naif sehinggakan seratus ringgit dan sekampit beras waktu pilihan raya sudah cukup untuk menjadikan pemberi seperti raja. 


11. Banyak ahli Umno, yang entah macam mana, sayang sangat kepada beliau. Ada yang sayang kerana beliau anak Almarhum Abdul Razak Hussein. Di kalangan wanita pula, banyak yang kata kerana beliau kacak (handsome). 


12. Idolasi di kalangan pemimpin atasan Umno kita fahamlah. Ramai yang mendapat pangkat, kuasa dan kekayaan daripada beliau. Malah banyak yang bersubahat secara langsung dalam skandal 1MDB dan di pelbagai lagi agensi kerajaan. 


13. Rakyat jelata, terutama orang Melayu, mereka sebenarnya rugi. Meminjam istilah "sakau" daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebenarnya banyak harta 1MDB, Felda, Tabung Haji dan bermacam-macam agensi lagi kena sakau pada zaman pemerintahan beliau.


14. Daripada episod pengampunan Mohd Najib ini juga, kita boleh kata orang Melayu sedang menderita maladi (penyakit) minda yang teruk.


15. Orang Melayu yang dimerdekakan oleh Umno daripada penjajahan Inggeris masih gagal membebaskan diri daripada cengkaman feudalisme dan kasta masyarakatnya sendiri. 


16. Betul jugalah seperti kata seorang putera diraja tidak lama dulu, "helang dan pipit terbang tidak sama tinggi". Sehinggakan ada segelintir orang yang percaya kalau diberak burung akan dapat rezeki. 


17. Mohd Najib adalah enggang dari kalangan feudal Melayu Pahang. Sampai hari ini pun beliau masih berupa salah seorang Orang Besar Berempat negeri itu dengan gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar.


18. Dalam Umno pun bukan semua sokong layanan istimewa kepada Mohd Najib atau berharap beliau kembali menerajui parti itu.

Mereka pun tahu, Mohd Najib ada banyak lagi kes jenayah dan sivil untuk dijawab.


19. Mereka mengidolakan beliau kerana mereka berasa beliau lebih baik daripada Ahmad Zahid Hamidi.


20. Mereka sengaja buat-buat lupa bahawa prestasi pilihan raya Mohd Najib adalah yang terburuk di kalangan Presiden Umno. Di bawah kepimpinan beliaulah, Umno dan BN kalah pilihan raya dan hilang kuasa. 


Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment