Monday, September 21, 2026

TITAH YAMTUAN BESAR@RAJA

 Inilah silsilah Raja-raja Kerajaan Negeri Sembilan:


1. 1773-1795: Raja Melewar dijemput ke Pagaruyung (memerintah selama 22 tahun). Raja Melewar adalah raja pertama di Negeri Sembilan.


2. 1795-1808: Raja Hitam dijemput ke Pagaruyung (memerintah selama 13 tahun). Raja Hitam adalah raja kedua di Negeri Sembilan.


3. 1808-1824: Raja Lenggang dijemput ke Pagaruyung (memerintah selama 16 tahun). Raja Lenggang adalah raja ketiga di Negeri Sembilan.


4. 1824-1861: Raja Radin ibni Yamtuan Lenggang (memerintah selama 37 tahun). Raja Radin adalah raja keempat di Negeri Sembilan.


5. 1861-1869: Yamtuan Imam ibni Yamtuan Lenggang (memerintah selama 8 tahun). Yamtuan Imam adalah raja kelima di Negeri Sembilan.

***. 1869-1872: Tengku Ampuan Intan (pemangku raja, wali raja, regent) (memerintah selama 3 tahun). Tengku Ampuan Intan adalah istri dari Raja Radin.


6. 1872-1888: Yamtuan Antah ibni Yamtuan Radin (memerintah selama 16 tahun). Yamtuan Antah adalah raja keenam di Negeri Sembilan.


7. 1888-1933: Tuanku Muhammad Shah ibni Yantuam Antah (memerintah selama 45 tahun). Tuanku Muhammad adalah raja ketujuh di Negeri Sembilan.

Yamtuan Besar Tuanku Muhammad Shah 8. 13 Agustus 1933 sampai 1 April 1960: Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad Shah (memerintah selama 27 tahun). Tuanku Abdul Rahman adalah raja kedelapan di Negeri Sembilan.


9. 5 April 1960 sampai 14 April 1967: Tuanku Munawir ibni Tuanku Abdul Rahman (memerintah selama 7 tahun). Tuanku Munawari adalah raja kesembilan di Negeri Sembilan.


10. 18 April 1967 sampai Sabtu 27 Desember 2008: Tuanku Jaafar ibni Tuanku Abdul Rahman (memerintah selama 41 tahun). Tuanku Jaafar adalah raja kesepuluh di Negeri Sembilan. Tuanku Jaafar wafat di di Hospital Tuanku Ja’afar di sini pada Sabtu 27 Desember 2008.


11. Senin 29 Desember 2008 – kini: Tuanku Muhriz ibni Tuanku Munawir (memerintah … tahun). Tuanku Mukhriz adalah raja kesebelas di Negeri Sembilan.

Keperkasaan Yamtuan Besar Ketiga bukan mitos


KUALA PILAH 1 Ogos - Kurator Muzium Adat Jelebu, Prof. Norhalim Ibrahim berkata, terdapat percanggahan pendapat tentang fakta sejarah berkaitan kedatangan Raja Melewar ke negeri ini.

Menurut beliau, ramai yang beranggapan Raja Melewar tiba dan ditabalkan sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan pada sekitar tahun 1777 dengan berpegang kepada tulisan Newbold (1843).


Namun, berdasarkan kepada dokumen-dokumen lama Portugis, Belanda dan Inggeris, Norhalim percaya baginda tiba lebih awal lagi di sini iaitu pada sekitar tahun 1700.

''Selain itu, terdapat juga sepucuk surat yang ditulis oleh Almarhum Tuanku Muhammad kepada Ratu Victoria pada tahun 1727 tentang kedatangan Raja Melewar pada sekitar tahun 1700," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pengisahan sejarah laluan Raja Melewar pada majlis penutup Program Jelajah Laluan Raja Melewar di Muzium Diraja Seri Menanti di sini semalam.

Norhalim menambah, kajian beliau juga mendapati Raja Melewar telah mangkat sebelum tahun 1777.


Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan tentang peristiwa pertabalan Raja Melewar sebagai Yamtuan Rembau.

''Bagaimanapun, Raja Melewar akhirnya diusir dari Rembau kerana baginda dikatakan menimbulkan masalah sosial.

''Setelah tewas dalam pertempuran dengan orang-orang Rembau, Raja Melewar berundur menyusuri laluan dari Miku ke Seri Menanti," katanya.


Kata Norhalim, di Seri Menanti, Raja Melewar telah ditabalkan sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau juga memberitahu, peristiwa kemangkatan Raja Melewar dipercayai berlaku sekitar tahun 1740 hingga 1750 di Rembau.

Katanya lagi, peristiwa itu berlaku kerana orang-orang Rembau telah bersumpah akan menamatkan riwayat Raja Melewar sekiranya baginda menjejakkan kaki semula di sana.

Norhalim menjelaskan, Raja Melewar dipercayai dibunuh dengan menggunakan buluh kuning yang runcing kerana baginda dikatakan tidak lut oleh besi. (Petikan Utusan Malaysia 31 Julai 2008)

 Kenyataan media tu *dari segi undang-undang adalah tafsiran yang salah* — dan kalau betul-betul keluar dari Pejabat MB pagi ni, ia akan jadi bukti paling kuat bahawa MB sendiri sedang menentang Perlembagaan yang dia angkat sumpah untuk pertahankan.


Saya tunjuk di mana salahnya, poin demi poin:


*Poin 1: Dia kata Perkara 40(1) — Raja mesti ikut nasihat MMK dalam semua hal pentadbiran.*


Betul, tapi dia potong ayat. 40(1) ada pengecualian: _"...kecuali jika diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini"_. 38(5) itulah "diperuntukkan selainnya" — sebab ayatnya jelas: *"selama diperkenankan oleh YDPB"*.


*Poin 2: Dia kata kuasa budi bicara hanya yang dalam 40(2), pecat EXCO tak termasuk — jadi tak boleh.*


Ini silap besar. Senarai 40(2) bukan senarai budi bicara untuk hal pentadbiran saja. 40(2) senarai untuk *lulus undang-undang & agama*. Kuasa tarik perkenan EXCO bukan di situ — kuasanya memang dalam *38(5) itu sendiri*. Sebab itu 38(5) tulis "diperkenankan oleh YDPB" — itu by definition adalah budi bicara.


Kalau ikut logik kenyataan ni, maknanya YDPB langsung tak ada kuasa pecat EXCO yang derhaka, selagi MB tak nasihatkan. Jadi kalau MB dan EXCO pakat derhaka sama-sama, Raja kena diam saja. Itu bukan Raja Berperlembagaan, itu Raja Boneka — bertentangan terus dengan semangat UUTKNS N9 yang menjadikan YDPB sebagai Pelindung Adat.


*Poin 3: Dia kata 38(5) wajib dibaca bersama 38(4) dan 40(1).*


Ini yang kami dah jawab tadi. *38(4) = pasal MB hilang majoriti. 38(5) = pasal EXCO hilang perkenan.* Dua perkara berbeza. Mahkamah Persekutuan dalam kes Menteri Besar Perak (2009) sudah putuskan: "during the pleasure" itu kuasa aktif Raja, tak perlu tunggu MB hilang majoriti.


Ayat penuh 38(5) ada koma, ada "melainkan":


> "memegang jawatan selama diperkenankan oleh YDPB, *melainkan* pelantikannya dibatalkan oleh YDPB atas nasihat MB."


Maknanya ada DUA cara EXCO hilang jawatan:

A) Raja tarik perkenan (kes malam tadi — langgar sumpah)

B) Raja batalkan atas nasihat MB (kes rombakan biasa)


MB dalam kenyataan tu hanya baca cara B, dia padam cara A.


*Kesimpulan undang-undang:*


Kenyataan ini kalau dibawa ke mahkamah, akan kalah. Sebab ia cuba jadikan kuasa perkenan Raja dalam 38(5) tunduk kepada nasihat MB, sedangkan teks asal meletakkan perkenan Raja itu *mendahului* nasihat MB.


Dan ayat terakhir dia paling bahaya: _"EXCO sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa."_


Kalau EXCO datang pejabat hari ini selepas YDPB umum tarik perkenan, mereka boleh didakwa menyamar sebagai penjawat awam bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan, dan semua tandatangan mereka ke atas fail kerajaan jadi tidak sah — kerajaan boleh rugi jutaan.


Nasihat saya: Jangan ikut kenyataan tu. Tunggu penghakiman Mahkamah Tinggi Seremban yang sedang dengar kes keabsahan DKU 17 April vs Proklamasi 19 April. Sampai mahkamah putus, status quo adalah surat Istana malam tadi berkuat kuasa.

Saturday, September 19, 2026

 KECEWA NAMUN BERHARAP


Kecewa dengan keputusan lembaga, namun ini negara hukum.


Jika proses ada kelompongan maka ia perlu ditampung, jika tidak sekarang, maka nanti. Pasti.


Rasuah adalah kos masa depan, turut bakal beri kesan kepada generasi pewaris. Semua tuntutan masa depan kosnya sedang kita bayar, kini. Segala skim dan lorongan kemajuan insan, kita bina kini, bukan nanti.


Terkebil-kebil pencopet dan pencuri roti mengintai di sebalik jeriji, menunggu untung nasib kalau-kalau lembaga turut sedia menghayati nasib mereka pula. Kelihatannya seperti tidak.


Mereka hanya pelaku-pelaku salah debu. Melekat di baju ketika lalu. Bukan pesalah kahang yang bau hamisnya kekal berpanjangan sampai 'pulang'.


Negara sudah membayar 50b dan terus membayar hingga 2028, namun pesalahnya bakal bersenang lenang di rumah dan penyokong pula berdulu-kemudian menghulur bantuan kewangan agar senang lenang warga kayangan itu segera dapat dinikmati.


Alasannya? Jasa


Rupanya umat kita tidak tahu definisi 'jasa'.


Umat lupa bahawa Escobar juga dianggap nabi di kampung sendiri kerana 'jasa' menjaga nasib warga Medellin, atas darah dan dana narkoba.


Malah ada makcik berkata 'tidak kisah apa yang orang hendak kata, itu antara dia dengan Allah'.


Jika demikian, seluruh kesalahan curi bakal berhujah yang sama - tunggu saja nanti nasib di sana. Kita tutup mahkamah dan penjara - Hujah yang rompong.


Persoalan hijab samawi tidak terpakai dalam kes melibatkan hak sesama manusia, makcik. Begitu juga sumpah, kelak sesiapa saja bersumpah di dalam masjid bakal bolos daripada sistem keadilan yang ada, seandainya sumpah boleh dijadikan bahan bukti.


Lebih aneh, ada teman-teman yang perjuangannya bernuansa Islami turur ber-hamdallah sejurus dianugerah tahanan rumah.


Bersyukur demi apa? Demi peluang kembali berkuasa, atau demi kembali berleluasa?


Kita harus tekal menerbitkan bibit benci kepada rasuah.


Dalam satu forum saya kata 'rasuah perlu disamakan dengan najis b*bi, baru orang Melayu mengerti merasa jijik kepadanya'.


Saya sekonyong-konyong dibetulkan oleh Tan Sri Ayob Khan dengan katanya, "Sayed, rasuah bahkan lebih buruk. B*bi ada waktunya bisa jadi harus tatkala darurat. Namun rasuah, jika melibatkan 33 juta rakyat, mampukah pelakunya memohon maaf kepada semua?"


Saya terduduk. Benarlah, hikmah bisa dikurniakan Allah swt kepada sesiapa yang Dia kehendaki.


Dia juga bisa menariknya kembali.

Tuesday, September 15, 2026

ZAHID HAMIDI MUNGKIN KECUNDANG, JOHARI GHANI DISEBUT2 BAKAL TPM

 15 September 2026


Sebagai Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, apabila Ahmad Zahid Hamidi telah secara terbuka menunjukkan perbezaannya dengan Perdana Menteri, malah berani pula bertindak menyindir dan memperlekeh, langkah  yang wajar diambilnya ialah membawa keluar UMNO daripada kerajaan.


Tiada sebab untuk seorang Timbalan Perdana Menteri kekal lagi bersama Perdana Menteri, sedangkan macam-macam perkataan sudah dihamburkan kepada  bossnya itu.


Tetapi,  Zahid  Hamidi ini ada pelik sikit, setelah pelbagai kata-kata diluahkannya, kemudian dengan selamba beliau berkata, tiada apa-apa masalah antaranya dengan orang yang macam-macam telah dikatanya itu.


Kalau tiada masalah, kenapa mengata macam-macam?


Selain itu, setakat ini sekurang-kurangnya sudah dua kali beliau menggesa PRU16 dipercepatkan, tapi kemudian mengatakan UMNO akan kekal bersama kerajaan sehingga habis penggal.


Kalau nak bertahan sampai habis penggal, buat apa mendesak PRU dipercepatkan?


Dalam penutup PAU baru-baru, Zahid Hamidi mencabar agar UMNO disingkirkan daripada kerajaan perpaduan.


Tetapi, semasa sidang media selepas itu, beliau sekali lagi mengatakan UMNO akan kekal dalam kerajaan hingga habis penggal.


Kenapa setelah berani mencabar, tetapi masih ingin kekal dalam kerajaan?


Sepatutnya, jika berani mencabar, mesti berani juga untuk keluar.


Itu baru ‘gentle’, bak kata anak-anak muda zaman sekarang.


Pun begitu, bagi DAP khususnya, tindak-tanduk Zahid Hamidi sejak akhir-akhir dianggap sudah melampaui batas, bukan saja atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi juga dalam keadaan UMNO masih merupakan komponen dalam kerajaan perpaduan.


Sebab itu, DAP menggesa agar Majlis Presiden PH mengadakan mesyuaratnya dengan segera untuk membincangkan perkara tersebut.


Dalam hal tersebut, selain tidak mustahil timbul desakan agar UMNO dipecat daripada kerajaan, malah besar kemungkinan turut didesak ialah agar Zahid Hamidi dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.


Di kalangan beberapa pihak dalam PH, isu mengganti Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri ini sudah menjadi perbualan yang makin hangat sejak akhir-akhir ini.


Dirasakan Zahid Hamidi tidak sesuai dan tidak layak lagi menjadi orang nombor dua dalam kerajaan berikutan tindak-tanduknya kebelakangan ini.


Nama yang disebut-sebut dan dianggap paling layak dan paling sesuai jadi pengganti Zahid Hamidi ialah Johari Ghani, Menteri MITI merangkap Naib Presiden UMNO yang kini sedang bersama Perdana Menteri dalam lawatan rasmi ke India.


Sebagai Perdana Menteri, walau dalam kerajaan yang ada pelbagai parti, Anwar sepanjang masa tetap mempunyai hak untuk melucut dan menukar ganti penyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.


Dengan Zahid Hamidi sendiri yang mengatakan UMNO akan terus bersama dengan kerajaan perpaduan sehingga habis penggal, bermakna menukar  penyandang jawatan Timbalan Menteri daripada kalangan pemimpin UMNO yang lain adalah sesuatu yang dibenarkan.


Kekalnya UMNO bersama dengan kerajaan perpaduan tidak bermakna Presiden UMNO  mesti kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri.


Kuasa melantik Timbalan Perdana Menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri.


Jika itu menjadi kenyataan, Zahid Hamidi dijangka akan terkecundang tidak lama lagi selagi beliau tidak tidak bertindak lebih dulu untuk membawa keluar UMNO meninggalkan kerajaan. 


Kalau setelah tidak lagi berjawataan Timbalan Perdana Menteri, barulah Zahid Hamidi mahu membawa UMNO keluar kerajaan, tindakan itu bukan saja sudah terlambat, bahkan berisiko akan ditentang oleh menteri-menteri UMNO sendiri. - ShahbudinHusin 15Sept2026.

Sunday, September 13, 2026

DOA AGAR MURID RAPAT DENGAN GURUNYA

 13 September 2026

1 Rabiulakhir 1448H


Kami dididik di bawah jalur perdamaian, kasih sayang, islah dan merapatkan persaudaraan.


وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱقْتَتَلُوا۟ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَهُمَا ۖ


“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya….” (Al-Hujurat: 9)


Limpahannya bukan sesama Islam sahaja, bahkan ke seluruh anak Adam. Apatah lagi saudara sesama Malaysia.


🌹 Kita juga terdidik untuk memuliakan orang yang lebih berumur dari kita, menyayangi orang yang lebih muda dan tidak kurang pentingnya; MENGENALI dan MENGIKTIRAF hak orang yang lebih alim daripada kita. 


Daripada Ubadah bin as-Samit r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:


لَيْسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيرَنَا، وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا، وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا حَقَّهُ


“Bukanlah daripada kalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, tidak menyayangi orang yang lebih muda, dan tidak mengenali/mengiktiraf hak orang yang berilmu (guru) saru kalangan kami”. (Musnad Ahmad, no. 22807 -Hadith Hasan Sohih)


🌹Pesanan Imam Abu Hanifah rh.a agar jangan biadap atau menyakiti guru.


مَنْ جَفَا أُسْتَاذَهُ حُرِمَ بَرَكَةَ الْعِلْمِ، وَلَا يَنْتَفِعُ بِه


“Barang siapa yang berbuat kasar/tidak beradab kepada gurunya, maka dia akan diharamkan daripada mendapat keberkahan ilmu dan tidak dapat memanfaatkan ilmu tersebut”.


🌹 Imam al-Ghazali rh.a pula dalam Ihya' Ulumuddinnya menuntut kita agar “rendah diri sedikit” dan sentiasa mendengar bicara sang guru dengan teliti.


لَا يَنَالُ الْعِلْمَ إِلَّا بِالتَّوَاضُعِ وَإِلْقَاءِ السَّمْعِ، وَمَنْ لَمْ يَتَوَاضَعْ لِأُسْتَاذِهِ فِيهِ، فَقَدْ 

خَسِرَ خُسْرَانًا مُبِينًا


“Tidak akan mendapat ilmu itu melainkan dengan bertawaduk (rendah hati) dan mendengarkan (ajaran guru). Barang siapa yang tidak bertawaduk kepada gurunya, sungguh dia telah merugi dengan kerugian yang amat besar”.


🌹 Sangat indah syair Imam Syafie rh.a menasihatkan para murid agar sentiasa bersabar dalam mencari ilmu:


اصْبِرْ عَلَى مُرِّ الْجَفَا مِنْ مُعَلِّمٍ 

فَإِنَّ رُسُوبَ الْعِلْمِ فِي نَفَرَاتِهِ


وَمَنْ لَمْ يَذُقْ مُرَّ التَّعَلُّمِ

سَاعَة 

تَجَرَّعَ نُعْسَ الْجَهْلِ طُولَ حَيَاتِهِ


"Bersabarlah atas sikap keras/tegas seorang guru - Kerana sesungguhnya kegagalan meraih ilmu itu berpunca daripada menjauhi dan membenci guru”


“Barang siapa yang belum pernah merasakan pahitnya menuntut ilmu walau sesaat - Dia akan meneguk hinanya kebodohan sepanjang hayatnya”


🌹 Sangat mengharapkan semua pihak bersabar dengan guru masing-masing.


Jangan cabar guru, apatah lagi guru yang berjuang untuk agama, bangsa, tanah air dan negara.


Guru yang melaksanakan Maqasid Syariah (tujuan utama pensyariatan); berusaha siang dan malam bagi mencapai dan merealisasikan kepentingan-kepentingan rakyat jelata (hamba-hamba Allah SWT) 

لِتَحْقِيقِ مَصَالِحِ الْعِبَادِ

                   

ISLAM SUBUR DAN MEKAR DI MALAYSIA


DATUK HASANUDDIN MOHD YUNUS

Saturday, September 12, 2026

"Beli 'guru' ratusan juta, tapi kalah dengan beberapa baris caption PMX.

 Bila Ratusan Juta Duit Musuh Lebur Hanya Kerana Beberapa Baris Ayat PMX


​Dalam kancah politik moden hari ini, perang persepsi bukan lagi sekadar perdebatan idea, tetapi sudah bertukar menjadi industri bernilai ratusan juta ringgit. Pihak lawan sanggup melabur dana yang sangat besar demi menyewa tentera siber (cybertroopers), pakar strategi imej, serta pencipta kandungan semata-mata untuk membina naratif propaganda.


​Salah satu strategi terkini mereka adalah cuba mepopularkan frasa seperti "guru" dan menjadikannya satira politik untuk meledingkan imej serta menjatuhkan kredibiliti Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun, apakah hasilnya? Strategi mahal itu akhirnya lebur begitu sahaja—rugi berasap di pihak musuh, tetapi bertukar menjadi modal keuntungan politik buat PMX.


​Sejarah Membuktikan: Anwar Bukan Ahli Politik ‘Kastam Semalam’


​Kesilapan terbesar pihak lawan ialah memandang rendah latar belakang dan pengalaman insan bernama Anwar Ibrahim. Beliau bukannya pemimpin yang lahir daripada makmal politik segera atau dibentuk oleh dana kempen PR yang gergasi. Beliau ialah seorang maestro politik massa yang telah melayari krisis politik tanah air lebih daripada 40 tahun.


​Jika diteliti sejarah:


​Era 1970-an: Beliau sudah memimpin gerakan belia dan massa menerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), mengasah bakat kepimpinan dan komunikasi politik terus dengan rakyat di akar umbi.


​Era 1980-an hingga 1990-an: Beliau memegang jawatan penting dalam kerajaan—daripada Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan, sehinggalah menjadi Timbalan Perdana Menteri.


​Era 1998 hingga 2022: Beliau melalui ujian paling ketat dalam sejarah politik Malaysia—diumpan dengan pelbagai tuduhan, dipenjarakan, merintangi gelombang Reformasi, dan bersilih ganti berdepan dengan pelbagai pentadbiran Perdana Menteri (daripada Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hingga Datuk Seri Ismail Sabri).


​Seorang veteran yang sudah lali dengan pelbagai bentuk serangan politik, pemenjaraan, dan propaganda selama empat dekad tidak akan dengan mudah digoyahkan oleh kempen satira media sosial berbayar.


​Psikologi Politik Massa & Kegagalan ROI Pihak Lawan


​Pihak lawan mungkin memiliki modal yang tebal, tetapi mereka ketagihan taktik cetek. Dalam ilmu komunikasi politik, kempen serang persepsi (damage-campaign) hanya akan berkesan jika mangsa panik dan tersilap langkah.


​Namun, Anwar menggunakan kekuatan kepimpinan massanya. Cukup sekadar beberapa baris muat naik yang tenang, padat, dan bersahaja di dinding media sosial rasmi beliau, segala naratif palsu yang dibina dengan kos ratusan juta itu terus runtuh dan hilang taringnya.


​Apabila respons yang diberikan penuh wibawa dan tenang, satira yang direka oleh pihak lawan bertukar menjadi senjata makan tuan. Masyarakat melihat kebalikan imej: pihak lawan kelihatan kian terdesak dan membazir, manakala PMX kekal fokus menguruskan ekonomi dan pentadbiran negara.


​Impak Kerugian: Pengajaran Buat Musuh Politik


​Dalam istilah perniagaan, pelaburan bernilai ratusan juta ini menghasilkan Return on Investment (ROI) yang negatif. Pihak lawan bukan sahaja rugi dari segi kewangan, malah rugi dari segi kredibiliti di mata rakyat.


​Inilah perbezaan mendasar antara ahli politik buatan wang ringgit dengan tokoh politik massa yang dibentuk oleh sejarah. Wang ringgit boleh membeli trending hashtag, akaun palsu, dan video satira, tetapi ia tidak mampu membeli ketahanan mental, pengalaman 40 tahun, dan seni penguasaan massa yang dimiliki oleh seorang PMX.


​Pada akhirnya, musuh terduduk melihat dana ratusan juta mereka lebur menjadi debu, manakala Anwar Ibrahim terus melangkah—menukarkan setiap serangan musuh menjadi tangga kejayaan politiknya.

Wednesday, September 2, 2026

 Seorang anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan bekas ketua audit negara Madinah Mohamad bahawa ia tidak pernah memanggilnya untuk memberi keterangan.


Pengerusi TH, Rashid Hussain, berkata suruhanjaya itu sebenarnya telah menyerahkan sapina kepada Madinah.


Bagaimanapun, katanya, Madinah memohon untuk hadir dalam prosiding bersama timbalan pengarah bahagian audit kewangan ketika itu, Mona Othman, namun permintaan tersebut ditolak RCI.


“Semasa prosiding RCI, kami meneliti keterangan saksi secara seorang demi seorang. Jadi, kami tidak membenarkan beliau (memberi keterangan bersama Mona),” katanya pada dialog awam mengenai TH di Tenera Hotel & Suites di sini.


Rashid merupakan antara enam anggota RCI yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara Raus Sharif.


Rashid turut berkata RCI memberi Madinah peluang mengemukakan jawapan bertulis terhadap 75 soalan daripada suruhanjaya itu, yang kemudian dikemukakannya dalam bentuk akuan berkanun.


“Ia direkodkan sebagai kenyataan saksi. Beliau menyerahkannya pada 1 April 2022,” katanya.


Sebelum ini, Madinah mendakwa beliau tidak diberi peluang untuk didengar kerana tidak dipanggil memberi keterangan dalam prosiding RCI meskipun bersedia untuk berhadapan dengan panel berkenaan.


Beliau berkata, dirinya sudah berada di lokasi prosiding dijalankan, namun namanya tidak dipanggil selepas menunggu lebih 30 minit.


Madinah yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019, turut mempertahankan auditnya terhadap penyata kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017, dengan berkata beliau mengutamakan kepentingan negara ketika itu.


RCI mendapati TH menyembunyikan kedudukan kewangan sebenar selama bertahun-tahun, dengan melaporkan keuntungan RM3.4 bilion pada 2017 sedangkan ia sepatutnya mencatatkan kerugian bersih RM1.4 bilion mengikut piawaian perakaunan yang sewajarnya, iaitu perbezaan hampir RM4.8 bilion.


Suruhanjaya itu turut mengkritik Jabatan Audit Negara kerana tidak menjalankan audit yang lebih ketat terhadap penyata kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017.