Wednesday, September 30, 2026

NASIHAT DARI SEORANG RAJA

 Sangat bersyukur kepada Allah SWT apabila Raja-Raja Melayu semakin rancak memberikan nasihat dan teguran membina kepada semua pihak.


Antara yang terbaharu titah DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Mesyuarat MKI Ke-75 pada 17 Rabiulakhir 1448 / 29 September 2026.


Baginda Paduka Seri Sultan telah menzahirkan dukacita terhadap budaya perbincangan dan perdebatan yang semakin berbentuk pertelagahan tanpa adab dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.


Hilangnya amalan BERSYURA dan BERADAB sesama ummah ini.


"Bangsa dan ummah perlu menghidupkan kembali adab ketika berkomunikasi dan ketika berbeza pendapat. Kita boleh tidak bersetuju tanpa perlu menghina. Kita boleh menegur tanpa mengaibkan. Kita boleh mempertahankan kebenaran tanpa kehilangan kebijaksanaan dan rasa belas ihsan," titah baginda.


🌺 Terdapat dua ayat utama dalam Al-Quran yang menggesa dan memerintahkan amalan Syura (mesyuarat/perbincangan)


🌹PERINTAH MENERUSKAN BERSYURA KETIKA ADA KRISIS


  "Maka dengan sebab RAHMAT dari Allah (kepada mu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka. Sekiranya engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah keampunan bagi mereka, dan BERMESYUARATLAH dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal dunia) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (membuat keputusan), maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal”. (Surah Ali 'Imran: 159)


🌹 ANTARA TANDA-TANDA ORANG-ORANG BERIMAN 


"Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut seruan Tuhan mereka serta mendirikan sembahyang dengan sempurna, dan URUSAN MEREKA dijalankan secara BERMESYUARAT sesama mereka, dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepadanya”. (Surah Asy-Syura: 38)


🌹BERSYURA AMALAN NABI MUHAMMAD S.A.W 


“Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih BANYAK BERMESYUARAT dengan sahabat-sahabatnya berbanding Rasulullah s.a.w". (Ahmad: 18828 dan Ibnu Hibban: 4872 - terputus antara Zuhri dan Abu Hurairah namun sahih dari sudut makna)


🌹 SENTIASA MEMINTA PANDANGAN & NASIHAT ORANG LAIN


“Orang yang diminta pandangannya (dalam mesyuarat/nasihat) adalah orang yang memegang amanah”. (Adab Mufrad: 193, at-Termizi: 2369, an-Nasaie: 4201 dan Ahmad: 7887)


🌺 ADAB SANGAT PENTING SESAMA MANUSIA


"Sebagaimana Kami telah mengutus kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu, yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan menyucikan kamu (daripada syirik dan akhlak buruk), serta mengajarkan kamu Kitab (Al-Quran) dan Hikmah..." (Al-Baqarah: 151)


🌹 MERENDAH DIRI


"Dan tidaklah seseorang itu bertawuduk (rendah diri) kerana Allah melainkan Allah akan mengangkat derajatnya….." (Muslim: 2588)


🌹 MENGUTAMAKAN ADAB KEMUDIAN ILMU 


Ibn al-Mubarak r.a berkata:


"Aku mempelajari adab selama 30 tahun, dan aku mempelajari ilmu selama 20 tahun. Adalah mereka (para ulama) mempelajari adab terlebih dahulu kemudian barulah ilmu”.


🌹 SAYANGNYA IMAM SYAFIE R.HA KEPADA ADAB


Ditanyakan kepada Imam al-Shafi'e rh.a:


"Bagaimanakah Keinginan/Keinginanmu Terhadap Adab?"

Lalu beliau menjawab: 


"Apabila aku mendengar satu huruf daripada adab yang belum pernah aku dengar sebelum ini, anggota-anggota tubuhku sangat berhasrat sekiranya mereka mempunyai pendengaran (seperti telinga) agar mereka dapat menikmati kenikmatan daripadanya”.


Ditanyakan lagi: "Dan bagaimanakah pula pencarianmu terhadap adab itu?"

Beliau menjawab: 


"Seperti pencarian seorang ibu yang kehilangan anak tunggalnya (dan dia tidak mempunyai anak selainnya)”


🌹Semua pihak; individu, keluarga, pelajar dan siswa, NGO, masyarakat, partai politik, kerajaan perlu meneliti Titah DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini.


DATUK HASANUDDIN MOHD YUNUS

Saturday, September 26, 2026

 Padah Feudalisme Melayu 


1. Nampaknya kisah (saga) 1MDB, Mohd Najib bin Abdul Razak dan Umno ini bukan semakin reda sebaliknya bertambah kacau-bilau. 


2. Yang terbaru, Mohd Najib minta tangguh penjara kes 1MDB dan Majlis Peguam akan memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri itu.


3. Yang rugi dalam saga ini adalah rakyat jelata dan pembayar cukai. Untuk bayar balik hutang 1MDB sahaja, sebanyak RM42.5 bilion duit awam telah dibelanjakan sehingga 30 Jun lalu.


4. Pada ketika rakyat jelata yang tidak bersalah dibebankan dengan berbilion-bilion duit 1MDB yang dicuri dan pelbagai kemelut ekonomi, pihak-pihak yang membuat angkara semakin dimanjakan. 


5. Dalam masa empat tahun menjalani hukuman penjara dan denda kes SRC International, mulai 23 Ogos 2023, Mohd Najib telah dianugerahkan dua kali pengampunan oleh dua orang Yang di-Pertuan Agong. Tidak hairan kalau timbul pelbagai persoalan, reaksi negatif dan pertikaian terhadap undang-undang.


6. Ada pemimpin, ahli dan penyokong Umno yang gembira teramat sangat dengan pengampunan diraja itu. Ada yang gembira hingga lupa diri tetapi ada juga yang sedar bahawa pengampunan bekas presiden mereka itu menyukarkan pemulihan parti tersebut. 


7.  Pemimpin, ahli dan penyokong ada pelbagai alasan untuk bergembira dan menaruh harapan dengan pengampunan kali ini.


8. Di kalangan mereka, ada yang tidak peduli sangat dengan hal-hal bersangkutan undang-undang, moral dan harga diri. Bagi mereka skandal penyonglapan duit 1MDB bukanlah isu besar. 


9. Mereka ini adalah orang yang terhutang budi kepada beliau kerana diberikan habuan, pangkat dan gelaran. Tidak kurang pula yang semata-mata tertipu kerana kurang ilmu pengetahuan.


10. Ramai yang terlalu daif dan naif sehinggakan seratus ringgit dan sekampit beras waktu pilihan raya sudah cukup untuk menjadikan pemberi seperti raja. 


11. Banyak ahli Umno, yang entah macam mana, sayang sangat kepada beliau. Ada yang sayang kerana beliau anak Almarhum Abdul Razak Hussein. Di kalangan wanita pula, banyak yang kata kerana beliau kacak (handsome). 


12. Idolasi di kalangan pemimpin atasan Umno kita fahamlah. Ramai yang mendapat pangkat, kuasa dan kekayaan daripada beliau. Malah banyak yang bersubahat secara langsung dalam skandal 1MDB dan di pelbagai lagi agensi kerajaan. 


13. Rakyat jelata, terutama orang Melayu, mereka sebenarnya rugi. Meminjam istilah "sakau" daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebenarnya banyak harta 1MDB, Felda, Tabung Haji dan bermacam-macam agensi lagi kena sakau pada zaman pemerintahan beliau.


14. Daripada episod pengampunan Mohd Najib ini juga, kita boleh kata orang Melayu sedang menderita maladi (penyakit) minda yang teruk.


15. Orang Melayu yang dimerdekakan oleh Umno daripada penjajahan Inggeris masih gagal membebaskan diri daripada cengkaman feudalisme dan kasta masyarakatnya sendiri. 


16. Betul jugalah seperti kata seorang putera diraja tidak lama dulu, "helang dan pipit terbang tidak sama tinggi". Sehinggakan ada segelintir orang yang percaya kalau diberak burung akan dapat rezeki. 


17. Mohd Najib adalah enggang dari kalangan feudal Melayu Pahang. Sampai hari ini pun beliau masih berupa salah seorang Orang Besar Berempat negeri itu dengan gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar.


18. Dalam Umno pun bukan semua sokong layanan istimewa kepada Mohd Najib atau berharap beliau kembali menerajui parti itu.

Mereka pun tahu, Mohd Najib ada banyak lagi kes jenayah dan sivil untuk dijawab.


19. Mereka mengidolakan beliau kerana mereka berasa beliau lebih baik daripada Ahmad Zahid Hamidi.


20. Mereka sengaja buat-buat lupa bahawa prestasi pilihan raya Mohd Najib adalah yang terburuk di kalangan Presiden Umno. Di bawah kepimpinan beliaulah, Umno dan BN kalah pilihan raya dan hilang kuasa. 


Sekian. Terima kasih.

 TAK FAHAM ATAU TAK CINTA ISLAM, MAKA TAK SOKONG PAS — WALAUPUN KE MEKAH BERKALI-KALI


Nik Amar kali ini pergi agak jauh.


Katanya, orang yang tidak faham Islam dan tidak cinta Islam tidak akan menyokong PAS. Malah kalau seseorang itu Muslim, pergi Mekah berkali-kali sekalipun, tetapi masih tidak mengundi PAS, penjelasan yang diberikannya tetap sama — tidak faham dan tidak cinta Islam. 


Itu memang intipati kenyataan beliau dalam ceramah di Pengkalan Chepa. 


Mudah betul ukurannya. Nak tahu seseorang itu cinta Islam atau tidak, rupanya tak perlu tengok akhlaknya, ilmunya, ibadahnya atau perjuangannya. Tengok sahaja dia pangkah logo mana dalam peti undi.


Kalau begitu, berjuta-juta orang Islam yang tidak mengundi PAS macam mana? Orang yang solat, puasa, bayar zakat, pergi haji, belajar agama bertahun-tahun, bahkan mungkin mengajar agama — semuanya masih boleh masuk kategori “tak faham” atau “tak cinta Islam” hanya kerana pilihan politiknya berbeza?


Di sinilah politik mula masuk kawasan yang sangat bahaya. PAS boleh kata dasar mereka terbaik. PAS boleh kata mereka paling layak memerintah. Itu politik, berhujahlah sampai pagi. Tetapi apabila sokongan kepada sebuah parti mula dijadikan kayu ukur kecintaan kepada Islam, ceritanya sudah lain. 


Itu sudah meniru gaya politik Khawarij.


Menariknya, Yusuf al-Qaradawi — tokoh yang begitu dekat dengan dunia gerakan Islam — pernah mengingatkan perkara yang hampir tepat mengenai masalah ini. 


Beliau menegaskan bahawa gerakan Islam jangan dicampuradukkan dengan Islam itu sendiri. Mengkritik gerakan Islam bukan bermaksud mengkritik Islam, dan tidak ada satu jamaah pun yang maksum daripada kesalahan, khususnya dalam perkara ijtihad. 


Maksud Qaradawi itu mudah sahaja. Parti, jamaah dan gerakan dibuat serta diurus manusia. Manusia boleh betul, boleh salah. Islam pula agama. Jangan suatu hari sampai orang tidak setuju dengan parti kita, kita terasa seolah-olah dia sedang tidak setuju dengan Islam.


Qaradawi juga tidak menolak kewujudan pelbagai kelompok yang bekerja untuk Islam. Malah beliau mensyaratkan supaya mereka berbaik sangka dan bertoleransi dalam perkara khilaf. Beliau mahu gerakan Islam menjadi gerakan seluruh umat, bukannya terkurung sebagai gerakan satu kelompok yang kemudian memandang serong kepada Muslim di luar kelompoknya. 


Sebab itu bila keluar logik “kalau faham Islam, mari dengan kita; kalau tak mari dengan kita, maknanya tak faham Islam”, orang tentu akan teringat penyakit lama politik beragama: kelompok sendiri semakin lama semakin dekat dengan kebenaran mutlak, sementara orang di luar kelompok semakin lama semakin kurang Islamnya.


Gaya pemikiran eksklusif yang mula mengukur agama orang lain berdasarkan keberpihakan kepada kelompok sendiri memang wajar diperhatikan dengan serius.


PAS ialah PAS. Islam ialah Islam.


PAS boleh kalah pilihan raya, Islam tidak kalah. PAS boleh tersilap, Islam tidak tersilap. Orang boleh menolak PAS tanpa menolak Islam, sebagaimana orang boleh mengkritik PAS tanpa membenci Islam.


Kalau sampai pergi Mekah berkali-kali pun belum cukup untuk membuktikan cinta kepada Islam kerana akhirnya masih kena tunjuk kertas undi juga, mungkin sudah sampai masanya kita tanya: sebenarnya yang sedang dipertahankan itu agama, atau parti?


#ahmadmursi

Thursday, September 24, 2026

 Kepada encik Azhar Sulaiman.


Min nak jawab soalan encik mengenai "Why you sorok?" merujuk kepada minit mesyuarat DKU yang kononnya disorok oleh Tok Min.


Sebelum itu, Min nak sekolahkan encik Azhar Sulaiman terlebih dahulu mengenai institusi adat, kerana status yang dibuat oleh encik Azhar Sulaiman telah terbabas jauh dari landasan sebenar.


Untuk makluman encik, DKU tidak boleh pecat Undang. DKU tiada kuasa pecat Undang.


Yang ada kuasa pecat Undang, ialah waris-waris adat di luak masing-masing.


1) Soalan:

Siapa yang pecat Maarof daripada jawatan Undang Jelebu pada tahun 2023?


Jawapan: Undang Jelebu, Maarof Mat Rashid telah dipecat berdasarkan kesepakatan Waris, Anak Buah dan Ibu Soko Waris Berundang daripada tiga Perut, iaitu Kemin Teriang, Kemin Beringin dan Kemin Bemban


2) Soalan: Siapa yang pecat Mubarak daripada jawatan Undang Sungei Ujong pada tahun 2025?


Jawapan:

Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak telah dipecat dan dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong.


Jadi pemecatan tu semua tiada kaitan langsung dengan DKU. Ada pun DKU yang bersidang pada 17 April, adalah sekadar mengesahkan urusan adat yang dibuat di luak masing-masing, termasuklah urusan pemecatan Undang tu.


Faham tak encik?

DKU takde kuasa pecat Undang, tau!

Harap encik faham.


Dan yang kedua.


Encik tuduh Tok Min sorok minit mesyuarat semasa menjadi MB.

Jadi sekarang ni, Tok Min sudah tidak jadi MB, kenapa MB Ismail hari ini tidak mahu dedahkan minit mesyuarat tu?


Jika ikut tuduhan encik, mesti minit mesyuarat tu ada disimpan di dalam pejabat MB, tak gitu?


Takkanlah encik nak tuduh Tok Min bawa balik minit miesyuarat tu rumah dia pula.


Jadi encik, Tok Min tiada kena mengena langsung dalam hal urusan adat ni walaupun dia seorang MB.


Tok Min telah menjalankan tugas sebagai seorang MB yang baik, ikut adat, ikut undang-undang tubuh N9, satu undang-undang pun dia tak langgar.


Kenapa encik tuduh dia sorok minit mesyuarat pula.


Dan lagi satu.

Apa kaitan minit mesyuarat DKU dengan pemecatan undang sebenarnya?


Sebab yang pecat Undang tu waris di Luak, bukannya DKU.

Jadi nak suruh dedah minit mesyuarat ni kenapa?

Apakah terdapat dalam peraturan adat kena dedah minit mesyuarat?


Jadi encik, jangan fitnah dan tuduh Tok Min yang tiada kaitan.

Jangan jadi penderhaka kepada Raja-Raja Melayu.


Penderhaka sebenarnya ialah 2 Undang yang sudah dipocat tu.

Wednesday, September 23, 2026

 1. “UMNO bukan yang turunkan Tuanku Muhriz.”


Okay, kalau bukan UMNO, tak payah lari daripada isu sebenar.


PROSES TURUNKAN YAMTUAN TU SAH KE TAK?


AGC dah kata proklamasi 19 April itu tak sah sebab tak ikut syarat yang ditetapkan dalam UUTKNS.


Jadi jangan tukar cerita daripada “sah atau tak sah” kepada “UMNO ada kuasa ke tak?”


---


2. “MB cuma laksanakan keputusan Undang.”


Kalau MB cuma tukang laksana, kenapa MMKN pula sahkan proklamasi tersebut dan pecat Tuanku Muhriz?


Lagi satu, kalau betul proses itu sah, kenapa AGC kata sebaliknya?


Jadi jangan gambarkan MB macam langsung tak terlibat.


---


3. “UMNO tak ada kedudukan dalam adat.”


Dah tahu tak ada kedudukan yang pergi sign dan claim under duress kenapa?


Kerajaan negeri yang melaksanakan tindakan itu dipimpin oleh siapa?


MB yang tandatangan siapa?


Kerajaan negeri yang buat keputusan siapa?


MMKN yang sahkan siapa?


Jadi jangan kata:


> “UMNO tak terlibat.”


Sedangkan kerajaan negeri yang mengambil tindakan itu memang terlibat dalam campurtangan urusan adat.


---


4. “Kalau tolak keputusan Undang, bermaksud lawan adat.”


Tak betul.


Persoalkan cara keputusan dibuat bukan bermaksud lawan adat.


Kalau undang-undang kata ada prosedur tertentu yang wajib dibuat, maka prosedur itu kena ikut.


Mudah cerita:


> Ada kuasa bukan bermaksud boleh buat sesuka hati.


---


5. “UMNO tak rampas kuasa Istana.”


UMNO claim tak rampas kuasa Istana tapi dia pecat Tuanku Muhriz dan iktiraf mantan undang.


Padahal,


DKU kata Baginda masih YDPB.


AGC pula kata proklamasi 19 April tak sah.


Jadi kalau kerajaan negeri kata Baginda sudah turun takhta, tunjukkan proses yang sah.


---


6. “Tuanku Nadzaruddin dipilih oleh Undang, bukan UMNO.”


Kalau takhta itu masih belum kosong secara sah, macam mana boleh pilih pengganti?


Senang faham:


> Kalau orang pertama masih sah memegang jawatan, macam mana nak kata jawatan itu dah kosong dan lantik orang kedua?


Itulah persoalannya.


---


7. “Tuanku Muhriz tak boleh pecat EXCO sebab Baginda dah turun takhta.”


Ini namanya pusing-pusing atas andaian sendiri.


Kata Tuanku Muhriz dah turun takhta.


Tapi kesahan penurunan takhta itu sendiri yang dipertikaikan.


Tak boleh guna benda yang sedang dipertikaikan sebagai alasan untuk membuktikan benda itu betul.


Macam kata:


> “Dia dah kalah sebab aku kata kalah.”


Itu bukan bukti.


---


8. “SUK dan Penasihat Undang-Undang cuma digantung.”


ATAS ASAS APA MEREKA DIGANTUNG


GUNA KUASA APA GANTUNG TUGAS MEREKA?


Kalau asas pertama masih dipertikaikan, tindakan selepas itu pun salah. Tak berperlembagaan.


---


9. “Tak ada bukti UMNO merancang penurunan takhta.”


Yang berkempen masa pilihanraya janji nak selesaikan krisis istana dan fitnah Tuanku Muhriz tu DAP, bukan ke UMNO?


Sekarang nak nafi pula.


---


10. “UMNO cuma menjunjung Undang, UUTKNS dan Adat Perpatih.”


Kalau betul begitu, junjung semua sekali.


Bukan pilih bahagian yang sedap saja.


Kalau UUTKNS menetapkan prosedur tertentu, ikut prosedur itu.


Sebab “kami ikut adat” bukan lesen untuk langkau undang-undang.


---


JANGAN ALIHKAN ISU.


Orang bukan tanya UMNO ada kuasa pilih YamTuan atau tidak.


Orang tanya PROKLAMASI TURUN TAKHTA TU SAH ATAU TIDAK.


Kalau sah, tunjukkan bagaimana semua syarat dan prosedur dalam UUTKNS telah dipatuhi.


Kalau tak sah, jangan guna ayat “kami cuma ikut keputusan Undang” untuk tutup persoalan.


ADA KUASA TAK BERMAKNA BOLEH BUAT SESUKA HATI. KUASA PUN ADA CARA DAN PROSEDURNYA.


Itu saja isu sebenarnya.


KRISIS INI BUKAN SEKADAR SOAL SIAPA MEMERINTAH, TETAPI SOAL MARUAH INSTITUSI RAJA


Rata-rata rakyat masih bertanya satu soalan yang sangat asas: kenapa Tuanku Muhriz hendak diturunkan?


Soalan itu menjadi lebih besar kerana Tuanku Muhriz mempunyai rekod terbuka menyuarakan pendirian tegas terhadap rasuah. 


Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 bukan memberikan kuasa terbuka untuk menurunkan seorang Yang di-Pertuan Besar. Ia menetapkan alasan-alasan tertentu serta menghendaki satu “full and complete inquiry” sebelum proses penurunan boleh dilaksanakan. 


Jabatan Peguam Negara pula telah menyatakan bahawa proklamasi 19 April itu tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 dan bahawa tiada keterangan yang menunjukkan mana-mana faktor kehilangan kelayakan di bawah Perkara 10(1) terpakai kepada Tuanku Muhriz. 


Memang ada pihak sekretariat yang mewakili Undang Yang Empat mendakwa proses siasatan telah dilakukan dalam mesyuarat 5 Mac dan satu lagi proses pada 19 April. Tetapi perkara itu dipertikaikan. Sepuluh bekas Presiden Majlis Peguam antara yang mempersoalkan sama ada benar-benar berlaku suatu siasatan penuh seperti dikehendaki Perlembagaan dan sama ada Tuanku Muhriz pernah diberikan peluang untuk menjawab tuduhan terhadap baginda. 


Sebab itu sehingga hari ini persoalan rakyat masih sama: apakah sebenarnya alasan perlembagaan yang digunakan untuk menurunkan Tuanku Muhriz?


Apabila soalan sebesar itu tidak mendapat jawapan yang terang, ruang kosong itu akhirnya dipenuhi pelbagai cakap-cakap — daripada perebutan pengaruh hinggalah dakwaan mengenai kepentingan pihak tertentu. Semua itu kekal sebagai spekulasi selagi tidak disokong bukti.


Di sinilah krisis ini memberi kesan yang jauh lebih besar daripada pertelingkahan beberapa individu.


Institusi Raja berdiri atas ketinggian, aturan, adat dan Perlembagaan. Apabila persoalan mengenai kedudukan seorang Raja diurus melalui proses yang kesahihannya sendiri dipertikaikan, ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan institusi tersebut.


Bukan kerana institusi Raja itu lemah.


Tetapi kerana cara sesuatu pertikaian mengenai institusi yang begitu tinggi diuruskan juga sepatutnya mencerminkan ketinggian institusi itu sendiri.


Jika Perlembagaan menetapkan alasan tertentu, jelaskan alasannya.


Jika Perlembagaan menetapkan siasatan penuh, tunjukkan bahawa proses itu benar-benar dipenuhi.


Kerana sehingga persoalan asas itu dijawab melalui proses yang sah dan telus, satu soalan akan terus berlegar:


APA SEBENARNYA SALAH TUANKU MUHRIZ?


#nadidaily

 A beautiful piece by Dato Seri Kalimullah Hassan. 


He was an adviser to Malaysia’s fifth Prime Minister, Tun Abdullah Ahmad Badawi.


Worth a read for every Malaysian who loves our country.


~LM~


NB- Posting asal yang diterjemah ke bahasa Kebangsaan. 


********************


ANARKI DI NEGERI SEMBILAN


Apakah sebenarnya yang telah dilakukan oleh Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sehingga UMNO sanggup mencetuskan anarki di Negeri Sembilan dalam usaha untuk menyingkirkan baginda sebagai pemerintah negeri?


Selama 18 tahun, baginda telah menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, dan tidak pernah kedengaran walau sedikit pun skandal mengenai baginda.


Baginda tidak memukul kedi dengan kayu golf; anak-anak baginda tidak berkeliaran memukul orang atau melaung-laungkan betapa hebat dan kayanya mereka; istana di Seri Menanti tidak dijadikan kasino sempena hari keputeraan baginda; dan baginda serta keluarga baginda juga tidak dilihat berpesta bersama kelompok sosialit Tatler.


Tidak. Baginda telah menjalankan peranan sebagai raja berperlembagaan dengan sebaik-baiknya.


Jadi, para pembesar yang memulakan gerakan untuk menyingkirkan baginda pada 19 April ini mendakwa bahawa baginda telah melakukan kesalahan-kesalahan berat menurut adat mereka yang berusia 200 tahun. Apakah kesalahan-kesalahan itu?


Sehingga hari ini, mereka masih belum menjelaskan apakah kesalahan tersebut, dan mereka juga tidak mengikuti proses sewajarnya.


Didorong oleh seorang penjilat politik yang menampilkan dirinya sebagai pakar dalam adat ini dan yang telah mengkhianati setiap pemimpin politik yang pernah membantunya, para pembesar ini — yang kebanyakannya mungkin tidak akan berjaya dalam gelanggang yang benar-benar kompetitif, malah tidak mampu berwacana secara intelektual walaupun di peringkat daerah — dengan beraninya melakukan penderhakaan, sebagaimana yang ditakrifkan oleh adat yang sama yang kononnya mereka pertahankan.


Kini timbul persoalan yang ditanyakan orang ramai mengenai langkah yang belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia ini: mengapakah mereka begitu berani?


Siapakah yang memberikan perlindungan kepada mereka?


Adakah Tunku Nadzaruddin, yang ayahandanya menjadi pemerintah Negeri Sembilan selama 41 tahun sebelum Tuanku Muhriz? Inilah orang yang begitu bersungguh-sungguh menawarkan dirinya — dan didorong pula oleh para pembesar ini — untuk menggantikan Tuanku Muhriz. Amat tidak mungkin. Beliau tidak mempunyai kewibawaan, keteguhan pendirian mahupun keberanian untuk itu.


Adakah Zahid Hamidi, Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri yang tidak setia kepada ketuanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim? Itu juga tidak mungkin kerana, walaupun beliau licik, kemampuan inteleknya tetap mempunyai batas dan, sudah tentu, beliau tidak mempunyai integriti untuk memberikan perlindungan sedemikian.


Atau adakah Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang telah membiarkan keadaan di Negeri Sembilan merosot sehingga ke tahap hari ini akibat sikapnya yang tidak tegas, ketidakjujuran politiknya dan tindakannya? Tidak. Sudah tentu tidak.


Kerana Anwar yang saya kenali, Anwar yang saya saksikan selama lebih empat dekad, digerakkan oleh politik dan hanya akan melakukan sesuatu yang memberikan keuntungan politik kepadanya. Anarki dan ketidakstabilan di Negeri Sembilan tidak memberikan keuntungan kepadanya.


Jadi, apakah sebenarnya yang dilakukan oleh Tuanku Muhriz sehingga menyinggung seseorang yang begitu berkuasa sehingga para pembesar, Tunku Nadzaruddin dan Rais Yatim merasakan mereka tidak boleh disentuh?


Mengapakah polis masih belum menyoal sesiapa kerana hasutan atau penderhakaan? Mengapakah mereka masih belum merakam kenyataan daripada Menteri Besar Ismail Lassim — manusia yang begitu mengecewakan — yang mengkhianati rajanya tepat sehari selepas berikrar taat setia kepada baginda dengan bersumpah di atas al-Quran, dan yang telah mengubah versinya mengenai kejadian itu beberapa kali sepanjang tiga minggu lalu? Seorang yang mudah gentar, lemah dan pengecut, yang kini memimpin Negeri Sembilan bagi pihak UMNO.


Namun, ada satu perkara yang saya tahu.


Ketika Majlis Raja-Raja membincangkan pelantikan Ketua Hakim Negara bagi menggantikan Tun Maimun Tuan Mat yang amat dihormati, terdapat cadangan supaya Hakim Mahkamah Persekutuan yang baru dilantik, Ahmad Terriruddin Mohd Salleh, diberikan jawatan tersebut.


Tuanku Muhriz dengan lantang menentang cadangan itu. Baginda berpandangan bahawa pelantikan tersebut sepatutnya ditentukan melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), yang tugasnya adalah memilih individu yang mempunyai kelayakan sewajarnya dan layak dilantik sebagai hakim mahkamah atasan untuk pertimbangan Perdana Menteri.


Bagi baginda, perkara itu bukanlah sesuatu yang harus diputuskan oleh Raja-Raja. Maka, melalui proses tersebut, Tun Wan Farid Wan Salleh dipilih dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.


Kemudian, apabila timbul banyak perbincangan pada tahun lalu mengenai pemberian pengampunan atau pengampunan separa kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak yang telah disabitkan kesalahan, Tuanku Muhriz sekali lagi lantang menentangnya.


Dalam titah hari keputeraan baginda pada Januari tahun ini, baginda menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap gejala rasuah yang semakin berleluasa di Malaysia dan melahirkan rasa kecewa terhadap mereka yang terus memberikan sokongan kepada individu yang telah disabitkan kesalahan rasuah.


Baginda memberi amaran bahawa rasuah merupakan musuh utama kepada keadilan, amanah dan masa depan negara.


Baginda bertitah bahawa baginda terkejut dan kecewa apabila masih terdapat pihak yang terus memberikan sokongan kepada individu yang telah didapati bersalah melakukan kesalahan rasuah yang serius, seolah-olah perbuatan sedemikian boleh diterima atau dimaafkan.


“Sikap sedemikian bukan sahaja mencerminkan kegagalan memahami kesan buruk rasuah terhadap integriti institusi dan asas moral masyarakat, malah menuntut seseorang untuk melakukan muhasabah yang serius terhadap iman, prinsip dan nilai dirinya.”


Pendirian Tuanku Muhriz dalam isu-isu ini tidak disenangi, khususnya oleh UMNO, yang berada di barisan hadapan dalam usaha mendesak pembebasan Najib.


Dan mungkin tanpa disengajakan, melalui pendirian baginda yang lantang mengenai isu-isu tersebut, Tuanku Muhriz telah menyinggung beberapa pihak lain — yang lebih berkuasa daripada baginda.


Tidak sukar untuk memahami siapa yang dimaksudkan baginda dalam titah tersebut. Ia merujuk kepada bekas Perdana Menteri itu.


Saya tidak ragu-ragu bahawa sekiranya Dr Mahathir Mohamad masih menjadi Perdana Menteri, keadaan tidak akan dibiarkan menjadi seteruk ini. Begitu juga dengan penggantinya, Abdullah Badawi — seorang yang lembut dan tenang, tetapi diplomatik dalam menyelesaikan masalah.


Mereka itu, Dato' Ismail Lassim, adalah lelaki yang mempunyai maruah dan kehormatan. Bukan anda, dan bukan juga pemimpin-pemimpin anda hari ini.


Maka, di sinilah kita berada pada hari ini — di ambang keruntuhan sepenuhnya undang-undang dan ketenteraman — dengan ahli-ahli politik serta para pembesar yang lantang dan angkuh bertindak sesuka hati, tanpa mempedulikan atau takut terhadap segala peraturan dan undang-undang yang mereka langgar.


Sesungguhnya, semoga Tuhan menyelamatkan Malaysia, kerana manusia yang memimpin kita ini tidak mampu melakukannya.


— **Kalimullah Hassan**

 PMX: SEJAK BILA MB DAN EXCO ADA MANDAT PERTIKAI KEDUDUKAN RAJA?


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya bersuara keras mengenai kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan.


Bagi Anwar, apa yang berlaku bukan lagi sekadar perbezaan pandangan politik atau pertikaian biasa antara kerajaan negeri dengan pihak istana.


Beliau secara terbuka menyifatkan tindakan Menteri Besar dan barisan Exco Negeri Sembilan yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu langkah yang biadab dan tidak bertamadun.


“Sejak bila mereka ada mandat nak mempertikai kedudukan Raja?” soal Anwar ketika ditemui media dalam perjalanan dari Shanghai ke Hangzhou, China.


Menurut Anwar, Kerajaan Persekutuan memang tidak boleh sesuka hati masuk campur urusan Raja-Raja Melayu. Tetapi pada masa sama, kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab memastikan soal pemerintahan, keselamatan negara dan institusi berjalan mengikut Perlembagaan serta peraturan yang ditetapkan.


Kalau ada isu membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, katanya, ia perlu melalui saluran dan bidang kuasa yang betul. Kalau Undang Luak mahu menggunakan kuasa atau mengemukakan alasan berdasarkan peruntukan yang ada, itu perkara berbeza.


Tetapi yang dibantah Anwar ialah apabila Menteri Besar bersama Exco sendiri membuat keputusan yang menyentuh kedudukan Raja.


Bagi Perdana Menteri, prinsipnya mudah — masing-masing kena tahu had kuasa masing-masing. Menteri Besar ada bidang kuasanya, Exco ada bidang kuasanya dan institusi Raja juga mempunyai kedudukan serta peranan yang ditetapkan.


Anwar turut mengingatkan supaya institusi Raja-Raja Melayu dimartabatkan dan bukannya dilemahkan hanya kerana berlaku pertembungan atau ketidaksetujuan dalam pentadbiran negeri.


Beliau memberi contoh dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri. Walaupun mengetuai Kerajaan Persekutuan, bukan semua perkara berkaitan Raja-Raja boleh diputuskan olehnya.


Dalam soal mesyuarat Majlis Raja-Raja misalnya, Anwar berkata kerajaan boleh membawa sesuatu perkara untuk dipertimbangkan, tetapi keputusan akhirnya tetap terletak pada institusi berkenaan. Perdana Menteri perlu akur dan tidak sepatutnya mempengaruhi keputusan tersebut.


Sebab itu bagi Anwar, isu Negeri Sembilan perlu dikembalikan kepada prinsip yang sama — hormati Perlembagaan, hormati bidang kuasa dan gunakan saluran yang betul.


Pendirian beliau jelas: apa juga kemelut politik yang berlaku, jangan sampai kedudukan dan institusi Raja dipertikaikan melalui tindakan pihak yang tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.


#nadidaily