Fitnah terhadap baginda ketika kempen PRN lalu masih melekat dan belum dibersihkan sehingga dipercayai oleh mereka di Luak Tanah Mengandung. Air mata Tunku Ampuan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang tumpah di KLIA1 masih belum kering.
Kacau-bilau di semua luak di Negeri Sembilan masih berlangsung. Kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun yang sedang berkemudi dengan baik memukat pelabur terpaksa dibubarkan ekoran penarikan sokongan Umno.
Dr Akmal Saleh, Ketua Pemuda Umno belum menyanggah Siow Kong Choon dari MCA (bukan DAP ya) dan kita belum tahu mengapa MCA berani melawan raja Melayu seperti itu.
Dan paling penting, Ismail Lasim pada usia 67 tahun masih belum memberitahu kita, siapakah yang memaksa dia untuk menandatangani proklamasi menurunkan Yamtuan Besar?
Siapa yang akan membersihkan najis dari hujung Mahkota Hills ke Pulau Sebang?
Kes yang luar biasa anehnya
Ia tidak harus dibiar menjadi misteri seperti tanda tanya Bigfoot di Tampin.
Kita mesti diberitahu siapakah yang memaksa Ismail di Port Dickson. Apa yang sebenar berlaku di Port Dickson?
Tetapi Ahmad Zahid dan Ismail serta semua 18 orang Adun BN tidak boleh diizinkan menarik hand brake – khusus di kala PRN Melaka berada di persimpangan. Malah PRU juga bakal tiba.
Sekarang, kita perlu tahu siapakah yang membuat aniaya sehingga merosakkan habis keadaan stabil dan makmur di Negeri Sembilan sehingga menjadi bilau-kacau. Siapakah perlu bertanggungjawab mengharu-birukan Negeri Sembilan?
Ismail jangan bersenang hati setelah ‘dilempar ke bawah bas’ (kita juga mahu tahu siapa melemparkannya). Kita ulang: Surat Cara Proklamasi yang ditandatangani di Laguna Biru, Port Dickson pada pada 3 Ogos lalu terkait kedudukan Tuanku Muhriz adalah sesuatu yang besar dan bahaya.
Ismail mendakwa dokumen tersebut ditandatangani tanpa rela dan secara paksa (duress). Dia membuat laporan polis mengenai perkara tersebut pada 8 Sept dan kita mahu tahu hasil siasatan.
Siapakah yang memaksa Ismail melakukan itu?
Seorang menteri besar dengan kelulusan undang-undang boleh dipaksa menurunkan raja. Ini adalah kes yang luar biasa anehnya.
Ini kekal misteri, dan apa berlaku kepada Ismail itu tidak serumit kes simbah asid yang mudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Misteri Ismail di Port Dickson ini bukan sesuatu yang enteng. Pada 8 Sept lalu akhbar Singapura, The Straits Times, menyatakan barisan kepimpinan tertinggi Umno termasuk Ahmad Zahid, Asyraf Wajdi Dusuki (setiausaha agung), dan Azalina Othman Said (Menteri Undang-Undang dan Ketua Penerangan Umno) turut hadir dalam pertemuan berkenaan.
Ada yang berbau derhaka
Mereka sudah membuat penafian. Kita juga tidak perlu menunggu hari akhirat untuk hal sebegini. Justeru Ismail harus tahu yang akur kepada Ahmad Zahid untuk “jangan lagi campur” di tengah porak-peranda dan hiruk-pikuk yang timbul di Negeri Sembilan itu adalah suatu kelakuan kurang ajar juga.
Itulah kepala daripada kemurkaan Tuanku Muhriz terhadap Ismail.
Lebih misteri, dalam laporan The Straits Times itu, Ismail dikatakan dipaksa menandatangani pengisytiharan tersebut under duress sementara kepimpinan tertinggi Umno didakwa bekerjasama rapat dengan Undang yang asal.
Bukan itu sahaja, dalam laporan berkenaan dikemukakan yang kononnya Ismail dihalang daripada meninggalkan pertemuan tersebut sehingga dia menyetujui langkah yang mahu diambil ke atas Tuanku Muhriz itu.
Meskipun kejadian itu berlaku pada 3 Ogos, Ismail tetap melaksanakan angkat sumpah jawatan exco di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos.
Tidak semua perkara boleh menjadi NFA. Satu penganiayaan terhadap institusi diraja dan adat telah terjadi di Negeri Sembilan yang mengambil masa berdekad-dekad untuk dipulihkan. Ahmad Zahid tidak boleh cuci tangan dengan menyorong Adun Umno Negeri Sembilan untuk berkelakuan seperti biasa.
Tangan BN, PAS dan Wawasan masih ada bau penderhakaan.
FAISAL TEHRANI