Ikan Siakap dan Kapal Selam
Ada persamaan antara ikan siakap dan kapal selam. Persamaannya ialah kedua-duanya tinggal di air. Ikan siakap boleh menyelam dan begitulah juga kapal selam. Sementara bezanya ialah ikan siakap ciptaan Tuhan manakala kapal selam pula adalah ciptaan manusia.
Baru-baru ini kita digemparkan dengan cerita sebuah restoran di Langkawai yang menjual hidangan masakan ikan siakapnya dengan harga hampir mencecah RM 2000.00. Pelanggan tersebut mahu masakan ikan siakap yang sesuai untuk dimakan tujuh orang sahaja. Tetapi hidangan masakan yang disediakan sehingga boleh dimakan untuk seramai 30 orang. Dengan harga yang sebegitu untuk makanan tujuh orang sekeluarga memanglah sangat mahal.
Cerita hidangan ikan siakap yang mahal ini hanyalah satu dari berbagai-bagai cerita yang agak pelik di negara ini. Selain cerita hidangan ikan yang mahal ini banyak lagi cerita-cerita yang pelik berlaku di negara ini. Antaranya ialah cerita mengenai kapal selam.
Untuk menguatkan pertahanan melalui laut banyak negara di dunia ini membeli atau membuat kapal selam. Negara ini tidak terkecuali membeli kapal selam untuk menguatkan pertahanan melalui tentera laut.
Beberapa tahun yang lalu kita dihebohkan dengan cerita kapal selam. Kapal selam yang kononnya tercanggih dibeli dari Perancis itu dikatakan sangat hebat tetapi kapal selam itu tidak boleh menyelam di laut. Bermacam-macam alasan diberikan kenapa kapal selam tersebut tidak boleh menyelam.
Cerita pembelian kapal selam yang harganya berbilion ringgit ini dan jauh lebih mahal dari pembelian negara lain terhadap kapal selam jenis yang sama ini menimbulkan cerita berangkai pula. Cerita berangkai tersebut ialah bila pembelian kapal selam ini dikaitkan pula dengan seorang wanita cantik dari negara asing. Cerita wanita cantik ini pula tidak berakhir di situ. Cerita tersebut menjadi meleret-leret dan berpanjangan.
Selain cerita kapal selam yang tidak boleh menyelam ini terdapat juga kisah kapal selam yang juga dibina tidak siap-siap. Kos untuk pembinaan kapal selam tersebut juga telah menelan belanja berbillion-billion ringgit.
Kisah kapal selam ini yang tidak boleh menyelam dan tidak siap-siap pembinaannya ini menunjukkan bagaimana wang rakyat telah diselewengkan dengan begitu mudah sekali. Jumlah yang diselewengkan bukan sedikit, tetapi merupakan satu jumlah yang sangat besar. Tiada langsung rasa tanggungjawab ahli politik yang menguruskan pembelian dan pembuatan kapal tersebut. Seolah-olah wang rakyat yang berjumlah berbillion-billion ringgit itu boleh digunakan mereka dengan sesuka hati.
Jika perbuatan tersebut berlaku di negara maju tentu sahaja mereka yang terlibat telah berada di dalam penjara sekarang untuk tempoh yang sangat lama. Tetapi di negara ini cerita tersebut menjadi bahan untuk orang yang terlibat berdolak dalik dan menipu rakyat. Memang ternyata jelas perbezaan sikap rakyat dan pemimpin di negara maju yang bertanggungjawab terhadap bidang yang diceburi. Seorang peniaga atau pengusaha restoran di negara maju akan melayan pelanggannya dengan jujur dan amanah, tiada niat langsung untuk menipu. Sementara seorang pemimpin atau ketua di negara maju akan memimpin rakyatnya dengan jujur dan tidak menipu.
Cerita hidangan ikan siakap yang mahal dan kapal selam yang tidak boleh menyelam dan tidak siap-siap dibuat di negara ini adalah satu gambaran kebobrokan masyarakat di negara ini. Ia gambaran sebuah masyarakat yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Gambaran masyarakat yang mengambil kesempatan dari kepercayaan yang diberi oleh pelanggan. Begitu juga dengan ahli politik yang menguruskan pembelian dan pembuatan kapal selam tersebut. Mereka telah khianat kepada rakyat yang telah memilih mereka sebagai wakil rakyat.
Tentang perbuatan ahli politik yang khianat dan diikuti perbuatan khianat mereka oleh rakyat terdapat pepatah yang menyatakan, ikan busuk dari kepala. Pepatah ini bermaksud segala perbuatan buruk dari masyarakat dimulai dari perbuatan pemimpin atau ketua yang berkelakuan buruk dalam masyarakat tersebut. Perbuatan pemimpin atau ketua yang buruk tersebut akan diikuti pula oleh rakyat atau pengikut mereka.
Sebagai bangsa dan rakyat yang beradab dan berakhlak, rakyat negara ini sepatutnya malu dengan perbuatan mengambil kesempatan dan tidak amanah yang berlaku di negara ini. Hal ini demikian supaya ikan tidak terus busuk dari kepala. Kita sepatutnya malu menjadi orang Malaysia yang mempunyai pemimpin dan ketua yang berperangai hodoh seperti itu.
Taufiq Ismail sasterawan besar dari Indonesia ketika merakam kejadian hodoh dan buruk di negaranya menerbitkan sebuah kumpulan puisinya Malu (Aku) Jadi Orang Indonesia. Judul kumpulan puisi itu diambil dari judul salah satu puisinya dalam kumpulan tersebut.
Maka kita orang Malaysia amat wajar jika turut berkata malu aku jadi orang Malaysia dengan apa yang berlaku sekarang di negara ini. Kecualilah kita telah menjadi bangsa yang tidak punya malu dengan apa yang berlaku di negara kita sekarang!
Hasni Abas ialah penggiat seni dan budaya. Beliau lulus ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera dan Sains Politik dari USM dan ijazah Sarjana Sastera dan UPM. Beliau telah menulis sejak tahun 1980-an.
Kuala Lumpur
6 November 2021.
No comments:
Post a Comment