Sunday, November 21, 2021

 ** *Rakyat Malaysia telah tiba di Persimpangan Jalan.*  **


         Jika kita tidak bersatu maka lebih 20 tahun lamanya seruan Reformasi oleh ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim akan sia-sia, apabila negara kembali di bawah pemerintahan regim Barisan Nasional.


         Secara kesatnya, rakyat Malaysia sekali lagi perlu mengalu-alukan bekas "Wanita Pertama" dan suaminya, walaupun segala usaha telah dilakukan bagi membetulkan keadaan sebelum ini.


         Kelihatan kebanyakan rakyat Malaysia yang menyokong Pakatan Harapan mahu menyaksikan perubahan, tetapi mereka entah bagaimana mudah terpengaruh oleh laskar siber upahan dan terkaman pendapat oleh ahli politik yang banyak wang.


         Pada pilihan raya umum akan datang, satu pendekatan baharu juga dijangka untuk menonjolkan calon-calon  Bebas yang terdiri terutamanya daripada tokoh berpengaruh untuk mencuri undi daripada PH. Apabila undi berpecah, BN akan mempunyai kelebihan berbanding PH.


         Apabila Melaka jatuh ke tangan Barisan Nasional, telahan pertama yang diberikan oleh cyber trooper yang menyamar sebagai penyokong PH ialah: “Anwar tidak relevan lagi.”


         Saya pernah mendengar rentak lagu yang sama didendangkan apabila katak-katak politik melompat keluar dari kerajaan PH pada 2020, menyebabkan keruntuhan kerajaan pilihan rakyat.


         Soalan saya: Apa kaitan Anwar dengan ini? Jika orang ramai yang menyahut seruan Reformasi bertekad untuk melihat perubahan, maka mereka perlu teguh dan kekal pada landasan yang betul.


         Jika kita memberi perhatian dan pemerhatian yang cukup, banyak das-das tembakan hanya ditujukan kepada pemimpin utama: sama ada Anwar dalam PH atau Lim Guan Eng dalam DAP. Sebelum ini, bapa Lim, Kit Siang jadi bahan diserang.


         Alasannya jelas. Sama seperti  permainan catur, kemenangan terbesar dicapai jika anda dapat "membunuh" raja. Selama bertahun-tahun, Anwar telah menjadi sasaran begitu banyak sekali kempen fitnah dan pembunuhan karakter.


Ada sesuatu yang tidak kena jika Anwar dilemparkan ke penjara sebanyak dua kali kerana dakwaan kesalahan yang dilakukannya, tetapi tiada seorang pun dari kluster mahkamah atau ahli politik yang telah dikenal pasti kesalahannya dipenjarakan.


         Rakyat Malaysia, sila bangkit! Banyak yang boleh diperkatakan mengenai pilihan raya negeri Melaka tetapi saya hanya akan memberikan ulasan sepintas lalu tentang perkara ini. Pertama, ia adalah pilihan raya negeri yang sangat hampir dengan Pilihan Raya Umum.


         Kedua, sempadan masih ditutup dan wabak Covid-19 masih belum reda. Ramai rakyat Malaysia yang menetap di luar negara tidak dapat pulang. Ketiga, kebanyakan kita sibuk dengan urusan harian kita sendiri, dan kita langsung tidak pedulikan pilihan raya negeri ini kerana sedar bahawa pilihan raya umum hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.


         Saya percaya menjelang PRU15, ia sekali lagi menjadi persoalan sama ada kita mahu negara kembali kepada regim lama yang diketahui perasuah. Bagi saya, adalah jauh lebih baik bagi sebuah kerajaan dibina atas integriti daripada kerajaan di mana pemimpin korup yang sama cuba untuk membuat kemunculan semula.


         Tiada parti politik yang sempurna. Ada orang baik dan ada yang jahat dalam setiap parti. Oleh itu, kita perlu melakukan perubahan semula dalam cara kita berfikir.


         Penyokong PH harus bertanya soalan, jika Anwar sudah terlalu tua, bagaimana pula dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, malah ahli politik tercemar, seperti Najib Abdul Razak dan timbalannya, Zahid Hamidi? Adakah mereka lebih muda daripada Anwar?


         Pada saya, seruan untuk sistem dua parti dalam negara demokrasi masih relevan. Kita terlalu obses mengharapkan PH akan menjadi serba sempurna, walaupun mengetahui sangkaan sedemikian adalah tidak realistik.


         Kita tidak memberikan PH masa yang mencukupi untuk melaksanakan reformasi, dengan menyedari dan mengambil kira bahawa kerajaan di bawah Dr Mahathir, penuh dengan katak politik yang mempunyai agenda sendiri, hingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.


         Kita tidak boleh tidak menghiraukan perancangan besar yang telah didedahkan oleh beberapa pemimpin Umno sejak awal lagi bahawa PH akan tumbang pada separuh pertama pemerintahannya. Apa yang ramai orang tidak nampak ialah bahawa segala tipu daya yang berlaku di dalam dan di luar PH itu sendiri bukanlah salah orang baik-baik di dalam PH sendiri.


          Kalau PH ada orang macam Azmin Ali, Mahiaddin Yassin, Maszlee Malik, malah Dr Mahathir, BN pun ada orang macam Najib, Zahid, Ahmad Mazlan dan seumpamanya.


Malah, apa yang kita lihat dahulu, banyak intimidasi politik dilakukan melalui orang seperti Ibrahim Ali, Jamal Mohd Yunos (kini Dato' Seri), dan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Keempat Johan Mahkota Wilayah (JMW).


         Saya takut dan bimbang bahawa jika BN menang PRU15, ramai daripada mereka ini yang akan mengisi jawatan yang akan membawa negara ke jalan yang batil.


Oleh Stephen Ng


(terjemahan daripada bahasa Inggeris asal)

No comments:

Post a Comment