DAP
1. Setiap kali PRU, PRN, PRK, segala mak nenek pilihanraya, DAP akan dijadikan modal oleh parti-parti melayu.
2. Mereka akan gunakan hujah DAP.
3. Dan lawan mereka akan mempertahankan DAP.
4. Kat situ je dah sibuk buang masa untuk mencari salah DAP dan dalam masa yang sama memberikan idea bagaimana nak membetulkan DAP.
5. DAP bukannya bodoh. Setelah satu Malaysia bercakap dan memberikan review tentang DAP. Mereka juga berfikir dan mengambil keputusan untuk membiarkan idea-idea tertentu meresapi DAP.
6. Sebagaimana DAP diwajahkan milik orang cina, mereka membiarkan orang melayu masuk malah dijadikan calon pilihanraya. Sebagaimana DAP diwajahkan dengan orang tua, mereka biarkan orang muda terlibat, sebagaimana DAP diwajahkan dengan bahasa cina, mereka mula pelbagaikan bahasa.
7. Terima kasih kepada orang melayu yang begitu struggle membetulkan DAP sehingga mereka berubah dan menjadi lebih terbuka.
8. Sementara itu parti melayu yang dulu berpecah dua, kepada tiga kepada empat dan kini entahkan berapa. Mereka barangkali terlupa untuk membetulkan parti sendiri sehingga bergolak lebih teruk, berpecah lebih banyak malah bergaduh paling kerap.
9. Dalam berpecah paling teruk itu pun, masih disalahkan adalah DAP.
10. Dalam bergaduh paling teruk itu pun, yang dikatakan punca adalah DAP.
11. Dalam kempen pilihanraya kali ini pun, masih lagi menggunakan modal lama.
12. Masih lagi DAP mahu menguasai Malaysia, menindas melayu, menghapuskan Monarki, menukar bahasa dan agama rasmi.
13. Dulu, ya dulu kerana bukan semua bersekolah dan berpendidikan tinggi, maka, tuduhan seperti itu boleh memasuki minda.
14. Tetapi dengan pendidikan, dengan pengetahuan dan kebolehan mengakses maklumat, tuduhan seperti itu dengan mudahnya boleh dipatahkan. Scare tactics yang lapuk ini terkesan hanya pada mereka yang buta maklumat dan fakta tentang Perlembagaan Negara.
15. Apakah DAP boleh menghapuskan Monarki? Jawapannya tidak. Monarki tidak akan tandatangan apa-apa yang boleh menghapuskan kedudukan mereka dalam negara ini. Untuk tukar Bahasa Melayu, Agama Islam, bukan hanya perlu DAP tetapi perlu 2/3 Ahli Parlimen. Untuk bentang dan bahaskan hal itu, tak perlu sampai ke peringkat Parlimen pun, sudah pasti bergolak dibawahnya terlebih dahulu.
16. Jadi jika DAP mahu menghapuskan apa yang dikatakan hak istimewa bumiputera, bahasa melayu dan sewaktu dengannya, apakah orang melayu akan berdiam diri?
17. Yang sebenarnya orang melayu ini lalai.
18. Mereka sibuk memperkatakan apa yang DAP tak buat. Benda yang tidak dibuat itu diperbesar-perbesarkan seolahnya DAP akan buat bila berkuasa.
19. Yang sebenarnya apa yang DAP dan parti-parti cina lain buat ialah, mereka sibuk memperkasakan bangsa mereka. Jatidiri bangsa mereka supaya mereka boleh jadi kuat dan boleh survive di alam kehidupan ini.
20. Mereka bukan serabut nak fikir untuk hapuskan kedudukan melayu. Mereka sibuk nak pastikan kedudukan anak bangsa mereka terjamin dengan memastikan anak bangsa mereka mendapat segala pendidikan terbaik dalam dunia.
21. Hatta sijil UEC itu pun mereka pastikan ia memenuhi standard dan piawaian antarabangsa. Supaya anak bangsa mereka boleh terbang bebas, jauh dan menjadi berjaya walau dimana sahaja mereka berada.
22. Ini yang mereka struggle fikirkan. Ini yang buat mereka bersatu walaupun berlainan fikrah politik. Mereka boleh bergaduh apa sahaja tetapi dalam pendidikan mereka sepakat bahawa ia tidak boleh ada campurtangan politik. Yang terbaik disini. Nak menderma disini. Nak membantu disini.
23. Sekolah mereka menjadi antara yang terbaik fasiliti di Malaysia.
24. Malah semakin ramai melayu dan non chinese mahu bersekolah disini.
25. Sementara itu apa yang melayu buat?
26. Sibuk takutkan diri sendiri. Takutkan orang lain. Kerana bodoh Perlembagaan Negara. Pada PRU 15 DAP bertanding 55 kerusi. Tak sampai pun separuh dari 222. Entahkan menang semua entahkan tidak. Dan itu pun masih biarkan diri dirasuki maklumat tidak benar. Sanggup buang masa untuk hidup dalam ketakutan atas maklumat rekaan.
27. Setelah kita sampaikan maklumat ini kepada mereka. Datang secara baik. Betulkan dengan baik. Kepada kita dipanggil anjing. Barua. Puppet.
28. Apa kita tak boleh bercakap perkara betul ke?
29. Kemudian dibalas kepada kita ini, ini yang DAP buat bila berkuasa.
30. Bila kita tengok, alahai, ini langsung tak membabitkan perubahan dalam structure asas perlembagaan negara pun.
31. Hanya pergaduhan membabitkan perbezaan pendapat dalam hal tertentu, perbezaan polisi dan perbezaan fikrah politik serta kepercayaan.
32. Perkara yang sama turut dilakukan oleh parti-parti lain, parti-parti melayu juga.
33. Ambil sahaja contoh DAP dwibahasa dalam kenyataan politik mereka, itu salah. Bila parti lain buat, itu tak apa. Billboard kempen tulisan besar dalam bahasa cina itu tak apa, jangan bila DAP yang buat itu salah. DAP dilarang menunjukkan jatidiri kecinaan mereka tetapi parti lain tak apa. Dalam ertikata lain DAP perlu diajar kurang ajar terhadap bangsa yang Allah lahirkan mereka. DAP tak boleh, tak patut dan mesti benci kepada cina, sesuatu yang mereka dilahirkan dengannya. Mereka tak boleh rasa bersyukur dan berterima seadanya terhadap bangsa sendiri. Mereka mesti membuang segala-galanya untuk buktikan yang mereka hormat pada bangsa berbeza, atau lebih tepat bangsa melayu, sebab ada bangsa melayu yang takut dengan mereka jika mereka tunjukkan mereka itu orang cina.
34. Adat berbangsa, walaupun kita mungkin tak mahu, atau lakukan secara tak sengaja, sudah tentu sedikit sebanyak kita akan mempertahankan jatidiri bangsa yang kita dilahirkan, kerana inilah diri kita. Kita juga tak akan berbeza dari DAP.
35. Apa yang perlu kita tekankan ialah raikan kepelbagaian, anjurkan tolenrasi dan saling menghormati. Ini yang perlu kita lakukan. Sepertimana kita, DAP juga bukannya maksum. Akan ada saatnya, malah telah pun berlaku, mereka tergelincir dari landasan seperti parti-parti melayu yang lain, pada ketika itu, kita datangkan teguran, supaya mereka tidak meneruskan kesalahan, tetapi jangan bias sehingga mengabaikan parti-parti melayu.
36. Dalam masa kita sibuk membetulkan DAP, parti itu menambahbaik luar dan dalam, segala bentuk review dilambung keatas mereka, yang positif yang negatif, mereka ambil dan kaji, sementara parti-parti melayu dilemakkan dengan teguran manja, berkias dan lembut. Tak cukup dengan itu, siap pakaikan protection.
37. Kita manusia boleh mati. Kerana kita ada nyawa. Tetapi parti yang tak bernyawa juga boleh mati. Terutamanya parti yang disekelilingi pengampu, perasuah dan dijulang pula perkara yang salah.
#KitaBoleh
No comments:
Post a Comment