Tuesday, November 1, 2022

 Nama saya Rafizi Ramli.


Saya mencipta nama dalam politik sebagai pembongkar penyelewengan wang rakyat. Sejak 2011, sudah banyak ahli politik yang menjadi sasaran buruan saya.


Saya pernah membuat siri pendedahan terhadap menteri-menteri kanan seperti Shahrizat Jalil dalam skandal NFC, Najib dan Rosmah dalam skandal 1MDB. Saya pernah mendedahkan penyelewengan di tabung-tabung rakyat seperti MARA, Tabung Haji dan Felda.


Saya pernah membuat laporan SPRM terhadap Azmin Ali yang pada ketika itu Timbalan Presiden dalam PKR. Saya juga pernah mendedahkan bagaimana Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden PAS tersenarai dalam senarai penerima wang dari siasatan SRC. Saya juga mendedahkan bagaimana jutaan ringgit dibayar kepada Clare Rewcastle oleh presiden PAS Hadi Awang untuk menggugurkan kes saman Hadi terhadap penulis Sarawak Report itu.


Saya mendedahkan bagaimana pimpinan BERSATU, dulunya dari UMNO seperti Latiff Ahmad dan Ikmal Hisham terlibat dalam skandal perolehan pertahanan seperti kapal LCS dan meriam artileri SPH.


Orang UMNO dari 2011 hanya menjerit fitnah setiap kali saya membuat pendedahan walaupun saya menang semua kes di mahkamah mengenai skandal-skandal ini. Orang PAS dulunya paling kuat menjemput saya ke pentas ceramah mereka dan paling kuat mengulang skandal-skandal yang saya dedahkan untuk menyerang UMNO. Tetapi selepas menjadi teman sejati UMNO, mereka juga hanya menjerit fitnah kali ini.


Saya turun naik mahkamah selama 12 tahun dan ada 14 kes mahkamah. Tidak sampai sebulan saya kembali ke politik, saya kena naik mahkamah lagi.


Ramai yang tanya saya kenapa saya tidak serik-serik melawan rasuah? Kenapa saya ambil risiko? Saya bukan pernah dapat apa pun dari pendedahan-pendedahan yang saya buat, selain dari tidur dalam lokap.


Saya tegas melawan rasuah bukan untuk laba politik. Saya tahu orang yang makan rasuah ini ada di mana-mana kerana power corrupts, absolute power corrupts absolutely.


Saya benci rasuah kerana kesannya terlalu memusnahkan.


Bukan sahaja wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat hilang, rasuah menyebabkan masyarakat membenarkan hak di ambil dari orang yang sepatutnya.


Bila satu syarikat dapat tender melalui rasuah, syarikat yang lebih baik dan layak itu dirampas haknya. Pekerja-pekerja mereka yang baik dinafikan rezeki yang halal.


Akhirnya rasuah akan melahirkan satu masyarakat yang pemalas, pembodek dan tidak mahu bersaing. Kalau semua boleh diperolehi dengan merasuah, kenapa perlu berfikir dan bekerja kuat.


Masyarakat begini tidak boleh hidup makmur. Yang digalakkan adalah pembodohan, bukan keyakinan berdikari, keyakinan dengan kecerdikan dan akal. Yang subur budaya merampas dan mencuri, yang mati budaya berlaku adil.


Rasuah membunuh jati diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita.


Orang lain masuk politik demi cita-cita politik, maka mereka tidak gemar membuat pendedahan kerana mereka mungkin hilang kelayakan bertanding dan tidak jadi menteri.


Saya kembali ke politik kerana saya menganggap ini fardhu kifayah. Saya manusia biasa yang tidak pernah cukup pahala, ini usaha saya mencari sedikit pahala untuk akhirat.


Kita ada peluang membersihkan negara kita dari barah rasuah. Barah ini membunuh masyarakat.


Saya akan terus mainkan peranan saya. Saya ajak anda juga mainkan peranan anda di peti undi untuk membunuh rasuah.


#AyuhMalaysia

#IniUsahaKita

#KitaBoleh

#PartiKeadilanRakyat 

#PakatanHarapan

No comments:

Post a Comment