Tuesday, December 17, 2024

 Tun, Berhentilah Memecah-Belah Melayu: 2 Kali Jadi PM, Melayu Susah Dan Miskin


Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang tampuk pemerintahan Malaysia selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri ke-4 (1981–2003) dan kemudiannya kembali sebagai Perdana Menteri ke-7 selama hampir 22 bulan (2018–2020). Dalam tempoh itu, beliau sering menggunakan naratif “membela Melayu” sebagai landasan politiknya. Namun, persoalan besar yang terus menjadi perbincangan adalah: jika benar perjuangannya untuk Melayu, mengapa setelah lebih dua dekad memerintah, orang Melayu masih kekal dalam keadaan yang susah dan tertinggal?


1.Melayu Susah di Era Tun


Semasa era pemerintahan Tun sebagai PM ke-4, beliau melaksanakan pelbagai dasar ekonomi yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup orang Melayu. Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1971, Tun Dr. Mahathir memperkukuhkan agenda DEB dengan melaksanakan dasar penswastaan, projek mega, dan pembangunan infrastruktur. Namun, walaupun terdapat sedikit kejayaan dalam meningkatkan taraf ekonomi segelintir elit Melayu, ia juga menghasilkan ketidaksamarataan yang ketara.


Kekayaan dan peluang ekonomi lebih tertumpu kepada segelintir golongan elit Melayu, sementara majoriti orang Melayu biasa kekal dalam keadaan serba kekurangan. Tambahan pula, amalan kronisme dan nepotisme yang berkembang sepanjang pentadbiran beliau menjadi punca utama ketirisan dalam pelaksanaan dasar-dasar ini. Peluang yang sepatutnya dimanfaatkan oleh rakyat kebanyakan sering hilang kerana diagihkan kepada golongan tertentu.


2.PM Kali Kedua: Melayu Masih Tidak Dibela


Ketika Tun kembali sebagai PM ke-7 di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau diberi peluang sekali lagi untuk membuktikan komitmennya terhadap orang Melayu. Namun, apa yang berlaku? Fokus pentadbirannya lebih kepada isu reformasi institusi dan usaha melawan rasuah. Walaupun ini adalah perkara penting, ia tidak menyelesaikan masalah langsung yang dihadapi oleh masyarakat Melayu seperti kos sara hidup, pendidikan, dan jurang ekonomi yang semakin melebar.


Malah, keputusan beliau untuk meletakkan jawatan secara tiba-tiba pada Februari 2020 mencetuskan krisis politik yang serius, membawa kepada ketidakstabilan yang memudaratkan negara dan masyarakat Melayu. Sekiranya benar Melayu adalah keutamaan beliau, mengapa beliau memilih untuk melepaskan tanggungjawab pada saat genting itu?


3.Perjumpaan Meja Bulat: Taktik untuk Ganggu PMX


Baru-baru ini, perjumpaan meja bulat yang dianjurkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menarik perhatian ramai. Walaupun dilihat sebagai satu usaha untuk membincangkan isu-isu negara, bagi saya, pertemuan ini tidak lebih daripada satu taktik politik untuk mengganggu usaha Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam memulihkan semula Malaysia.


Pertemuan tersebut turut disertai oleh tokoh-tokoh politik dan individu yang dikenali mempunyai agenda tersendiri, termasuk mereka yang sebelum ini secara terbuka menentang Kerajaan Perpaduan. Kehadiran pihak-pihak yang berniat jahat dan sering mempersoalkan legitimasi kerajaan jelas menunjukkan bahawa meja bulat ini bukanlah bertujuan mencari solusi, tetapi lebih kepada usaha melemahkan kestabilan kerajaan.


Tun dan beberapa peserta pertemuan ini sering menggunakan naratif Melayu tergugat, namun naratif ini sebenarnya hanyalah alat politik untuk menghasut dan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Jika benar mereka ikhlas mahu membela rakyat, kenapa mereka tidak menyokong agenda Kerajaan Perpaduan yang sedang berusaha keras untuk memperbaiki ekonomi, meningkatkan taraf hidup rakyat, dan mengembalikan kepercayaan dunia terhadap Malaysia?


4.Dengki dan Niat Jahat terhadap Kerajaan Perpaduan


Meja bulat ini jelas membabitkan pihak-pihak yang tidak senang hati melihat kejayaan Kerajaan Perpaduan. Mereka memilih untuk menyerang dan menghalang usaha Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada menstabilkan politik negara, memulihkan ekonomi, dan memartabatkan semula Malaysia di mata dunia.


Naratif yang dibawa dalam perjumpaan ini bukan sahaja tidak membantu, malah mengundang perpecahan dalam kalangan rakyat. Tun dan sekutunya perlu sedar bahawa rakyat sudah muak dengan permainan politik lama yang hanya menguntungkan segelintir elit politik, sementara rakyat biasa terus terhimpit dengan pelbagai masalah.


5.Masa untuk Bersama Membina, Bukan Menghancurkan


Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk bangkit semula. Taktik seperti perjumpaan meja bulat ini hanya merugikan rakyat dan melemahkan keyakinan terhadap negara. Tun, yang telah memimpin negara selama lebih 24 tahun, seharusnya menggunakan pengalaman dan pengaruhnya untuk menyokong usaha pemulihan negara, bukan mencetuskan kekacauan dan membiarkan dirinya diperalatkan oleh pihak-pihak yang ingin menghancurkan kestabilan Kerajaan Perpaduan.


6.Tun Perlu Berhenti


Tun perlu menyedari bahawa legasinya sudah cukup besar. Beliau telah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali dan memimpin negara lebih daripada 24 tahun. Sumbangannya, baik atau buruk, sudah menjadi sebahagian daripada sejarah. Kini, tiba masanya untuk beliau berundur sepenuhnya dan memberi ruang kepada generasi baharu untuk membawa idea dan pendekatan segar.


7. Seruan kepada Semua Pemimpin


Malaysia tidak lagi memerlukan permainan politik lama yang penuh dengan perbalahan. Semua pihak, termasuk Tun, perlu meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang adalah peluang untuk memperbaiki segala kerosakan yang telah berlaku. Namun, ia hanya boleh berjaya jika semua pihak memberi sokongan dan berhenti daripada menggugat kestabilannya.


Kesimpulan


Malaysia tidak boleh lagi menjadi mangsa kepada ego dan strategi politik individu. Tun Dr. Mahathir masih boleh meninggalkan kesan positif dengan menyokong usaha pemulihan negara, bukannya terus menimbulkan kekacauan. Masa untuk merosakkan sudah berlalu. Kini adalah masa untuk membina.


Seperti yang dinyatakan oleh rakyat, “Berhentilah memporak-perandakan, dan bantulah membina semula.” Melayu tidak perlukan alasan; mereka perlukan tindakan dan keikhlasan. Masa depan negara bergantung kepada pemimpin yang berani berubah dan mendahulukan rakyat.


Muhamad Nur Ismail 

18 Disember 2024

Wednesday, August 7, 2024

 Mee Goreng Mamak ❤️

.

Bahan:

.

✅Mee kuning 450g(5 org makan)

✅Lada kering+Bwg Merah+Bwg putih (blend)

✅Sayur Sawi@Taugeh

✅Fish cake@Fish ball

✅Sotong@Udang

✅Telur 2biji

✅Kicap (6sudu mkn)

✅Seafood sos adabi (2sudu mkn)

✅Sos Cili (2sudu mkn)

✅Perencah Maggi Kari (stgh paket)

✅Garam (secukup rasa)

.

Cara buat:

.

1. Tumis lada kering yg dah diblend hingga garing

2. Masukkan seafood sos adabi,sos cili,kicap,perencah maggi kari dan sedikit air.

3. Masukkan sotong@udang dan fishcake@fishball

4. Masukkan sayur dan telur kacau sebati perasakan dgn garam

5. Akhir sekali masukkan mee kuning yg sudah dibasuh gaul sebati sehingga masak

.

Tadaaa dah siapp untuk dimakan.. Selamat mencuba 😘

.


Kredit Pemilik Foto

Moga Sama2 Dapat Manfaat ❤️ Dunia Akhirat


Petua pisang goreng rangup, warna cantik & lembut.. boleh juga goreng keledek, keladi atau ubi kayu

.

Mak Sipah kan tak berapa ada gigi, jadi dia tak suka bancuhan yg guna tepung beras. Nak guna yg segera, dia mabuk pulak kalau ada msg.. Jadi kak NN buat gini :

.

1/2 paket tepung gandum

Secubit garam - nak sihat guna garam buluh

Gula - sweetality 3-4 sudu kecil

1 sudu kecil serbuk kunyit

1 sudu besar air kapur makan

2 sudu besar minyak masak

Air suhu bilik

.

Air kapur tu akan jadikan bancuhan tepung + kunyit jadi warna oren~ eiiii lawanyaa!! Pastu ia akan menjadikan tepung tu rangup..

.

Biasanya mmg buat bancuhan tepung tu lebih.. ramai peminatnya.. dah habis goreng pisang… goreng tepungnya pulak.. buat besar2.. sekejapan habis.. cuba tau! sedappp


Kredit empunya resepi


Roti canai homemade. Buat sendiri je lepas tu boleh makan bila2

1/2 kg tepung gandum (saya guna cap ros)

1biji telur

2 sudu majerin

1sudu kecil garam(larutkan dalam air)

1/2 cawan air sejuk peti ais

2 sudu susu pekat *tepung+majerin+susu jadikan serbuk roti

*masukan air garam+telur

*masukan air sikit2 sampai doh tak melekat kat tgn

*bulat2 kan rendam dgn minyak(2 jam@lebih)

*canaikan jd mcm dlm gambar

*sedia utk di gorengπŸ˜‰



RESEPI MEE REBUS HAJI WAHID

kena cuba buat sodappp

============================

BAHAN-BAHAN :

✔ 2 kilo mee kuning, dicelur

✔ 1/2 kilo daging, dihiris halus ataupun tetel

✔ 4 biji keledek, direbus dan dikisar

✔ 1 cawan tauchu, dicuci dan dikisar

✔ 3 ulas bawang putih, dikisar

✔ 3 biji bawang merah, dikisar

✔ 1 inci halia, dikisar

✔ 1/2 cawan udang kering, dikisar

✔ 3 batang serai, dititik

✔ 1 inci lengkuas, dititik

✔ 5 sudu makan rempah kari daging

✔ garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

✔ minyak untuk menumis

BAHAN TABURAN TEPUNG UDANG KERING

✔ 1/2 cawan udang kering, dikisar

✔ 80g tepung gandum

✔ ¼ camt serbuk kunyit

✔ garam

✔ air secukupnya

✔ minyak untuk menggoreng

BAHAN HIASAN

✔ tauhu yang digoreng, dipotong kecil

✔ daun sup, dimayang

✔ bawang goreng

✔ telur rebus, dibelah dua

✔ lada hijau, dipotong bulat

✔ taugeh, dicelur

✔ limau kasturi, dibelah dua

=================

CARA-CARA PENYEDIAAN

=================

CARA TEPUNG UDANG KERING

✔ Campurkan kesemua bahan-bahan dan gaul rata.

✔ Cara menggoreng ada teknik sikit. Bancuhan tepung direnjis pada minyak dan goreng adunan sehingga garing. Angkat dan toskan. Minyak kena banyak untuk menggoreng tepung ini.

CARA MASAK KUAH

✔ Panaskan minyak dalam periuk.

✔ Masukkan serai dan lengkuas yang telah dititik.

✔ Kemudian tumis bawang putih, bawang merah, halia dan udang kering yang telah dikisar hingga naik bau.

✔ Masukkan rampah kari kacau rata, kemudian masukkan tauchu dan keledek yang telah dikisar bersama dengan daging. (selalu tauchu dan keledek yang dikisar kita letakkan air untuk senang dikisar) jadi tak payah tambah air takut kuahnya tak pekat.

✔ Masukkan garam, gula dan serbuk perasa.

CARA HIDANGAN.

✔ Hidangkan mee yang telah dicelur bersama taugeh.

✔ Tuangkan kuahnya dan kemudian hiaskan dengan tahu goreng, daun sup, bawang goreng, telur rebus, lada hijau, limau kasturi dan tak lupa juga taburan tepung udang kering.

Okey, selamat mencuba

Thursday, August 1, 2024

 KITA TIDAK DAPAT MENGUBAH POLEMIK LAMPAU TETAPI MASIH MAMPU MENGHARMONIKANNYA


Ikhtilaf antara Asya'irah-Matudiyyah vs sebahagian Hanabilah begitu juga antara iltizam mazhabi vs tidak iltiazam mazhabi pada pada masa silam adalah suatu yang telah berlaku dan tidak dinafikan bahawa kerangka pemikiran tersebut diwarisi oleh pengikut masing-masing sehingga ke hari ini dalam bentuk wacana yang serupa. 


Pada hemat saya, ia tidak bermakna kita harus meneruskannya dengan melihat pada titik-titik ikhtilaf dalam menentukan perspektif yang lebih tepat sebagai anutan masing-masing. Sebagai generasi kini, kita pasti tidak mampu memadamkan kisah-kisah ikhtilaf yang tegang berdasarkan latarbelakang setiap zamannya. Namun ia tidak bermakna, kita tidak mempunyai ruang untuk meminimumkannya.


Sekitar tahun 2017 dahulu, saya pernah mengusulkan perlunya usaha taqrib antara Asya'irah-Matudiyyah vs Salafiyyah dan juga antara Syafi'iyyah vs selain Syafi'iyyah sekurang-kurangnya dalam konteks Malaysia. Walau pun pada hakikatnya, usaha taqrib tersebut agak sukar dijayakan antara yang menyokong atau menentangnya.


Sebagai pengikut Asya'irah dan bermazhab Syafie, saya secara peribadi melihat ikhtilaf yang sentiasa panas pada hari ini masih berlegar dalam konteks wacana yang sama iaitu perspektif memperihalkan anggota Tuhan seperti tangan, muka, kaki, istiwa' alal 'arsy, nuzul, ketawa dan lain-lain yang dinamakan ayat-ayat sifat atau nas-nas mutasyabihat. Memang perbahasan ini akan timbul kerana ia ada dalam sumber hukum iaitu al-Quran dan sunnah. Orang yang mendalami ilmu-ilmu akidah pasti akan mendepani persoalan-persoalan tersebut sama ada di peringkat rendah atau pengajian tinggi.


Kita boleh mengambil inspirasi ke arah al-i'tilaf (Ψ§Ω„Ψ₯Ψ¦Ψͺلاف) daripada pengalaman al-Azhar memperkenalkan subjek fiqh muqaran dalam silibusnya. Objektif subjek ini untuk mencairkan semangat ketaksuban kepada satu-satu mazhab yang pada praktikalnya sukar untuk berdamai. Dunia semakin berkembang. Kerana itu, kebergantungan kepada satu mazhab fikah sahaja akan menyukarkan pencarian solusi bagi memenuhi kemaslahatan umat Islam. Kadang-kadang ada solusi yang boleh dicapai dalam fatwa pendapat mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali selain daripada mazhab Syafie. Sekalipun fiqh muqaran bukanlah mengajar penuntut agar meninggalkan mazhab masing-masing, namun sekurang-kurangnya semua penuntut membaca pendapat dan hujah mazhab-mazhab lain secara adil dan jujur. Begitu juga pentarjihan pendapat dalam subjek tersebut bukan suatu yang muktamad kerana bergantung kepada dapatan pengajarnya.


Guru kami, al-Marhum Prof Muhammad Hussin Qindil (Mantan Dekan Kuliyyah Syariah wal Qanun, al-Azhar Cawangan Damanhur) bermazhab Syafie, beliau mengajar subjek fiqh muqaran dan fiqh al-sunnah. Dalam kedua-dua subjek itu, bukan semua beliau tarjihkan mazhab Syafie. Kita membaca alasan-alasan pertarjihannya. Malah beliau juga menegaskan, jika kamu mempunyai alasan-alasan lain, silakan tarjih.


Subjek fiqh muqaran merupakan subjek wajib yang menggabungkan semua pelajar al-Azhar pelbagai mazhab termasuk Hanbali-Salafi. Dalam kelas, selalunya Dr Hussin terpaksa menhadapi kritik-kritik daripada pelajar pelbagai mazhab terutamanya pada tahun satu pengajian (zaman saya dahulu menggunakan sistem penggal). Bukan calang-calang orang boleh mengajar fiqh muqaran kerana harus menguasai turath setiap mazhab. Saya teringat pernah terjadi apabila seorang pelajar yang mempertikaikan bolehnya dibaca sayyidina Muhammad dalam solawat doa tasyahhud. Agak tegang tetapi beliau menjelaskan istihbabnya menurut mazhab Syafie. 


Kembali kepada fokus penulisan ini, mungkin kita perlu mengemaskini (saya tidak kata mengubah) silibus pengajian tinggi akidah sama ada di pihak Asya'irah atau Salafiyyah-Wahhabiyyah iaitu dengan menyebut pendapat-pendapat rival masing-masing dengan jujur berdasarkan apa yang dihujahinya dengan betul. Ia disebut sebagai pendapat kedua atau ketiga selain pendapat pegangan kita. Misalnya dalam bicara ayat sifat, semua kita bersepakat mentaqdiskan Allah SWT dan mentanzihkanNya daripada penyerupaan makhluk. Hanya apabila memperihalkan bentuk tanzih, kita daripada aliran Asya'irah membincangkan pendapat yang disepakati ulama kita. Namun disebutkan juga pendapat Salafiyyah dalam isu tersebut dengan hujah-hujah mereka. Dalam konteks ini, pendapat-pendapat lain dalam keluarga ASWJ sebagai satu ijtihad juga yang perlu dihormati, namun kita mentarjihkan pendapat kita berdasarkan hujah-hujah yang diyakini. Sebagaimana perihalnya dalam fiqh muqaran tanpa memperlecehkan mazhab-mazhab lain.


Dalam pengajian secara komparatif ini, kemukakanlah sisi-sisi harmoni yang menjadi maqasid utama setiap aliran dalam wacana ayat-ayat sifat. Sisi-sisi negatif yang merosakkan al-i'tilaf seperti label mujassimah, musyabbihah pada Wahhabiyyah-Salafiyyah atau Jahmiyyah, ahli kalam bid'ah pada Asya'irah perlu dijauhi. Saya percaya pengikut Salafiyyah pun tahu pemikiran tajsim dan tasybih makhluk pada Allah adalah satu kekufuran. Begitu juga, menta'tilkan sifat Allah oleh Jahmiyyah kepada Asya'irah sangat tidak tepat kerana perkara itu telah dinafikan sejak awal lagi melalui pengajian sifat 20. Begitu juga labelan ahli kalam adalah sesat juga telah pun dimurnikan kekeliruan itu. Semua sisi-sisi negatif ini kita akan terlerai jika kita menelaah rujukan aliran masing-masing.


Pentarjihan ayat-ayat sifat sama ada menurut perspektif Asya'irah-Maturidiyyah atau Wahhabiyyah-Salafiyyah itu adalah ijtihad pegangan masing-masing yang menyerlahkan maqasid taqdis dan tanzih. Pada saya, aliran Mujassimah, Musyabbihah, Jahmiyyah, Mu'attilah (termasuk Muktazilah dan Syiah) sebenar sememangnya pernah wujud dan dihukum kesesatannya oleh ulama ASWJ. Namun yang ada pada hari ini, bukanlah termasuk pun dalam kategori itu. Ulama Asya'irah hari ini pun menafikan ajaran mereka berasal Muktazilah atau Jahmiyyah. Salafiyyah pun menolak mereka termasuk dalam ajaran Mujassimah.


Oleh kerana kedua-dua menafikan labelan itu, maka apa yang boleh dibuat oleh generasi hari ini?. Adakah meneruskan ikhtilaf masa lampau atau memurnikan sisi-sisi negatif yang merosakkan i'tilaf?.


Memang benar, kita mesti mempertahankan keyakinan yang menjadi fundamental akidah masing-masing. Namun tidak salah jika diceritakan pendapat kedua atau ketiga dengan jujur dan membuang sisi-sisi negatif yang ada padanya di samping pegangan kita. Jika tidak dapat bersatu keseluruhannya, jangan pula diperbesarkan sisi-sisi negatif yang menjarakkannya. 


Saya percaya tokoh-tokoh ilmuan yang harmoni tidak gusar untuk membicarakan sisi-sisi harmoni yang ada pada setiap aliran lain. Kita tidak perlu bertaqiyyah dalam hal ini untuk membeli kepercayaan pihak lain. Kita hanya perlu ikhlas dan mengharapkan perpaduan umat Islam lebih akrab. Mungkin kita tidak mampu mengubah ikhtilaf di Timur Tengah, namun budaya Nusantara-Melayu kita yang terkenal dengan kesopanan dan keberadaban boleh menguburkan sisi-sisi negatif, 


Dalam hal ini, apabila pihak autoriti agama di Perlis mula menggunakan kitab-kitab fikah mazhab Hanbali, ia satu usaha yang bagus untuk mengurangkan jurang ikhtilaf. Begitu juga dalam fatwa negeri-negeri lain, ia tidaklah terlalu ketat dengan fatwa mazhab Syafie. Proses islah dan tajdid fikah yang segar tetap diamalkan oleh negeri-negeri lain sebenarnya. Perkara ini boleh disahkan oleh sesiapa yang terlibat dalam jawatankuasa fatwa negeri-negeri.


Kita cuba bergerak ke arah kerangka faham akidah ASWJ pula. Justeru, silibus akidah yang mentakfirkan sesama umat Islam sudah tidak efektif untuk diajar dalam konteks semasa di saat kita menghadapi cabaran ideologi Barat dan doktrin pemikiran sesat yang lebih menggugat cara hidup umat Islam.


Dr. HK

1.8.2024

Wednesday, July 24, 2024

Memoir 205 Tengku Razaleigh

 Buku Memoir 205 Tengku Razaleigh Hamzah mencatatkan bagaimana orang Umno telah di kafirkan oleh Pas sejak pilihanraya negara yang pertama selepas merdeka 1959.


Semuanya adalah kerana perebutan undi orang melayu yang ketika itu di ungguli oleh Umno yang lansung tidak ada kena mengena dengan agama Islam.


Yang di ceritakan pada umum kenapa Pas keluar dari Umno ialah kerana Umno menyokong judi loteri namun hal yang sebenarnya ialah kegagalan Allahyarham Ahmad Fuad dalam perebutan jawatan presiden Umno (ketika itu  Yang DiPertua UMNO) dengan Tunku Abdul Rahman.


Kegagalan Ahmad Fuad merebut jawatan presiden Umno telah menyebabkan beliau membawa keluar biro agama Umno dan menubuhkan Pas.


Namun sokongan orang melayu terus bersama-sama Umno yang menyebabkan Pas menggunakan tektik mengkafirkan Umno sebagai cara untuk menarik orang melayu yang kuat dengan pegangan islam agar tidak menyokong Umno.


Maka tektik ini di guna terus menerus sehingga ke hari ini cumanya kafir itu bertukar-tukar seperti di bawah : -


1946 - 1951 - Umno Islam sebab depa adalah ahli Umno

1951 - 1971 - Umno Kafir sebab depa keluar dari umno

1971 - 1978 - Umno islam sebab depa masuk Barisan Nasional

1978 - 2020 - Umno Kafir sebab di singkirkan dari Barisan Nasional

1990 - 1995 - Semangat 46 islam sebab 46 pecahan Umno yang bersama depa dalam APU

1999 - 2004 - DAP, PKR, PRM islam sebab depa ada dalam BA

2004 - 2008 - PKR islam DAP Kafir sebab masih bersama PKR tapi tidak bersama DAP

2008 - 2013 - PKR, DAP islam sebab depa ada dalam Pakatan Rakyat

2013 - sekarang - DAP kafir, PKR Kafir sebab depa keluar dari Pakatan Rakyat

2018 -  - Amanah, Bersatu Kafir (Kafir baru serpihan Pas dan Umno)

2020 - 2022 - Umno islam, MCA islam, MIC islam sebab depa berkawan dengan Barisan Nasional

2022 - sekarang- Umno kafir,  Bersatu islam, Gerakan Islam sebab dah tak berkawan dengan Umno dan depa ada dalam PN


Kesimpulannya semuanya kerana politik dan tidak ada kena mengena dengan agama.

Sunday, July 21, 2024

 

MURSYID AM PAS vs MP DIGANTUNG


Dzulkarnain Abidin


1. Mursyid Am Pas kata, boleh baca qunut nazilah apabila jemaah PN ditekan secara politik.


2. Maknanya, MA Pas mengaku, "ulama" Pas yang baca qunut nazilah di parlimen itu menyasarkan doanya kepada kerajaan hari ini.


3. Kita tahu, kini Pas memang tertekan sebab tak dapat jadi kerajaan dan tak dapat nak tebuk atap.


4. Kalau itu tekanannya, "ulama" Pas baca qunut nazilah atas alasan yang salah. Alasan itu tak memenuhi syarat qunut nazilah dibaca.


5. Sebelumnya, MP PN digantung kata, qunut nazilah itu bukan menyasarkan kerajaan, PM atau speaker.


6. Eh, macam mana Mursyid Am Pas bercanggah dengan MP PN digantung? 


7. MP PN digantung tak rujuk ulama Pas? Atau ulama Pas tak sejalan dengan MP PN digantung?


8. Mungkin depa dua dok dalam grup wasap berbeza. Mis komunikesyen...!

Friday, July 19, 2024

Sifat 20

 saya berpendapat, dasar pemikiran Asyairah dan maturidiyyah bukan pengaruh dari falsafah Yunani, tetapi ia memberi pencerahan terhadap kekeliruan dari pihak yang menggunakan pendekatan Yunani.


Hujah saya begini.


(a)

pembinaan bagi metode dan manhaj bagi aliran Asyairah dan Maturidiyyah adalah dari kaedah pendalilan yang boleh melahirkan keputusan Qatie.


Kaedah pembinaan metode dan manhaj sebegini, sudah diguna pakai oleh al-Imam Abu hanifah, al-Imam Malik dan al-Imam al-Syafie, iaitu dikala umat islam belum pernah kenal lagi tradisi falsafah Yunani.


Contohnya, kaedah usul al-Fiqh ada menyebut: setiap suruhan adalah wajib.


kaedah ini diasaskan kepada beberapa premis:

Solat adalah wajib, kerana dalam al-Quran ada suruhan solat.

Puasa adalah wajib, kerana dalam al-Quran ada suruhan berpuasa.

Zakat adalah wajib, kerana dalam al-Quran ada suruhan berzakat.

Haji adalah wajib, kerana dalam al-Quran ada suruhan buat haji.


apabila semua amalan-amalan wajib ini, dalam al-Quran menggunakan suruhan, maka disimpulkan bahawa sebarang suruhan dalam al-Quran adalah wajib.


kesimpulan sebegini dibuat sebelum umat islam kenal lagi tradisi Yunani. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan premis-premis yang konsisten.


Pendekatan sebegini, turut sama pernah diguna pakai oleh IBN TAIMIYYAH dalam perbahasan hukum yang melibatkan manat, iaitu ketika beliau memfatwakan hukum menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati.


walaupun tidak ada dalam nas menyebut berkenaan menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati, tetapi Ibn Taimiyyah memfatwakan keizinan itu. 


kesimpulan sebegitu dibuat dengan logika begini;

dalam hadis, ada menyebut keizinan sedekah pahala kepada si mati, jika dilakukan ibadat badaniyyah yang bernama sedekah.

dalam hadis, ada menyebut keizinan sedekah pahala kepada si mati, jika dilakukan ibadat badaniyyah yang bernama haji badal.

dalam hadis ada menyebut keizinan sedekah pahala kepada si mati, jika dilakukan ibadat badaniyyah yang bernama memberi minum kepada jemaah haji.

makanya, diizinkan sedekah pahala kepada si mati, jika melakukan ibadat badaniyyah.

justeru, membaca al-Quran adalah ibadat badaniyyah, makanya sedekahkan pahalanya adalah diizinkan.


cara pembinaan kaedah ini sudah diperkenalkan oleh para ulama mazhab sebelum era falsafah Yunani masuk dalam kalangan umat islam lagi.


(b)

saya kira, kesimpulan begitu boleh difahami oleh manusia secara fitrah. Contohnya:

seorang bayi kena cerek air yang panas, maka dia rasa sakit.

bayi itu kena periuk nasi yang panas, maka dia rasa sakit.

Bayi itu kena kayu api yang panas, maka dia rasa sakit.

bayi itu kena api yang menyala, dia rasa panas, maka dia rasa sakit.

makanya, otaknya secara automatik boleh simpulkan bahawa rasa panas boleh melahirkan rasa sakit.

makanya, apabila dia melihat sesuatu yang berasap dan keluar api, sejak dari awal lagi dia cuba jauhkan diri seperti menangis dan sebagainya.


saya kira, hal sebegini juga berlaku pada kucing. 

Ada seseorang itu,dia tidak suka kucing.

Setiap kali kucing A datang kepadanya, dia akan sepak. bukan sekali, tetapi berkali-kali. Dengan itu, kelihatan kucing itu akan menjauhkan diri dari kepada orang tersebut.


kesimpulan sebegini tidak perlu kepada mantik aristotle atau pengaruh yunani. Kalau kucing dapat simpulkan begitu, masakan manusia yang mempunyai akal tidak dapat memahaminya.


(c)

metode dan manhaj aqidah Asyairah dan maturidiyyah diperkenalkan dengan usul sifat 20. Yang semua ini kita tahu, ia bukan terbina dari akal, tetapi terbina atas premis-premis yang banyak dari ayat-ayat al-Quran dan hadis. lalu, dikuatkan dengan logika akal.


Contohnya, sifat Wujud Allah merentasi imaginasi akal. 

asas ini datang dari banyak ayat al-Quran, seperti surah al-Ikhlas. Apabila Allah kata bahawa dia adalah Esa, sudah pasti DIA maha wujud. kerana, apabila ada esa, sudah pasti ada wujud. tidak masuk akal dikatakan bahawa tidak wujud, tetapi ada keesaan.


walaupun tidak disebut "wujud", tetapi dengan menyebut bahawa Dia "ahad" - esa, maka sudah pasti wujud.


ia sama seperti al-Quran ada sebut: jangan kamu kata kepada ibu bapa kamu "oh" sekalipun. 


secara aklinya difahami, sepak dan pukul ibu bapa lebih-lebih lagi tidak dibolehkan.


kefahaman ini bukan perlu kepada falsafah Yunani. ini sudah difahami sejak umat Islam era awal lagi. malah, sejak turun wahyu pun, para sahabat sudah faham.


demikian juga, wujud bagi Allah itu merentasi akal, kerana dalam hadis bahawa Nabi saw ada menyatakan: syurga itu, tidak dapat dicerap dengan mata, tidak dapat dicerap dengan telinga, malah hati pun tidak terlintas.


kalau syurga yang bersifat makhluk pun, mata, telinga serta hati tidak dapat diimaginasikan, sudah pasti tidak dapat diimaginasikan adalah Zat Allah yang maha wujud.


untuk memahami ini, tidak perlu kepada pengaruh falsafah Yunani. Secara akli manusia sihat pun dapat fahaminya. Apatah lagi, dari kalangan orang-orang yang bijak.


kalau ini dasarnya, maka difahami kaedah wujud Allah merentasi akal bukan pengaruh falsafah Yunani, tetapi secara fitrah manusia dapat memahaminya.


(d)

Apabila kaedah-kaedah ini sudah dibina, tiba-tiba datang kalangan musuh yang menggunakan falsafah Yunani bertanya bahawa Allah itu apakah dia berjirim atau berjisim, maka perlu dijawab keraguan yang dibangkitkan oleh pihak yang terpengaruh falsafah tersebut.


Sebab, orang yang berfikir secara falsafah akan bertanya, apakah Allah itu wujud seperti manusia yang boleh dijuzuk-juzukkan; apakah wujud Allah seperti nyawa yang tidak dapat dijuzuk-juzukkan?


Apabila ada soalan-soalan falsafah sebegini, maka perlu diperjelaskan terlebih dahulu jenis-jenis isykal yang dibangkitkan oleh gaya berfikir falsafah tersebut, lalu dibantah dengan metode dan manhaj yang sudah dibina berasaskan penjelasan perkara (a) di atas.


(e)

jadi di sini, saya simpulkan bahawa metode dan manhaj Asyairah dan maturidiyyah bukan dibina dari falsafah Yunani, tetapi berasaskan metode dan manhaj yang telah diguna pakai oleh ulama salaf. 


tetapi, falsafah Yunani masuk sebagai mencipta keraguan, lalu dibantah dengan metode dan manhaj mereka dengan difahami terlebih dahulu maksud yang digunakan oleh falsafah Yunani tersebut.


Wallahu 'Alam.

Sunday, July 7, 2024

Kehebatan Mat Kilau

 Al-Fatihah buat Pahlawan Mat Kilau


Mat Kilau seorang yang sangat pantas seperti kilat , Beliau boleh pergi 1 ke 1 musuh dalam sekelip mata. Yang sempat dilihat musuh hanya bayang . Seperti kita melihat cahaya dari kilat. 


Itulah kelebihan Mat Kilau - Pantas seperti Kilat. Nama Mat Kilau digelar kerana kepantasannya. 


Nama Mat Kilau Diberi Kerana "Kelincahannya". 


"Mat Kilau Tu Orang Handal , Sepelepah Daun Nyior(Kelapa) Gugur , Dia Dah Tahu Berapa Banyak Regisnya (Lidi)" 


"Mat Kilau Boleh Pergi Ke Sesuatu Tempat Dengan Cepat , Dia Boleh Ghaib Sekelip Mata."


"Mat Kilau Kalau Bertarung Dia Boleh Bunuh Dan Libas 9 Orang Musuh Dengan Parang Dalam Sekelip Mata"


"Mat Kilau Pernah Merampas Seekor Kucing Dari Mulut Harimau Dengan Sekelip Mata , Dan Menengking Harimau Itu."


Demikianlah Kelincahan Pahlawan Pahang Ini "Mat Kilau" Banyak Lagi Kelebihan Yang Allah Beri Padanya. 


"Pernah Seekor Lembu Jatuh Dalam Telaga , Mat Kilau Menaikkan Lembu Itu Dengan Sebelah Tangannya Sahaja."


"Pernah Seorang Pendekar Yang Bernama Awang Kelana Ingin Menguji Kehandalannya , Ketika Mat Kilau Sedang Mandi Embun , Awang Kelana Merejam Lembingnya Dari Belakang Dan Lembing Itu Tepat Terkena Pada Badan Belakang Mat Kilau , Tetapi Tiada Apa Yang Terjadi Ibarat Merejam Lembing Ke Batu Yang besar."


"Ketika Mat Kilau Pergi Ke Kuantan Bersama Menantunya , Dia Menyuruh Agar Menantunya Balik Dahulu Kerana Mat Kilau Ingin Berjumpa Dato Bahaman@Tok Peramu , Ketika Menantunya Sampai Di Rumah , Mat Kilau Telah Pun Berada Di Rumah."


"Ketika Pihak Inggeris Tahu Kelemahan Kekebalan Mat Kilau Adalah Emas , Maka Mereka pun Membuat Peluru Emas , Tetapi Peluru Emas itu Hanya Menembusi Kulit Mat Kilau Sahaja Bukan Dagingnya."


Masih ada lagi beberapa kisah dan Kelebihan Tok Aki yang tidak boleh diceritakan di sini , Tidak semua yang boleh dibuka biarlah ianya menjadi Rahsia pada siapa yang tahu. Apapun Hanya Allah lah Yang Maha Kuasa Dan Maha Hebat. Dia-lah yang Empunya segala Kehebatan Dan Keilmuan Yang Diberi Pada Hamba-Nya Yang Soleh. 


Mari kita sama-sama mengimbau kembali perjuangan Allahyarham Mat Kilau. 


Ketika Mat Kilau bersembunyi beliau pernah menetap di Kg Penar Patani, semasa pelariannya dengan nama Mat Siam. Hugh Clifford meminta Raja Siam mengarahkan Sultan Kelantan iaitu Sultan Mansur supaya menyerahkan Mat Kilau hidup atau mati kepadanya.


Kata Mat Kilau “Saya pura-pura mati dan kamu boleh membawa ‘mayat’ saya dan menyerahkannya kepada Sultan Kelantan. Sultan boleh memaklumkan kepada Raja Siam yang saya telah meninggal dunia ketika bertempur!”


Kata Mat Kilau lagi, “Itu mudah saja, kerana saya boleh buat ramuan untuk diminum, selepas meminumnya saya akan pengsan selama dua hari. Keadaan saya bagaikan orang mati. Kamu boleh bawa mayat saya kepada Sultan tetapi ada syarat dan jaminannya”


“Syaratnya, mayat saya mesti dibungkus dengan kain kuning, orang ramai boleh melihat dari jauh sahaja. Apabila sampai di tanah perkuburan, mayat saya boleh digantikan dengan batang pisang” kata Mat Kilau kepada Haji Abdullah serban hijau yang ditugaskan untuk menangkapnya tetapi bertukar menjadi sahabat seperjuangannya selepas menyaksikan Mat Kilau boleh ghaib didepan matanya sendiri!


“Jaminannya, ayah saya Tok Gajah dan Datuk Bahaman mesti berada disisi mayat saya hingga dibawa ke tanah perkuburan, anak-anak murid saya juga dibenarkan mengiringinya, itu sebagai jaminan saya tidak dikhianati”


Lalu Mat Kilau meminum ramuannya dan pengsan lalu dianggap mati, diusung ke anjung istana negeri Kelantan disaksikan orang ramai. Sultan Mansur pun menghantar utusan ke Siam dengan menyatakan mayat Mat Kilau sudah ada dan terbunuh ketika bertempur. Raja Siam pun percaya lalu memaklumkan kepada Inggeris. Sewaktu hendak menanamkan ‘mayat’ itu, tubuh Mat kilau dilarikan oleh anak-anak muridnya lalu mereka menggantikannya dengan batang pisang!


Namun rahsia itu terbocor oleh salah seorang muridnya menyebabkan Raja Siam dan Inggeris sangat marah. Pada mulanya Siam mahu menyerang kelantan tetapi bila mendapat tahu Mat Kilau dan pengikutnya sanggup berjuang mempertahankan Kelantan, Siam mulai kecut perut dan tidak jadi menyerang Kelantan. Demi menjaga keamanan negeri kelantan, Mat Kilau pun berpindah ke Kg Pasir Nering.


Semasa di Kg Pasir Nering, Mat Kilau diserang Inggeris, satu peluru hinggap dibadannya ketika itu mengoyakkan kulit belikatnya tetapi tidak mampu menembusi daging dan tulangnya! Rupa-rupanya salah seorang anak muridnya belot dan membocorkan rahsia kepada Inggeris bahawa tubuh Mat Kilau hanya lut dengan peluru emas sahaja! Benar, selepas diperiksa peluru itu diperbuat dari emas tulen!!! Bayangkan berapa butir peluru yang dibuat oleh Inggeris dengan menggunakan hasil bumi Pahang iaitu emas semata-mata ingin membunuh pahlawan tanah air Pahang!!! Betapa jahatnya mereka!


Mat Kilau dalam pelarian mendapat perlindungan Tok Ku Paloh di Terengganu, sempat pula berguru dengan wali Allah dan Khalifah Tareqat Naqsyabandiah yang bergelar Qutubul Zaman itu! Tokku Paloh menukar nama ayahnya Tok Gajah kepada Tok Fakir Lebai Salam dan Mat kilau di sebut nama asalnya iaitu Muhammad!


Sekali lagi Mat kilau pura-pura mati pada tahun 1895, untuk mengaburi mata Siam dan Inggeris, lalu mayatnya di kuburkan di Kampung Dalam Limau, Bunut Payung Kelantan. Sultan Kelantan menggantikannya dengan batang pisang lalu menyuruh Mat Kilau melarikan diri!


Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua orang tokoh ternama dari kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan. Mat Kilau juga agak mahir dengan ilmu hutan hingga boleh menyusup masuk ke Terengganu mahupun Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu.


Berita tergempar dari akhbar diseluruh Negara pada 1895 menyatakan “Ketua Pendehaka, iaitu Dato’ Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintah Siam pada bulan Oktober, 1895" manakala The Free Press pula menyatakan bahawa “Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditahan, akibatnya dia telah cedera parah di muka dan di kepalanya. Oleh kerana luka-luka itu sangat parah, maka dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah”.


Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press pada 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat seorang pejuang terbilang ini, akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui orang ramai kecuali beberapa orang sahabatnya sahaja seperti Mustafa bin Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.


Disebabkan Mat Kilau dianggap sebagai ‘penderhaka’ oleh Inggeris, maka terpaksalah beliau mengasingkan diri serta berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang.


Semenjak 1930, Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam. Pada Disember 1969, Allah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada masa itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim supaya memperkenalkan dirinya yang sebenar.


26.12.1969, pada hari Jumaat, selepas Solat Jumaat, Mat Kilau membuat Pengisytiharan dirinya di masjid Kampung Pulau Tawar setelah sekian lama menukar namanya sebagai Mat Siam kerana memegang amanah Almarhum Sultan Abdullah.


Seluruh rakyat Malaysia terkejut dan terharu mendengar berita menggemparkan itu. Hati seluruh rakyat berdebar-debar menanti keputusan “Ahli Jawatankuasa Menyiasat Mat Kilau” yang dilantik oleh kerajaan negeri Pahang. Akhirnya, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan dan disahkan sebagai Mat Kilau yang sebenar oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd She, oleh itu maka sahlah Mat Siam itu adalah Mat Kilau anak kepada Imam Rasu atau Tok Gajah, Pendekar Pahang yang terbilang itu!


Pada tanggal 16 ogos 1970, pada usia 123 tahun, Pendekar Sufi terbilang ini telah menghembuskan nafas terakhirnya dan disemadikan di tanah perkuburan Pulau Tawar bersebelahan dengan kubur ibunya Teh Mahada atas wasiat Mat Kilau sendiri sementara ayahnya telah meninggal dunia dalam pelarian dan dikuburkan di kampung Pasir Nering, Terengganu. 


Kata-kata semangat Mat Kilau untuk renungan anak bangsa :


“Aku rela mati semasa bertempur dengan penjajah daripada menyerah dan mati di tali gantung mereka!”


"Jaga Agama , Jaga Bangsa dan Tanah Air, Jangan Sampai Bangsaku Tiada Negara."


Al-Fatihah buat Allahyarham Mat Kilau

.


Kredit Pemilik Foto

Note‼️jika ada percanggahan atau penambahan info, boleh kongsikan di ruangan komen 


Moga Allah kurniakan lebih ramai lagi pejuang seperti pahlawan pahlawan Melayu terdahulu bagi menghadapi cabaran Akhir Zaman ini 🀲 Aamiin