Ketika banyak pihak mengecam pemimpin DAP Tony Pua berkaitan kedudukan titah diraja, peguam dan aktivis Aidil Khalid menyatakan pendirian berbeza.
Peguam–yang sebelum ini mewakili aktivis antikuil haram Tamim Dahri–berkata dari konteks perlembagaan, undang-undang tubuh dan sistem perundangan, apa yang disebut oleh Pua itu sesungguhnya benar
Jika ada yang membacanya dan merasakan ‘tidak kena’, barangkali yang tidak kena itu adalah jiwa feudal yang membelenggu dalam diri,” katanya.
Aidil yang juga seorang penulis sastera itu turut memetik “pesan Hang Lekir” sebagai pedoman, iaitu:
Anak dagang mudik ke rawa,
Membawa naskhah kitab asal;
Banyak membaca luaslah jiwa,
Lepas dari belenggu feudal.
Semalam Pua menambah kehangatan berkaitan isu penternakan babi di Selangor selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan wakil rakyat DAP membaca Rukun Negara.
Ia dipercayai susulan pendirian berbeza istana dan mereka berkaitan kegiatan penternakan babi di Selangor yang ditolak oleh baginda.
Pua bagaimanapun berkata dalam sistem raja berperlembagaan, kuasa raja terhad kepada adat resam Melayu-Islam serta peranan perlembagaan seperti pelantikan menteri besar serta kelulusan pembubaran anggota Dewan Undangan Negeri.
“Kita tidak hidup dalam sistem yang raja boleh mengeluarkan titah perintah yang mengikat bagi menggubal semua aspek kehidupan kita,” katanya yang mencetuskan kemarahan parti dan kumpulan Melayu.