MENGKAMBING HITAM KAN PENJAWAT AWAM ?
1- Kenyataan Shahidan Kassim yang menyalahkan penjawat awam dalam isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru menimbulkan persoalan besar. Umum mengetahui, penjawat awam hanyalah pelaksana dasar. Keputusan untuk menggubal atau mengekalkan sesuatu dasar datang daripada kerajaan dan menteri yang sedang berkuasa.
2- Jika semua perkara mahu diletakkan beban di bahu penjawat awam, maka apakah tugas menteri? Adakah sekadar menikmati gaji, elaun dan segala kemudahan, tanpa berani menanggung keputusan yang dibuat ketika mereka duduk di kerusi kuasa?
3- Pewartaan Seksyen 4 dan 8 Akta Pengambilan Tanah dibuat pada Jun 2021, ketika rakyat terkepung dengan lockdown penuh. Dalam suasana rakyat hilang kerja dan tertekan, kerajaan kekal meneruskan dasar pengambilan tanah. Ini bukan keputusan kecil, ia adalah keputusan politik yang mempunyai implikasi besar kepada rakyat.
4- Sebagai Menteri Wilayah ketika itu, Shahidan mempunyai kuasa eksekutif untuk menangguh, mengkaji semula, atau membatalkan pewartaan tersebut jika benar mahu melindungi rakyat. Tetapi itu tidak berlaku. Maka persoalan yang wajar ditanya, mengapa hari ini kesalahan diletakkan kepada penjawat awam, sedangkan kuasa sebenar ada di tangan menteri?
5- Lebih menarik, kenyataan ini juga bercanggah dengan kenyataan seorang calon Perdana Menteri dari PAS, yang secara lebih bijak menyatakan bahawa kerajaan boleh membatalkan sekali gus jika benar mahu berpihak kepada rakyat. Di sini kita lihat kontras, seorang cuba mengalih tanggungjawab, seorang lagi mengakui kuasa eksekutif ada di tangan kerajaan.
6- Setakat ini, tiada kenyataan konkrit yang menunjukkan KSN diberi kuasa undang-undang untuk menggantikan Menteri Wilayah dalam meluluskan pewartaan Seksyen 8 pada Jun 2021. Tanpa bukti sebegitu, kenyataan menyalahkan penjawat awam hanya kelihatan seperti cubaan “cuci tangan”.
7- Rakyat harus menilai dengan waras. Kritikan terhadap dasar bukan soal peribadi, tetapi soal prinsip kepimpinan. Menteri ada kuasa, menteri juga harus ada keberanian menanggung keputusan. Menyalahkan penjawat awam hanya melemahkan kredibiliti politik itu sendiri.
8- Inilah yang rakyat perlu ingat, pemimpin datang dan pergi, tetapi dasar yang mereka buat meninggalkan kesan kepada generasi. Maka, jangan biarkan ada sesiapa pun melepaskan tanggungjawab dengan menuding jari kepada pelaksana, sedangkan kuasa sebenar ada di tangan mereka yang bergelar menteri.
No comments:
Post a Comment