Pakar palataologi kes Zara Qairina Mahathir tidak pernah puas hati. Guru mereka pempengaruh, ilmu mereka tohmahan, maklumat palsu dan prasangka.
Pakar patologi yang berpengalaman itu menuntut dalam disiplin ilmu, yang lahir daripada semangat rasionaliti moden, sebagai satu pengkhususan.
Tetapi dunia hari ini bukan lagi dunia moden abad ke-20 yang diwarisi daripada semangat Zaman Pencerahan abad ke-18, semangat kajian sains dan semangat berfikir. Tapak dunia moden.
Dunia moden, dunia rasionaliti dan semangat Pencerahan itu sudah lama dipertikaikan. Ada pelbagai disiplin ilmu yang menolak beberapa asas dunia lama yang pernah kita kenali dahulu.
Termasuk dalam warisan dunia moden itu disiplin pengajian, kajian ilmiah dan laporan media konvensional sebagai asas sebaran pengetahuan.
Tetapi kini fakta dan rasionaliti terpaksa bertarung dengan sentimen, emosi, mitos dan maklumat keliru. Dunia baharu yang kita kenali saat ini disebut dunia "pascakebenaran" atau post-truth.
Dalam dunia ini, fakta disahkan melalui penerimaan ramai. Lagi ramai orang kongsi, lagi ramai orang percaya, lagi benarlah sesuatu maklumat. Kebenaran disahkan dalam realiti media sosial.
Zaman moden dahulu, kebenaran diuji melalui kaedah perbahasan ilmiah dan kerja media lama itu menyemak dan menggali akar umbi persoalan. Proses berlapis-lapis dan sedikit perlahan. Di sini perdebatan masih dibenarkan.
Dunia seperti itu sudah mati saat ini, dunia moden itu sudah mati bersama gadis Sabah 13 tahun ini. Ia dikebumikan oleh pejuang #justiceforZara sendiri.
Dalam dunia baharu ini, kebenaran bukan lagi disampaikan oleh pakar yang mendalami ilmu, yang berpengalaman luas, yang bersandarkan asas ilmu. Sebahagian proses itu asas berfikir logik, kajian makmal, makalah jurnal dan disiplin sains moden.
Dalam dunia baharu ini, kebenaran ditentukan oleh palatao (bukan pakar) yang mengupas apa sahaja topik tanpa merujuk disiplin logik dan bidang ilmu. Pakar menghabiskan banyak masa dengan membaca atau berdiskusi dengan pakar lain.
Tetapi palatao tidak perlu itu semua. Pempengaruh boleh cakap apa sahaja yang dia hendak cakap, tanpa segan silu, yang penting jumlah tontonan, jumlah kongsian dan jumlah pengikut! Yang penting cepat tersebar dan glamor.
Dunia matinya fakta (post truth) dirangsang gelembung bias algoritma media sosial. Emosi, rasa hati, marah dan penyakit mudah percaya menjadi asas seseorang percaya palatao.
Algoritma ini pula selalu saja kelaparan sebaran dan tontonan. Virality atau ketularan itu asas perniagaannya atau cara buat duit (monetization). Di sini fakta, asas logik dan kebenaran ditalkinkan.
Cara berkongsi dan saling percaya pada palatao, maklumat palsu, fitnah dan prasangka ini disebut "confirmation bias", naluri rasa diri kita sudah benar apabila yang kita dengar/baca itu juga dipercayai orang lain. Lagi ramai orang percaya, lagi ramai orang ramai orang share dan like, lagi benarlah sesuatu itu! Kebenaran ditentu jumlah orang!
Maka di sini, kebenaran, keadilan dan fakta mati bersama-sama jasad mungil adik Zara Qairina.
Semoga suatu waktu nanti fakta bangkit menuntut #justiceforFacts, pakar turut bangkit menuntut #justiceforExperts, kebenaran juga bangkit menuntut #justiceforTruth.
.
Badan Jenazah Zara Alami Kereputan, Bukan Seperti "Baru Dikebumikan Semalam" Seperti Yang Diviralkan. Apa Pandangan Dari Sudut Syarak?
1. Saya tidak berbicara isu ini ketika ia viral awal dahulu. Sewaktu itu orang masih bersemangat dan mungkin tidak dapat menilai dengan pemikiran yang waras. Isu apakah itu? Isu berikut:
I: Berkaitan bau harum di perkuburan Zara.
II: Jasad Zara elok seperti baru dikebumikan.
2. Saya mula rasa "sesuatu" dengan dua dakwaan ini. Ini kerana Peguam yang bersama keluarga Zara bermula sejak penggalian semula kubur, post mortem hingga dikebumikan semula tidak keluarkan maklumat terperinci seperti yang viral tersebut.
Sebelum ini viral berkaitan orang yang dikaitkan terlibat menggali semula kubur Zara, mengatakan terdapat bau haruman ketika proses itu dan perkara ini sendiri disebutkan oleh Timbalan Mufti Sabah. Itu dakwaan mereka. Mereka menjual nama Timbalan Mufti.
Baru-baru ini, Jabatan Mufti Sabah pula telah menafikan dan menyangkal dakwaan itu. Mufti dan Timbalan Mufti tidak hadir pada majlis tersebut. Jadi bagaimana mereka boleh menjual nama Timbalan Mufti mengatakan ada bau harum pada mayat Zara?
Kebiasaannya jika orang biasa yang claim perkara sebegini, ia sukar dipercayai. Namun apabila ditempelkan nama Timbalan Mufti, ia akan menambah keyakinan masyarakat.
Tuan-tuan, dalam bersolidariti jangan mengaitkan unsur menipu dan "nasi tambah". Cukuplah dengan memberikan fakta dan maklumat yang dapat membantu pendakwaan.
Nabi sallallah alaih wasallam bersabda:
وإياكم والكذب، فإن الكذب يهدي إلى الفجور، وإن الفجور يهدي إلى النار وما يزال العبد يكذب ويتحرى الكذب حتى يكتب عند الله كذابا
"Jauhilah penipuan, sesungguhnya penipuan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa ke neraka. Seseorang yang menipu dan sentiasa menipu sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang penipu".
[HR al-Bukhari]
3. Kita dituntut menutup aib jenazah, tapi kita juga berdosa jika menipu dalam menyebutkan tentang sesuatu perkara berkaitan jenazah yang tidak benar walaupun tujuan dan niat yang baik.
Peguam Zara yang terlibat dalam urusan ini sejak kubur dibongkar semula hingga masuk bersama-sama dalam bilik post mortem, tidak melaporkan bau harum dan lain-lain. Jika beliau sebut 'ada sedikit kesan reputan sederhana', ini akan mendatangkan tohmahan. Kerana ada sesetengah masyarakat kita memandang nilai iman kedudukan seseorang di sisi Allah berdasarkan keadaan fizikal jenazah.
4. Sejak insiden yang menimpa pelajar UPSI iaitu kemalangan bas sebelum ini, trend mengaitkan kubur atau jenazah harum ini semakin menjadi-jadi dalam negara kita.
Apabila diteliti dalam teks ulamak terdahulu, memang ada jasad atau kubur yang wangi ini. Itu tidak kita nafikan. Adapun pada zaman sekarang, kelihatan seolah-olah berlumba-lumba hendak menyampaikan maklumat pada masyarakat walaupun diragui kebenarannya.
5. Trend menilai zahir jasad jenazah, lalu dikaitkan dengan baik atau buruk kedudukan jenazah itu telah ada dilakukan pada zaman terdahulu. Antaranya ia dilakukan oleh golongan munafik. Lihat pada kisah ketika kewafatan Saad bin Muaz. Beliau merupakan salah seorang sahabat baginda yang mempunyai banyak kelebihan pada dirinya. Orang munafik membenci Saad.
Lalu orang-orang munafik mengambil kesempatan menyindir jenazahnya yang ringan, disebabkan dendam kesumat mereka terhadap diri Saad.
لما حملت جنازة سعد بن معاذ، قال المنافقون: ما أخف جنازته، وذلك لحكمه في بني قريظة
Tatkala dipikul jenazah Saad bin Muaz, orang munafik berkata: "Alangkah ringannya jenazah Saad ini. Itu merupakan balasan terhadap apa yang diputuskan oleh Saad terhadap bani Quraizah".
Perkataan orang munafik ini sampai kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda:
إن الملائكة كانت تحمله
"Sesungguhnya malaikat yang memikul jenazah Saad".
[HR al-Tirmizi, hasan sahih gharib]
Ya, orang munafik telah lama ambil kesempatan menilai zahir jasad jenazah sama ada baik atau sebaliknya. Kalau dalam konteks sesetengah masyarakat kita, jenazah berat atau kubur berair dan lain-lain itu tanda ada sesuatu yang buruk pada jenazah. Seeloknya tinggalkan sangkaan buruk sebegitu.
6. Keadaan jasad yang nampak seolah-olah terseksa atau buruk di mata kita ketika kematian, tidak semestinya ia tanda seseorang itu hina di sisi Allah. Tidak sama sekali.
Jaafar bin Abi Talib adalah sahabat baginda. Kedua-dua tangannya kudung kerana dicantas oleh musuh dalam peperangan Mu'tah. Bayangkan beliau meninggal dunia dalam keadaan kudung. Tangan ditebas musuh. Namun terdapat riwayat dengan Sanad yang Hasan menunjukkan beliau terbang bersama malaikat, ada juga menunjukkan beliau mempunyai sayap. Ini semua di alam sana setelah kematiannya.
Setelah kewafatan Jaafar, Ibn Umar ketika bertemu dengan keluarga Jaafar beliau akan tegur anak Jaafar.
كان إذا سلم على ابن جعفر، قال: السلام عليك يا ابن ذي الجناحين
Ibn Umar apabila memberi salam keatas anak Jaafar beliau akan berkata 'Assalam Alaik wahai anak pemilik dua sayap'. [HR al-Bukhari]
7. Dalam hadis memang ada disebutkan ciri-ciri kematian baik yang dapat dinilai dari zahirnya, tapi bukan sepertimana yang difahami oleh masyarakat kita. Antara syarahan ulamak terhadap hadis tanda kematian seorang itu mukmin adalah dengan berpeluh dahinya:
هو عبارة عن شدة الموت، وقيل هو علامة الخير عند الموت
"Ia menunjukkan terhadap dasyatnya (kesakitan) ketika menghadapi kematian. Dikatakan juga itu tanda kebaikan saat kematiannya".
Dahi berpeluh merupakan tanda dasyatnya kematian seseorang. Bukan semestinya ia tanda seseorang itu diazab. Bukan tanda kurangnya nilai kedudukan seseorang di sisi Allah.
8. Selain itu, terdapat juga teks dari para ulamak yang menyebutkan kisah jenazah golongan terkorban dalam peperangan masih utuh dan sebagainya. Bahkan memang terdapat riwayat pada zaman Rasulullah berkaitan sahabat yang terkorban ketika perang UHUD, jasadnya masih utuh dan elok lagi setelah digali semula.
Jabir berkata:
فكان أول قتيل ودفن معه آخر في قبر ثم لم تطب نفسي أن أتركه مع الآخر فاستخرجته بعد ستة أشهر، فإذا هو كيوم وضعته هنية غير أذنه
"Ayah aku merupakan orang pertama yang terkorban dalam peperangan dan dia dikebumikan bersama-sama jenazah yang lain dalam satu kubur. Kemudian aku rasa tak sedap hati meninggalkan jasad bapa aku bersama jenazah lain. Lalu aku mengeluarkannya (korek kubur) setelah enam bulan (dari dikebumikan). Keadaan ayah aku elok seperti hari aku meletakkannya (ke dalam kubur) kecuali pada telinganya". [Sahih al-Bukhari]
Namun pada hari ini, bukan tugas kita untuk menyebutkan secara pasti seseorang itu syahid atau tidak tanpa nas spesifik. Kita tidak ada kelayakan dan hak.
9. Saya masih ingat perbahasan dalam parlimen berkaitan isu Memali. Ada suara dalam parlimen ketika itu mengusulkan dibongkar kembali kubur tersebut (Ibrahim Libya) untuk melihat semula jasad mereka setelah hampir 20 tahun dikebumikan.
Cadangan datang dari pihak MP Kerajaan memerintah sewaktu itu. Jika jasadnya utuh itu tanda mereka di pihak benar. Sekiranya sebaliknya, itu tanda mereka bukan syahid. Hingga begitu sekali cadangan yang diutarakan oleh ahli parlimen pada saat itu. Bagaimana pun keadaan jasad itu elok atau tidak, bukan tugas kita menilai kedudukannya di sisi Allah.
10. Untuk isu Zara, doktor yang bertugas berkata badan Zara ada kesan reputan sederhana, beliau berkata:
"Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan".
Itu kenyataan doktor yang bertanggungjawab dalam hal ini. Selain itu, akhbar Metro juga berkata:
"Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik".
Akhbar Bernama melaporkan bahawa jasad Zara mula mengalami pereputan iaitu pereputan sederhana.
Tuan-tuan, jasad Zara yang ada kesan mereput itu bukan semestinya tanda yang buruk. Itu memang keadaan yang berlaku bagi orang meninggal dunia. Sebab itu saya kurang gemar mengaitkan semata-mata keadaan jasad jenazah semata-mata untuk mengukur iman dan kedudukan seseorang di syurga atau sebaliknya.
Perkara utama yang penting sekarang ini ialah kita hendak pembuli dihadapkan ke pengadilan dan mendapat hukuman yang selayaknya jika benar ada unsur buli. Kita tidak perlu nasi tambah yang menambah cerita misalnya keadaan jasad seperti baru dikebumikan semalam dan lain-lain ketika bersolidariti. Lagipun doktor juga telah menyatakan ada kesan pereputan sederhana. Perkara utama yang kita harapkan agar keadilan dapat ditegakkan. Emosi penting, tapi jangan emosi digunakan dengan cara yang salah.
Moga bermanfaat.
Dr Rozaimi Ramle
No comments:
Post a Comment