Friday, September 12, 2025

Isu Tanah Kg. Sg Baru

 Dilema Seorang Peguam di Kampung Bharu: Bila Impian Lebih Mahal Dari Realiti. 


Akar keluargaku di Kampung Bharu bukan sekadar sejarah ,ia darah daging. Dan dengan hubungan itu datang satu amanah yang berat: aku menjadi peguam kepada keluarga sendiri, dan kepada ramai pemilik tanah di kawasan ini. Tugasan aku kelihatan mudah di atas kertas ,pastikan tanah warisan ini dijual dengan harga yang berpatutan.


Tetapi realitinya, perjuangan aku bukan berdepan pemaju. Bukan dengan agensi kerajaan. Musuh terbesar aku adalah sesuatu yang lebih licik dan berbahaya: impian palsu yang ditanam selama bertahun-tahun, dan janji manis politikus yang memperdagangkan harapan.


Harga Mimpi Yang Tak Masuk Akal


Udara di Kampung Bharu penuh dengan sejarah,

dan penuh dengan harapan. Tapi harapan itu telah bertukar menjadi khayalan kolektif. Politikus datang silih berganti, berbisik janji-janji RM2000 hinga RM 4000,sekaki, angka yang tak pernah pun muncul dalam penilaian rasmi JPPH. Tapi mereka tahu, impian itu sedap didengar. Ia buat rakyat rasa tanah mereka emas, dan sesiapa yang bercakap tentang realiti akan dilihat sebagai pengkhianat.


Dan itulah yang terjadi pada aku.


Aku tunjuk fakta, penilaian rasmi antara RM450 hingga RM500 sekaki. Aku bawa kes-kes lampau. Aku bentangkan Akta Pengambilan Tanah. Tapi nasihat berasaskan undang-undang itu dianggap hina. Aku digelar “anjing pemaju”, “perompak”, malah dituduh menjual kampung sendiri.


Yang menyedihkan, orang yang kata begitu… adalah org kampung aku sendiri. 


Kebenaran Yang Tidak Popular


Aku tak marah. Aku faham. Dalam dunia yang sentiasa merugikan orang kecil, mereka mahu percaya ada sesuatu yang luar biasa menanti. Tapi aku tak dibayar untuk menjual mimpi. Tugasku ialah menyediakan strategi undang-undang yang realistik dan mampu bertahan dalam sistem.


Dan kebenarannya sangat pahit: bila kau menolak tawaran yang baik kerana percaya ada tawaran ‘lebih baik’ yang tak pernah wujud, kau bukan melawan ,kau sedang berjudi. Dan perjudian itu akhirnya memusnahkan banyak keluarga.


Tragedi Kampung Sungai Baru: Dari Rundingan ke Pengusiran


Apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru adalah tragedi moden ,satu amaran kepada semua yang terlalu percaya mimpi.


Tahun-tahun lalu, pemaju tampil dengan tawaran luar biasa: pampasan tunai dan unit-unit rumah moden, mencecah nilai RM8.1 juta bagi satu lot. Majoriti penduduk terima. Tapi segelintir enggan. Mereka yakin tanah mereka boleh dapat lebih ,lebih tinggi dari tawaran pemaju, lebih tinggi dari realiti pasaran.


Dan bila rundingan gagal, pemaju menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Mahkamah menetapkan harga berdasarkan penilaian rasmi kerajaan: RM450 ke RM500 sekaki. Jauh lebih rendah dari apa yang pernah ditawarkan sebelum ini.


Dari Mahkamah ke Jalanan


Hari ini, mereka yang melawan, yang paling lantang, yang paling percaya mereka sedang berjuang untuk nilai sebenar hartanah mereka , akhirnya menjadi mangsa keadaan.


Tiada lagi pampasan berjuta.

Tiada lagi rumah baru.

Yang tinggal hanya wang tunai yang tidak setimpal… dan satu notis pengusiran.


Dan bila rumah mereka dirobohkan, bila polis datang, bila tangisan bertukar jadi jeritan ,ia bukan lagi soal nilai tanah. Ia jadi soal maruah yang tercalar. Tapi maruah itu tidak dicuri. Ia tergadai oleh keputusan silam, dipandu oleh mimpi yang dijual oleh orang-orang yang tidak akan tinggal pun di sini.


Kesimpulan: Siapa Sebenarnya Yang Menghancurkan Kampung Kita?


Dalam naratif politik, pemaju dan kerajaan sentiasa jadi penjahat.


Tapi dalam realiti yang aku lihat dengan mata sendiri, musuh sebenar adalah jangkaan yang tak masuk akal, dan pemimpin yang memanipulasi warisan demi undi.


Kampung Bharu tak musnah kerana pemaju.

Ia musnah kerana masyarakatnya sendiri dihasut untuk menolak rundingan yang adil, demi mengejar ilusi.


Ia musnah kerana lebih ramai percaya cakap orang politik berbanding peguam sendiri. Jadi sewaktu kau berguling-guling. Membaling batu dan berteriak di tengah jalan. 


Mana saudagar-saudagar air liur yg menjanjikan impian tu? Adakan mereka akan jamin kau keluar penjara? Atau kau nak carik peguam “anjing pemaju” ni dtg jamin kau. 


#kampungbarukl #sungaibaru


Projek Kampung Sg Baru tak wajar diputar belit, pampasan cecah RM3.8 juta – Sanita


Oleh Kasthuri Jeevendran

11 September 2025


KUALA LUMPUR – Polemik pembangunan semula Kampung Sungai Baru di sini menjadi tumpuan hari ini.


Namun di sebalik kekecohan yang berlaku, Pengerusi Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus tampil menjelaskan isu sebenar yang menurutnya jauh berbeza daripada gambaran tersebar di media sosial.


Menurutnya, projek pembangunan semula ini lahir daripada inisiatif penduduk sendiri bukan paksaan daripada mana-mana pihak luar.


“Persatuan kami ditubuhkan pada 2016 oleh generasi terdahulu yang melihat keadaan rumah semakin uzur manakala pajakan tanah pula semakin singkat.


“Majoriti penduduk pada waktu itu sedar mereka tidak mampu membaiki rumah sendiri maka diputuskan untuk mencari pemaju bagi membangunkan semula kampung ini.


“Jadi jangan salah faham, bukan pemaju yang datang cari kami tetapi kami yang keluar mencari pemaju,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.


Sanita mendedahkan, pampasan yang diberikan pemaju sangat munasabah dan tinggi malah ada yang mencecah sehingga RM1 juta hingga RM3.8 juta bagi satu unit rumah teres mengikut keluasan.


“Kalau ikut penilaian kerajaan, nilai asal sekitar RM400 sekaki persegi tapi pemaju bersetuju memberi pampasan RM850 sekaki persegi, hampir dua kali ganda lebih tinggi.


“Jadi sebenarnya ia tawaran yang sangat baik dan jarang berlaku dalam projek pembangunan semula,” katanya.


Jelasnya lagi, hampir semua penduduk menerima pampasan tersebut termasuk yang berpindah ke penempatan sementara.


Bagi pemilik rumah teres, selain pampasan mereka turut menerima bayaran sewa bulanan sebanyak RM2,500 selama lapan tahun.


“Penduduk yang dipindahkan ke flat transit juga tidak perlu bayar sewa kecuali kos utiliti asas. Pemaju menanggung segalanya. Jadi di mana lagi silapnya? Kebajikan mereka tetap dijaga sepanjang menunggu projek siap,” katanya.


Menyentuh mengenai penentangan yang masih berlarutan, Sanita mendedahkan, ia hanya melibatkan segelintir kecil penduduk khususnya pemilik rumah flat yang berdepan isu pembahagian faraid.


“Bila harta itu dibahagi sesama adik-beradik yang ramai, sudah tentu bahagian yang diterima lebih kecil. Mungkin sebab itu ada rasa tidak puas hati.


“Tetapi jangan pula perkara ini diputar belit seolah-olah keseluruhan projek ini menindas penduduk lain yang sememangnya mahukan pembangunan ini,” tegasnya.


Menurutnya, semua pampasan utama telah dibayar sejak 2023 malah difahamkan bagi mereka yang tidak bersetuju, isu tersebut dibawa ke mahkamah dan sedang melalui proses sewajarnya.


“Jangan kata penduduk tidak diberi pilihan. Hak mereka dijamin malah proses mahkamah membuktikan sistem ini telus. Jadi tidak timbul isu kononnya ada penindasan atau rampasan tanah,” katanya.


Dalam pada itu, Sanita turut mengakui perjalanan projek itu bukan mudah kerana berdepan pelbagai cabaran politik sejak beberapa tahun lalu.


“Kita lalui pelbagai Menteri Wilayah, ada yang menyokong, ada yang ragu-ragu tetapi akhirnya keputusan mahkamah berpihak kepada pembangunan ini.


“Menteri Wilayah yang ada sekarang, Dr. Zaliha (Mustafa) telah memberi sokongan padu dan memastikan semua berjalan ikut peraturan,” ujarnya.


Namun yang lebih merunsingkan, katanya, persepsi masyarakat luar yang mudah terpengaruh dengan naratif media sosial tanpa memahami fakta sebenar.


“Kebanyakan yang hadir buat kecoh ketika operasi pengosongan bukan penduduk. Kami di kampung ini semua kenal antara satu sama lain. Jadi jelas, orang luar yang tiada kena-mengena cuba ambil kesempatan,” dakwanya.


Sanita berkata, lebih 220 keluarga telah menandatangani perjanjian dengan pemaju dan akan kembali mendiami Kampung Sungai Baru setelah projek siap.


“Ini hasrat kami sejak sekian lama. Kami mahu melihat ekonomi bumiputera di bandar berkembang dan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur menikmati kediaman yang lebih moden, lebih selesa tetapi tetap di tanah tumpah darah sendiri,” katanya.


Justeru beliau menyeru orang ramai untuk tidak lagi mempercayai fitnah atau provokasi yang berlegar di media sosial.


“Datanglah ke pejabat persatuan, bertanya terus kepada kami atau berbincang dengan pemaju. Jangan mudah terpedaya dengan cerita separuh benar. Projek ini adalah usaha penduduk sendiri demi masa depan anak cucu kami.


“Doakan projek ini berjalan lancar. Kami mahu kembali ke rumah baharu kami selepas lapan tahun menunggu. Jangan salah ertikan perjuangan kami, ini bukan isu politik bukan isu kaum tetapi soal kelangsungan hidup penduduk Kampung Sungai Baru,” ujarnya.


– MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment